Yang Semakin Dirindu

Baru kusedar, bahawa banyak perkara yang dahulu selalu menjadi irama di telingaku kini sudah kurang kedengaran. Irama yang sama ada menjadi halwa, atau menjadi haba. Baru kusedar, bahawa kecerewetan yang selalu menuntut natijah kebaikan, sudah tidak menjadi sekerap yang menjadi kebiasaan. Baru juga kusedar, bahawa kudrat yang kuat semakin sayup melemah. Satu persatu kuingat dan hitung, banyak sudah rupanya yang berubah. Dari rutin harian yang sudah tidak sama, dan keadaan yang tidak sama.

Kini aku tahu, separuh jiwaku juga sudah tidak sama.

Hanya yang tersisa menjadi kekuatanku. Selama mana? Aku tidak tahu. Itu dalam rahsia dan kehendak Tuan Punya Dunia. Jujurku kepada diri sendiri, memikirkan perkara itu juga aku sebetulnya tidak akan pernah mampu. Biar yang menjadi semangat dan kekuatan diri ini, adalah apa yang ada di hadapan. Yang tersisa ini, sama ada aku atau tidak, biarlah menjadi memori yang membahagiakan. Yang meninggal kesan kegembiraan, bukan kesedihan. Sejauh mana mampuku yang sering dihambat pelbagai rasa? Aku tidak tahu. Aku cuma tahu, kuatku kerana ada yang percaya kepada diriku.

Senyuman dan ketenangan itu bukan tanda kehidupan seseorang itu sempurna. Bukan juga tanda hidup aman tanpa keserabutan. Bukan juga tanda hayat tanpa cubaan. Namun, apakah pilihan setelah menyedari bahawa semuanya dalam genggaman dan pengetahuan Tuhan? Senyumanlah pilihan. Kerana cuba memperkemas keyakinan, bahawa Allah yang telah mengizin dan mengatur segala-Nya. Maka, Allah-lah yang akan membiarkan semuanya akan baik-baik saja. Tidak pernahkah tergugah keyakinan ini? Bohong kalau tidak pernah. Apatah lagi apabila jiwa terhimpit dengan pelbagai perkara, terasa dada sempit semahunya. Di mana, ya Allah, Engkau pada saat ini? Yang akhirnya tersedar, pertanyaan oleh lidah sendiri itu menunjukkan di mana keberadaan Allah dalam hati.

Banyak perkara yang menjadi kerinduan. Yang apabila dikenangkan tika bersendirian, pasti menjemput airmata dalam keheningan. Walau tidak mudah, sebagai manusia yang percaya bahawa dunia ini tempat cubaan, sehabis daya meneruskan hidup.

Allah tidak akan pernah meninggalkan.

Moga kuat untuk memperkemas langkah. Membuang kepentingan diri yang tersisa. Biar usaha kerana yang setia menyayangi, yang tanpa meminta balasan sebesar pengorbanan. Biar terpaksa diri berkorban mahu yang banyak dalam hidup. Biar penyesalan yang menjadi milik diri itu, adalah penyesalan yang membuahkan gembira. Bukan kerana penyesalan kepentingan diri sendiri.

Kita manusia. Hanya manusia. Hidup selama mana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *