Cinta Ilahi dot Com Rotating Header Image

Tentang Saya

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Blog ini sudah hampir berusia 2 tahun, pada tahun ini. Kenapa blog ini wujud?

Saya mula mengenali dunia blog pada tahun 2006. Masa itu, dunia blogging tidak pesat seperti sekarang. Saya suka membaca perkongsian orang dalam blog mereka. Dan pada tahun 2007, saya memulakan langkah dalam blogging. Namun hanya untuk suka-suka; perkongsian kisah seharian. Pertengahan tahun 2007, saya berhenti dari berblogging. Saya jadi terfikir, apa manfaat yang saya mahu buat dalam berblogging?

Dan hujung tahun 2008, saya kembali berblogging dan mula menulis mengenai perkara yang saya rasakan berfaedah untuk diri saya dan orang lain. Meskipun masa itu penulisan masih mentah kebudak-budakan. Tapi percayalah, memang comel (Hehe =P).

Dengan izin ALLAh Ta’ala, pada awal tahun 2010, saya membina blog Cinta Ilahi dot Com ini. Dengan harapan, saya lebih memperingati diri sendiri dan orang lain. Saya kongsikan sesuatu yang kadang-kadang saya rasakan hadir di jiwa.

Siapa Saya?

Orang tua saya, memuliakan kelahiran saya dengan memberi nama Suhana. Saya senang dengan nama ini. Maka saya akan simpan dan gunakannya sepanjang hayat saya. Dan biar ALLAh Ta’ala memanggil saya dengan nama itu di akhirat kelak.

Belajar dalam bidang Syari’ah dan Undang-undang.

Saya cuma seorang hamba ALLAh, seorang anak, seorang pelajar, seorang sahabat dan juga seorang kawan yang biasa-biasa, yang mempunyai mimpi. Dan menjadi fitrah seorang manusia untuk mencapai mimpinya. Tinggal saja, dia mahu berusaha atau tidak. Membiarkan mimpi hanya tinggal mimpi. Maka saya mahu jadi orang yang berusaha. Biar mimpi itu berusaha dicapai dengan kesungguhan.

Kenapa; Menulis untuk membuah Cinta?

Pertama : Dalam dunia ini, ada 2 perkara yang manusia pandang remeh dalam menyentuh hati manusia. (i) Menyentuh hati dengan lisan. Ucapan yang lahir dari hati, akan sampai ke hati. (ii) Tulisan yang ditulis beserta hati, akan menyentuh hati.

Saya suka baca tulisan karya Buya Hamka, Hassan Al-Banna, Amru Khalid, Pahrol Md Joui, Syed Alwi Alatas dan penulis-penulis lain. Kadang-kadang, apabila membaca karya mereka, saya merasakan mereka sedang berada dihadapan saya dan menasihati saya dengan setulusnya. Perasaan ini pelik? Bagi saya tidak. Mungkin kerana keikhlasan mereka dalam menulis menyampaikan ilmu membuat hati saya merasakan begitu.

Dan kerana karya mereka inilah, saya jadi terfikir sesuatu.

Kedua : Kerana saya pernah menjadi seorang budak nakal (nakal yang comel ya =P), maka saya cuba menconteng sedikit nasihat kepada kawan-kawan saya di luar sana yang nakal tapi baik. Kerana saya tahu, dalam nakal-nakal dan kedegilan yang ada dalam diri mereka itu, mereka sangat mahu rapat dengan ALLAh Ta’ala. Cuma, kadang-kadang tiada manusia mempedulikan mereka, membantu mereka untuk memimpin tangan bersama-sama menjadi manusia yang baik dan comel. Hehe.

Adapun diri saya ini, saya bukanlah seorang manusia yang baik. Tapi kepada kawan-kawan yang mencari sinar perubahan dalam diri, percayalah, saya sentiasa ada untuk anda. Kita boleh jadi kawan. Sama-sama mencari sinar yang sinar itu terus terpancar dari keredhaan ALLAh Ta’ala. Kita boleh berkongsi cerita itu dan ini. Jangan risau. Tiada niat jahat terselindung dibalik niat dan tulisan saya. Dan saya sesekali tidak akan menghukum anda, kerana saya bukan penghukum.

Saya seorang remaja. Dan saya cintakan para remaja di luar sana.

Jadi, usaha saya sekarang biar menjadi hamba ALLAh Ta’ala yang berusaha mendekatkan diri kepada-Nya, menjadi seorang anak yang taat dan rajin berusaha dalam pelajaran. Agar ALLAh Ta’ala memberikan kekuatan kepada saya dan rakan-rakan remaja saya untuk berubah menjadi seorang yang baik dan comel dimata Tuhan. Semoga diberikan kekuatan dan kemudahan dalam menuju perubahan tersebut.

Perwatakan Disebalik Nama Suhana

Saya seorang yang suka membaca dan mengumpul buku. Dan saya suka menulis. Jika tidak di blog, maka saya akan tulis sesuatu idea yang datang secara spontan pada buku catatan, tidak pun pada kertas.

Dan saya sukakan seni fotografi. Dengan menangkap gambar, hati saya akan menjadi tenang. Ketika jiwa dirundung kesedihan, saya akan mencapai kamera DSLR itu dan membuai diri masuk ke dalam hutan untuk mengambil gambar-gambar alam. Mungkin pada manusia lain yang tidak faham akan, akan memandang saya pelik. Dan jika ya begitu, biarlah saya dianggap pelik.

Kerana saya gembira merapatkan diri dengan ciptaan Tuhan melalui lensa.
Setiap gambar mempunyai memori yang bernilai.
Dan akan lebih bernilai, sekiranya segala kecantikan pada gambar itu,
dikembalikan puji dan puja kepada ALLAh Ta’ala.

Saya hanyalah seorang manusia.
Manusia biasa yang benar-benar biasa.

Saudara kamu dalam Islam,
Suhana