Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Usrah Osem Untuk Semua

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Usrah itu medium untuk melembutkan jiwa. Bukan untuk men-angkuhkan rasa! Credit Picture : Google

Usrah itu medium untuk melembutkan jiwa.
Bukan untuk men-angkuhkan rasa!
Credit Picture : Google

Saya sebenarnya bila update status tentang usrah semalam, memang saya sudah ambil risiko. Tiadalah post saya itu difahami atau dimengerti dengan rasa kasih, ada yang memahami sebagai; saya ini membantah usrah. Mahu sahaja saya tergelak. Bagaimana saya jadi seseorang yang tidak suka usrah atau membantah usrah sedangkan saya mengikuti usrah di luar dan di tempat negeri kelahiran saya selain dari silibus yang ditetapkan oleh institut pengajian saya. Saya membenci usrah? Nooooo! Agak pelik disitu, bukan?

Jadi, untuk meredakan jiwa-jiwa yang kepanasan, bacalah ini dengan hati.

Baiklah. Apa itu usrah? Usrah itu dari segi bahasanya adalah ‘keluarga’. Bermakna usrah itu adalah famili; ibu, ayah, adik beradik, cucu cicit! Namun, apa yang ingin dibicarakan pada entri kali ini, bukanlah usrah yang berada di rumah itu. Tapi usrah yang kita ikuti di luar rumah, yang apabila kita bertemu, maka lutut-lutut kita akan bertemu, saling menghadapkan wajah sesama sendiri dan berbincang mengenai hal-hal ummah.

Coolio! Awesome, kan?

Ada juga orang-orang yang jiwanya bahagia dan cinta kepada usrah memanggil usrah sebagai ‘bulatan gembira’, ‘bulatan bahagia’, ‘lingkaran membina ummah’ dan lain-lain nama yang sungguh membahagiakan jiwa raga. Yeah!

Namun persoalannya sekarang adalah, adakah usrah hanya untuk orang-orang alim sahaja? Atau untuk orang-orang geng tudung labuh, geng kakak-kakak pakai purdah, geng abang-abang pakai kopiah 24 jam atau pun hanya layak dimasuki oleh geng abang-abang pakai serban 17 lilitan? Atau hanya diikuti oleh golongan yang pakai celak tebal sahaja?

Saya sudah nampak kamu, kamu dan kamu berkerut dahi. Hihi.

Ada Apa Dengan Bulatan Gembira?

Jika orang luar melihat, atau orang yang belum mengenal apa itu gerabak tarbiyah, pasti mereka akan melihat orang yang sedang buat usrah hanya duduk sambil membuat bulatan. Sambil-sambil itu kelihatan mereka itu sedang berbicara sambil mengangguk-angguk, itu belum termasuk tangan yang terangkat-angkat ketika diberi giliran menyampaikan tazkirah atau mengutarakan sesuatu isu. Hihi. Begitulah, pada zahirnya.

Namun, adakah hanya sekadar itu?
Tak.

Usrah itu hakikatnya sedang membentuk jiwa-jiwa diantara kita. Dan perlu diketahui, orang-orang yang menyertai usrah itu bukanlah asal kebanyakannya dari orang-orang yang memang ditarbiyah. Kerana selalunya, orang yang sudah dilatih habis oleh naqib/naqibahnya, akan memegang pula anak usrah yang lainnya. Maka, usrah sebenarnya adalah untuk semua orang yang mahu kembali berhijrah kepada fitrah kebaikan! Percaya?

Dan usrah itu menyemai kasih-sayang sesama Muslim amnya. Cool, bukan?

Dengan usrah, anda akan dikenalkan kepada apa itu dunia tarbiyah. Apa itu kereta api dakwah. Apa itu jet pejuang di jalan Allah. Serius, ini semua serius. Dari anda tidak mengenal apa-apa, anda akan tahu apa itu ertinya muhasabah dan merasa hina dihadapan Allah. Anda akan dididik untuk berjiwa lembut mengasihi manusia seluruhnya. Malah, anda akan dididik dengan cara Islam untuk tidak mengucapkan perkara yang sia-sia.

Dengan usrah, anda akan belajar dan menghayati apa itu mengasihi sesama saudara seIslam dan manusia tanpa syarat. Malah jiwa anda bakal lembut dengan memberi lagi dan lagi dengan harapan anda akan dipandang oleh Allah Ta’ala dengan pandangan rahmat. Wallahi!

Dan yang paling PENTING sekali adalah, usrah itu adalah untuk semua!

Usrah Pun Ada Rukunkah

Menghadiri usrah tidaklah bermaksud membuang masa. Apakah untuk mencari jalan keredhaan Allah Ta’ala itu dinamakan membuang masa? Tidak, bukan. Usrah itu adalah medium mendisiplin diri. Bukan sahaja berkongsi perihal ummah, tetapi juga mengambil berat sesama sendiri. Kerana itu, usrah itu juga ada rukun-rukunnya tersendiri. Kepada anda-anda yang sedang mengikuti usrah, atau sedang membimbing kumpulan usrah.. Semestinya anda ingat benar tentang rukun ini bukan? Kalau terlupa, sila tekup kepala anda dengan baldi!

Sekarang. *cekak pinggang*

Umumnya, rukun usrah itu ada 3.
Ya, tak banyak. Ada 3 sahaja.

1. Ta’aruf
Ta’aruf adalah sesi anda dengan ahli usrah anda yang lainnya untuk saling mengenali, bertukar-tukar maklumat peribadi. Tinggal di mana? Belajar apa? Anak ke berapa? Mak ayah nama apa? Bilangan adik beradik? Hobi apa? Suka baca apa? Pengalaman hidup yang dilalui? Cita-cita apa? Sudah bertunang, berkahwin, atau single but not available ke?

Pertanyaan-pertanyaan itu mungkin akan nampak annoying kepada orang luar. Namun percayalah, itulah permulaan perkenalan yang disertai dengan kasih-sayang dan yang disemai dengan semangat cintakan agama Allah Ta’ala. Perkenalan itulah langkah pertama yang akan menguatkan jiwa-jiwa kita untuk bekerja demi Allah Ta’ala.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.” (Hadith)

2. Tafahum
Tafahum ini bermaksud bersefahaman, atau dalam erti kata lainnya saling memahami. Sebab itu kita perlu berkenal-kenalan dengan ahli usrah kita pada mulanya. Kita cuba untuk menghafal nama penuh dia, kita cuba untuk ingat di mana dia tinggal, apa misi hidup dia. Hal ini kerana, dengan sifat saling memahami itulah nanti akan timbulnya amalan nasihat-menasihati sesama ahli usrah. Seterusnya saling menasihati itu akan menambahkan lagi bunga kasih-sayang sesama kita.

Pendek kata begini, tiada yang akan tersinggung atau tiada dua hati yang akan saling terluka apabila menasihati kerana Allah. Coolio, right? Ya, ya. Saya tahu, memang indah.

Senyum.

3. Takaful
Takaful itu bukanlah yang kita selalu dengar mengenai insurans takaful dan bila masuk usrah anda wajib ada insurans takaful. No, tidak! Tetapi takaful itu adalah sifat tolong menolong sesama sendiri dikalangan kita. Bahkan sebenarnya, sifat takaful dalam diri itu bukan hanya apabila berada dikalangan sesama ahli usrah sahaja, tetapi juga dalam kehidupan walau dimana anda berada. That’s it!

Dasar tolong menolong (takaful) dalam diri seseorang Muslim itu adalah tunjang iman dan intipati ukhuwah yang sejati. Didalam usrah, anda akan terlatih dengan perkara ini. Anda tidak akan berasa kedekut untuk mengeluarkan apa yang ada. Semangat kecintaan anda untuk mahu meringankan bebanan orang lain semakin hebat, bahkan!

Ya, ya. Saya tahu. *sambil buat gaya cool down, keep calm*

Saya tahu anda semakin melopong dan semakin merasa cool dengan usrah atau pun bulatan gembira, bukan? Saya tahu. Malah anda yang berada dalam bulatan gembira semakin bersemangat untuk berbulatan gembira yang seterusnya. Dan kali ini, anda ingin berkongsi tentang artikel ini dengan ahli-ahli usrah anda yang lain. Sengih.

Sampaikan salam saya kepada naqibah dan ahli-ahli usrah anda, ya!

Jadi perlu difahami, usrah bukanlah dibina kerana syok sendiri atau saja-saja. Bagaimana ya saya mahu mengkhabarkan? Baik, begini. Usrah ini adalah medium yang kelihatan kecil dan kelihatan seperti buang masa duduk-duduk sahaja — ramai orang berkata begini. Dan yang berkata begini pula bukanlah orang-orang yang mengikuti usrah. Sebenarnya tidak, ya kawan. Bagi saya usrah itu adalah wasilah terawal untuk kita memperbaiki diri kita sebelum kita terjun ke dalam bidang dakwah dan sebelum kita bergayut pada gerabak dakwah.

Disitu kita kenal apa itu dakwah. Apa itu tarbiyah.
Apa itu perjuangan menegakkan kalimah laa ilaha illallah.
Apa itu perjuangan untuk menyumbangkan kepada agama Islam.
… dan banyak lagi!

Bolehkah Saya Mengikuti Usrah?

Saya dulu pernah ditanya, “Bolehkah aku ikut usrah? Aku bukan pakai tudung labuh bidang 60. Aku pakai tudung 3 segi kecil ni saja. Rasa-rasa layak tak?” Saya yang tengah hisap straw minum aiskrim soda masa itu bagaikan mahu tersembur keluar minuman saya.

Saya pandang dia, “Wei, boleh sangat-sangat! Alaa, tudung tu no hal. Masuk je dulu, tiada paksaan. Lama nanti Allah akan bantu kau gerak untuk ubah apa yang patut!” Saya tepuk-tepuk bahunya. Dia angguk.

Well, saya sangat pasti. Semua orang menginginkan kebaikan. Dan ramai di luar sana yang sedang mahu memperbaiki diri seperti saya, kamu, kamu dan kamu. Kita semua sedang memperbaiki diri sendiri sebenarnya. Memperbaiki iman. Tiada yang sempurna diantara kita. Sebab itu kita saling memerlukan. Yeap!

Dan desas-desus mengatakan bahawa usrah itu adalah untuk orang-orang baik, orang-orang alim atau orang-orang yang jalannya asyik tunduk ke bawah sahaja, maka itu sudah silap. Semua orang boleh menyertai usrah dengan terbuka. Yang penting, ada keazaman untuk memperbaiki diri. Bersedia untuk ditarbiyah dan mentarbiyah!

Nah, ajak sahaja adik-adik, kakak-kakak, abang-abang di luar untuk menyertai usrah.

Ehem. *pegang tekak*

Orang-orang yang join usrah, lalu dengan aktiviti mereka itu, mereka rasa mereka termulia berbanding orang-orang yang tak ikut usrah, perlu periksa kembali keadaan jiwa mereka. Kerana usrah adalah medium untuk mencuci jiwa.

Bukannya bermegah bagai rahmat Allah itu kita punya!

Saya pasti usrah atau halaqah tidak pernah mengajarkan hal mengenai bermegah-megah. Sebaliknya usrah mengajar kita melembutkan jiwa-jiwa manusia. Kalau ada kumpulan usrah yang selalu bermegah-megah terhadap diri sendiri, atau menghina orang lain selain ahli usrah mereka, maka tinggalkan terus usrah itu.

Tolong,
jangan jadi fitnah kepada agama.

Usrah adalah medium untuk kita memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Bila kita ramai, kita kuat. Saling memperingati sesama sendiri. Dan bila kita berada dalam usrah, segala rasa ego dan angkuh sepatutnya tidak ada! Kita membincangkan hal-hal ummah, dan bukan hanya berbincang mengenai ahli-ahli usrah. Justeru, bagaimana mungkin sikap pentingkan diri sendiri dan memandang hina kepada orang lain ada dalam diri orang-orang yang join usrah?

Seharusnya kita lebih memandang orang lain dengan pandangan kasih, sebagaimana kita mahu Allah Ta’ala memandang kita dengan pandangan rahmat.

Syurga itu luas, kawan-kawan!

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *