Tidak Semua Perjalanan Itu Indah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Suatu hari, pernah duduk-duduk berbual dengan rakan sekuliyah. Dari sembang-sembang kosong sehinggalah menyentuh tentang kehidupan. Bab demi bab dalam kehidupan menjadi tajuk perbualan.

Seperti biasa; ada manis dan pahitnya dalam menuju proses perubahan.

Saya kira, pengalaman itu semua orang akan lalui. Dalam perjalanan untuk perubahan, tidak pernah tidak ada yang pahit. Tidak pernah tidak ada yang sakit. Tidak pernah tidak ada airmata yang tidak tumpah. Insan yang melangkah dalam perubahan, pasti akan merasai semua itu. Pengalaman pahit yang akan menjadi manis, akhirnya.

Dan pastinya, perjalanan hidup kita berbeza-beza!

Setiap Perjalanan Ada Simpangnya

“Ni gambar masa zaman jahiliyyah dulu. Masih pakai ketat-ketat macam ni. Masa tu gaya tudung macam-macam la. Pendek sana, pendek sini..”

Saya tersenyum sahaja. Cuba mendengar dengan baik. Orang lain ada cerita tersendiri. Saya pun begitu juga. Ada bab-bab dalam hidup yang mencatat peristiwa-peristiwa silam. Dan cukuplah kisah silam itu menjadi pengajaran yang sangat berguna.

Apa yang perlu disyukuri adalah, ALLAh Ta’ala telah sudi memberi rahmat-Nya kepada sesiapa yang telah berubah, mahupun kepada yang ingin dan sedang berubah. Cukuplah masing-masing memberi penghormatan kepada diri sendiri bahawa ALLAh Ta’ala memang memilih kamu untuk perjalanan ini.

ALLAh memilih kamu untuk berubah kerana kamu istimewa!

Memang. Kesempitan itu pasti akan ada. Pasti! Dan setiap ujian kesusahan yang dihadapi oleh setiap dari kita memang berbeza-beza. Namun yang sama adalah, tujuan yang satu. Berubah untuk mendapat keredhaan ALLAh Ta’ala.

Ada orang berubah, dipinggirkan oleh sahabat dan kawan-kawan.
Ada orang berubah, dipandang hanya berlagak baik sahaja.
Ada orang berubah, diberikan ujian dari keluarga.

Adakalanya, luka yang dirasai ketika perubahan itu memang takkan difahami oleh orang lain. Ada masa, kita akan terasa bahawa kita sendiri dalam perubahan itu. Tiada sesiapa di sisi, mahu pun mendengar luahan perasaan kita.

Pssst! Sahabat, maka pandanglah ke langit. Menyendirilah dengan-Nya, dan yakinilah hati itu bahawa, ALLAh Ta’ala sentiasa ada bersama-Mu. Dia ada. Tidak pernah jauh.

Simpang ujian kita berbeza-beza,
yang sama adalah untuk meraih redha-Nya.

Semoga ALLAh merahmati.

4 thoughts on “Tidak Semua Perjalanan Itu Indah

  1. assalamualaikum.
    hidup ibarat roda.
    kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang pula kita berada di bawah.
    jangan terlalu bersedih jika tidak ada orang di sisi yang menyokong kita untuk berubah kerana ALLAH sentiasa ada bersama kita. innallaha ma’ana 🙂

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *