Tiada Alasan Untuk Berputus Asa

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kenapa berputus-asa sedangkan pilihan untuk berjaya itu lebih indah? Credit picture : http://blackjack0919.deviantart.com/
Kenapa berputus-asa sedangkan pilihan untuk berjaya itu lebih indah?
Credit picture : http://blackjack0919.deviantart.com/

Kalau kita dalam sedar, ada waktunya putus asa itu akan datang menjenguk-jenguk jiwa. Biasanya putus asa itu akan menjenguk orang-orang yang mungkin sedang berusaha dalam sesuatu yang sangat diharapkannya untuk berjaya. Dan apabila yang diusahakan itu tidak berjaya, maka sekali lagi putus asa akan menjenguk jiwa. Tapi kali ini, putus asa menjenguk sambil mengetuk jiwa untuk membenarkan ia masuk.

Dan kalau kita berfikir positif, untuk apa kita berputus-asa?

Mari saya ajak kita berfikir. Kalau kita mengambil keputusan untuk berputus asa dalam hidup, kita nak lari daripada apa sebenarnya? Atau kita nak bersembunyi dari apa? Kalau kita rasa diri kita teruk sangat-sangat, dan kita berputus asa terhadap diri sendiri. Maka apa yang kita nak buktikan sebenarnya? Nak lari ke mana sebenarnya kita?

Katalah kita dah berputus asa, kita mahu apa selepas berputus asa?

Bukankah Semuanya Milik Allah

Tipulah bila kita tidak rasa sedih atau sedikit kecewa bila kita usahakan sesuatu itu, tapi tidak menjadi sekurang-kurangnya seperti apa yang kita harapkan. Rasa sedih dan kecewa itu kan fitrah manusia. Bukankah? Tapi jika kita benar-benar yakin bahawa semua apa yang ada di dunia ini, dan apa yang Dia kehendaki itu adalah yang terbaik, maka kita tidak akan bersedih lama-lama.

Allah Ta’ala pernah berfirman : “Maka apabila kamu telah selesai dari satu urusan maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain.” al-Insyirah : 7

Jika kita sudah selesai berusaha untuk sesuatu perkara itu, sepatutnya kita menyelesaikan hal yang lain pula. Memang benar kita menginginkan pengakhiran yang baik, tapi semuanya atas kehendak ALLAh Ta’ala jua. Sebab itu orang yang beriman, dia tidak akan bersedih lama.

Malah dia redha dengan apa yang ALLAh mahu. Dan meneruskan pekerjaannya!

Kawan, bukankah semua apa yang ada di dunia ini termasuk apa yang telah menjadi milik kita sekarang ini adalah berasal dari-Nya? Setiap satu adalah milik-Nya. Jadi mengapa kita mahu berputus asa, sedangkan semuanya akan kembali kepada-Nya?

Saya tak cakap jangan bersedih. Saya tak cakap kita tak boleh bersedih. Kalau airmata mahu merembes keluar kerana merasa kecewa disapa kegagalan, maka menangislah. Bagilah masa untuk diri kita sendiri bersedih. Kerana airmata itu kadang-kadang boleh menenangkan.

Tapi kalau untuk berputus asa? Sorry, you can’t my dear!

Instead of giving up, the best choice you have is; be patient!
Sabar.

Sabarlah, Pasti Akan Digantikan oleh ALLAh

Daripada berputus asa dan berlaku kejam terhadap diri sendiri, pilihan terbaik yang kita ada ialah bersabar dan terus berusaha. Yakinlah, ALLAh akan menggantikan apa-apa yang hilang itu dengan sesuatu yang lebih baik.

Kawan, ALLAh bakal memberi sesuatu yang lebih baik. Percayalah.
*tepuk-tepuk bahu kamu

Jangan disebabkan kita berputus asa, maka nikmat ALLAh Ta’ala yang lain yang diberikan untuk kita, kita tidak rasa pun. Kadang-kadang, ALLAh Ta’ala akan ganjari usaha kita yang bersungguh-sungguh, tapi bukan dengan apa yang kita usahakan.

Tapi dengan cara yang ALLAh mahukan!
Dan itu adalah yang lebih baik jika kita bersabar.

Kita cuma perlu senyum sahaja, yakin dengan ALLAh. Sabar dan berusaha bersungguh-sungguh. Yakin yang ALLAh tidak menzalimi para hamba-Nya, malah akan mengganjari apa yang kita kerjakan dengan ganjaran sebaik-baiknya (dan memang ALLAh tidak bersifat zalim, melainkan manusia itu zalim terhadap diri mereka sendiri).

Dalam masa yang sama, perbaiki ibadah kepada ALLAh Ta’ala.
Perbaiki hubungan dengan Tuan Punya Dunia. Sungguh-sungguh.

Kita semua pernah merasa kegagalan. *senyum

Pssst! Kadang-kadang, ALLAh Ta’ala saja mahu cuit, main-main dan menguji kita. Adakah kita kuat dan tabah dengan cuitan yang kecil itu sebelum kita diberikan cuitan yang lebih besar. Dan semua itu tidak lain tidak bukan, adalah tanda kasih dan cinta dari-Nya. Tabaarakallah.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *