Teruskan Atau Berputus Asa?

Bismillah.

Usaha, putus asa dan kejayaan itu hanya dipisahkan oleh satu garis nipis. Maka kita kita memilih untuk berusaha demi kejayaan, selamanya itu adalah jalan yang terbaik.
Usaha, putus asa dan kejayaan itu hanya dipisahkan oleh satu garis nipis. Maka kita kita memilih untuk berusaha demi kejayaan, selamanya itu adalah jalan yang terbaik.

Banyak kali rasanya dalam kehidupan ini kita berhadapan dengan situasi yang di mana kita berada dalam dua persimpangan. Adakalanya kita terasa sudah sangat tidak mampu untuk berhadapan dengan situasi tersebut atau kita sudah tiada daya untuk menghabiskan apa yang telah kita mulakan. Saya sangat pasti, kita semua pernah berada dalam situasi yang sedemikian. Sama ada mahu meneruskan langkah yang telah dimulakan. Atau mengakhirinya sebelum tamat. Dan biasanya mengakhiri sesuatu sebelum tamat itu meninggalkan luka yang dalam.

Kadang-kadang kita meragui kemampuan diri sendiri. Kita mengatakan bahawa kita takkan mampu lagi untuk sesuatu itu. Kita rasa diri kitalah yang paling lemah. Diri kitalah yang sangat tiada masa depan. Tapi ada waktu-waktu yang kita sangat yakin pada diri sendiri. Kita sangat yakin sehingga kita mengatakan bahawa dengan bantuan Allah SWT, kita pasti berjaya dengan apa sahaja yang kita sedang hadapi atau yang kita sedang lakukan. Namun sejauh mana keyakinan kita itu dalam menempuh hidup?

Pada saya, semua perasaan itu normal atau biasa. Kita semua pernah mengalaminya. Kita semua pernah melalui perasaan mahu berputus asa, takut dan tidak berdaya. Tapi apa yang membezakan kita semua? Mahu tahu? Yang membezakan setiap dari kita adalah, dia yang sejengkal sahaja lagi mahu berhenti, namun tetap meneruskan langkahnya walau beribu kali dia pernah rasa mahu berputus asa dalam hidup.

Itu bezanya, kawan.

Teruskanlah Langkah Atau Mati

Izinkan saya berkongsi satu cerita. Boleh? Ceritanya, pernah suatu hari saya bermain permainan video. Dalam permainan video tersebut, ada seorang hero yang perlu melaksanakan tugasnya untuk membebaskan negaranya dengan membantu sahabat-sahabat perjuangannya yang berada dalam tawanan musuh. Hero itu hanya akan dapat membebaskan kesemua sahabatnya setelah melalui peringkat demi peringkat dalam permainan video tersebut yang terletak di negeri-negeri yang berlainan.

Sampai di sebuah level, saya banyak kali gagal disitu. Sehingga saya geram mengetap bibir. Haha. Pertama kali gagal dan hero tersebut mati, muncul satu tetingkap yang bertulis lebih kurang, “Continue or Give Up?” Maksudnya, “Teruskan atau putus asa?” Oh, atas sebab-sebab tertentu, saya tidak akan dedahkan nama video game tersebut. Dan sedikit nasihat lagi untuk diri saya dan kita semua, bermain permainan video itu boleh. Tapi tetapkan masa jangan sampai terleka. Fikiran saya terus ingat kepada beberapa potong ayat dalam al-Quran.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah : Ayat 155-157)

Saya berfikir sendiri. Begitu jugalah hidup ini. Dalam hidup apabila berhadapan dengan semua situasi, kita ada pilihan untuk meneruskan atau kita berputus asa sahaja dari meneruskan sesuatu. Berapa ramai dari manusia yang berputus asa dalam hidup apabila berhadapan dengan dugaan? Ramai. Cara mereka berputus asa? Ada yang dengan membunuh diri. Ada yang menjauhkan diri dari Tuhan. Ada juga yang membenci kehidupan. Dan jika ada tanya saya, “Bolehkah saya berputus asa?” Saya akan tampar anda dengan tamparan kasih sayang dan akan berkata, “TIDAK BOLEH!”

Dilarang Berputus Asa

“Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat.” (Surah al-Hijr : Ayat 56)

Kawan, kerana putus asa itu sepatutnya adalah pilihan terakhir yang TIADA dalam KAMUS seorang Muslim atau pun atas nama seorang manusia itu sendiri. Berputus asa hanya akan membunuh jiwa. Percayakah? Berputus asa dalam kehidupan bererti kita mengakhiri hidup kita. Kesan dari berputus asa dalam hidup hanya akan membuatkan seseorang itu sentiasa berfikiran negatif dan tiada wawasan dalam hidup. Kerana baginya, hidup ini sudah tiada makna lagi.

Walau bagaimana pun, kita sentiasa ada pilihan yang mana kita perlu pilih yang baik sahaja. Mahu atau tidak, kita perlu untuk teruskan. Andainya satu hari nanti kita merasa mahu berputus asa, itu adalah biasa. Perasaan sedih dan kecewa terhadap diri sendiri, itu biasa. Mempunyai perasaan seperti itu adalah normal. Tetapi… Ya! Ada tetapinya. Saya, kamu dan kamu perlu untuk bangkit semula dan abaikan perasaan yang negatif itu. Katakan kepada diri, “Walau apapun yang berlaku, walau selekah mana pun aku nanti, walau teruk mana pun perjuangan ini, aku perlu teruskan!”

Saya teringat semasa belajar di Kuantan dulu, apabila terasa susahnya perjalanan seorang pelajar. Biasalah, perjuangan dalam mendapat ilmu itu satu hal. Perjuangan bersabar berhadapan dengan manusia itu juga satu hal. Kadang-kadang terasa seperti mahu duduk sahaja tidak mahu berbuat apa-apa. Tetapi setiap kali terasa begitu, saya akan buka sebuah buku yang mana ada tulisan yang berbunyi, “DILARANG BERPUTUS ASA!” Diikuti oleh beberapa potong ayat yang saya tulis sendiri. Dan keputusannya? Lepas membaca ayat itu setiap kali, saya menjadi positif dan tersenyum-senyum sendiri.

Lucu juga bila ingat semula.

Dan mahu tahu satu perkara? Sahabat perjuangan yang berada dalam pengajian yang sama atau pun sahabat yang berada dalam bidang pengajian yang lain juga pernah terasa hal yang sama. Rupa-rupanya perbezaan kami semua adalah bagaimana cara kami ‘deal’ dengan rasa mahu berputus asa tersebut. Kami pernah rasa mahu berhenti dari segalanya, tapi kami tangani perasaan tersebut dengan cara yang berbeza-beza.

Nampak tidak permainannya disitu? Sengih.

Kerana Kejayaan Itu Lebih Manis

Kawan, saya tahu kalian yang sedang membaca ini pasti sedang berusaha dalam hidup masing-masing. Kalian ada cita-cita yang perlu dikejar dan ada keluarga yang menanti kejayaan kalian. Saya pasti kalian juga sedang berusaha dengan cara kalian. Saya tahu kalian pernah merasa takut dan tidak mampu dalam perjalanan ini. Bahkan saya tidak takut untuk mengatakan bahawa mungkin kalian pernah menangis kerana takut akan berdepan dengan kegagalan. Sabarlah, kawan.

Kerana kalian tidak bersendirian. Kita sama sahaja.

Cuba bayangkan, kawan. Antara saat yang paling manis dalam hidup kita adalah apabila kita berjaya di penghujung usaha setelah penat lelah, tangis tawa, jatuh dan bangun dalam perjalanan kita menuju kejayaan. Seakan terasa bahawa hari itu adalah kita punya. Kita akan tersenyum dalam kepuasan. Bahkan mungkin kita akan menangis dalam kegembiraan. Menangis sebab syukur Allah SWT mengizinkan kejayaan itu menjadi milik kita setelah sekian lama kita berusaha.

Sesekali terasa diri sudah sangat tidak mampu untuk meneruskan lagi. Cubalah luangkan masa untuk diri sendiri mentadabbur alam. Pandanglah ke langit, pejamkan matamu. Hiruplah aroma alam ini dengan nafas yang dalam. Katakan kepada diri sendiri kita hendak menjadi yang terbaik dalam kalangan hamba Allah SWT dan umat Nabi Muhammad. Waktu itu, lapangkan jiwamu untuk merasakan kehadiran Allah SWT ke seluruh jiwamu dengan sungguh-sungguh. Hembuskan nafasmu dengan perlahan-lahan dan bisikkan kepada diri, “Ya Allah, aku tahu Engkau ada. Bantulah aku. Aku lemah dan tiada daya tanpa bantuan dari-Mu.”

Berdoalah jika perjalanan ini baik untuk kehidupan kita semasa di dunia maka semoga Allah SWT sudi menguatkan jiwa dan fizikal kita walau sejuta kali jatuh sekalipun! Percayalah bahawa jika sesuatu itu terasa semakin susah dan semakin rumit, maka jalan keluar atau jalan kesenangan dan kejayaan semakin hampir.

Allah SWT tidak pernah membiarkan kita.

Yakin dan yakinlah dengan janji Allah SWT dalam ayat ini, “Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Surah asy Syarh: Ayat 5-6)

Allah Tidak Membebani Hamba-Nya

Bak kata seorang kawan, “Apa nak susah-susah hati tak mampu? Go on sajalah! Kau juga pernah nasihat, Allah SWT takkan bagi ujian yang kita tidak mampu tanggung, kan. Jadi apa susah? Teruskan sajalah!” Kawan seperti ini memang diperlukan dalam hidup untuk mengetuk jiwa.

Ya, betullah tu. Allah SWT takkan memberikan kepada hamba-Nya suatu ujian yang hamba-Nya tidak akan tertanggung. Dan tidaklah Allah SWT memberikan ujian kepada kita semua lalu meninggalkan kita. Malah sebenarnya, Allah SWT sudah siap memberikan jalan kepada kita. Syaratnya, kita jangan berputus asa. Lupakah kita apa Allah SWT kata dalam ayat ini?

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. (Surah al-Baqarah: Ayat 286)

Allah sesekali tidak akan pernah memberikan sesuatu yang tidak tertanggung oleh kita semua. Mahu bukti lagi? Baik, saya perlukan kamu untuk buka alQuran atau terjemahan dan lihat pada ayat-ayat berikut, Surah al-Baqarah: Ayat 233, Surah al-An’am: Ayat 152, Surah al-A’raf: Ayat 42, Surah al Mukminun: ayat 62. Baca dan hayatilah dengan jiwa.

Apa yang kamu rasa?

Psst! Kamu tahu, kawan? Bahkan dalam setiap ujian yang Allah SWT berikan pun, Allah SWT menginginkan kemudahan bagi diri kita. Pertama, Dia tidak memberikan kita ujian yang tidak mampu ditanggung oleh kita. Kedua, Dia memberikan jalan kepada kita. Sama ada jalan-jalan yang Allah berikan itu kita sedar atau tidak. Allah SWT boleh memberikan ujian dalam sekelip mata. Dan jangan lupa juga, Allah SWT boleh menarik ujian itu dalam sekelip mata. Allah SWT berfirman,

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah: Ayat 185)

“Allah tidak hendak menyulitkan kamu.” (Surah al-Maidah: Ayat 6)

Saya pernah berbicara dengan sahabat seorang ini. Katanya pada saya, “Hakikat Allah tidak membebani kita dengan sesuatu yang tidak tertanggung tu pun adalah kelembutan dari Allah.” Bila saya fikir-fikirkan semula, memang betul sangat kata-kata sahabat saya itu. Cuma kita sebenarnya yang cepat melemah. Padahalnya, Allah SWT sudah berlembut dengan kita memberikan ujian. Yang mana hakikatnya ujian di dunia itu adalah untuk memberikan kekuatan dan kebaikan kepada diri kita. Betul, kan? Adakalanya kita tidak sedar bahawa kita menjadi orang yang kurang sabar.

Teruskan Dan Kita Akan Berjaya

Akhiri apa yang kita mulakan. Teruskan sahaja langkah, jangan berputus asa. Kerana apa? Kerana dalam berusaha itu, boleh jadi ada rahmat daripada Allah SWT. Jadi bagaimana kalau selepas mencuba, dan kita masih gagal? Well… Sekurang-kurangnya kita mencuba lagi dan lagi. Dan percayalah, Allah SWT pasti akan memberikan jalan.

Sesekali kita menjadi lemah dengan dunia itu, biasalah. Itu fitrah manusia. Manusia itu apabila lemah, mahu meluahkan segalanya. Dia mahu ada orang yang boleh mendengarkan rintihannya tentang usahanya. Dan ingatlah kawan, Allah SWT itu ada untuk kita luahkan segalanya. Tapi kita janganlah lemah selamanya. Dalam masa yang sama, teruskan dan bangkitlah dari jiwa yang lemah itu. Lagi pula, kalau hendak lemah sahaja selemah, tidak ke manalah kita.

Fikirkan sahaja ini, kita mungkin akan ada anak suatu hari nanti. Selepas generasi kita, dengan izin Allah SWT akan ada generasi yang akan datang selepas kita. Maka, saya sangat pasti.. Kita tidak mahu melihat anak-anak kita atau generasi kita yang akan datang menjadi seorang yang berjiwa lemah dan tidak kental dengan ujian-ujian hidup. Saya sangat pasti, anda tidak mahu begitu.

Justeru, kuatlah untuk diri sendiri dan keluarga. Dan kuatlah untuk generasi yang akan datang! Moga-moga Allah SWT sentiasa menambahkan kita di dunia dan akhirat.

Dan oh! Masih ingat permainan video yang saya main tu? Ala, yang level susah tu? Saya dapat melepasi tahap itu setelah lebih dari 10 kali mencuba. Senyum. Jangan salah sangka, bukan niat saya hendak mempengaruhi kalian untuk main sama. Cuma hendak sampaikan, dalam hidup pun begitu. Kita mungkin akan bertemu kegagalan berkali-kali. Tetapi kejayaan akan muncul jua nanti. Kita cuma perlu terus berusaha dan percaya.

Teruskan melangkah,
kawanku!

Peluk kamu dari kejauhan. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *