Terangi Malamku

Assalamu’alaikum w.b.t

Hakikatnya, malam yang lena itu tidaklah hidup sebenarnya. Credit Picture : http://www.davemorrowphotography.com/
Hakikatnya, malam yang lena itu tidaklah hidup sebenarnya.
Credit Picture : http://www.davemorrowphotography.com/

Jiwa kita ini, kadang-kadang kita tak sedar pun yang jiwa ini sedang koyak dan rabak. Hanya setelah jiwa kita ini membengkak dan bernanah, baru kita sedar. Baru kita rasa sakit. Hidup dalam dunia yang serba serbi sibuk dan sering berlumba-lumba, banyak waktu membuatkan kita lupa akan kesihatan jiwa kita. Pastinya, kalian mengerti apa yang sedang saya katakan ini.

Waktu siang kita, kita sibuk dengan perkara-perkara dunia. Yang pensyarah sibuk dengan kerjanya mengajar dan mendidik para pelajarnya. Yang pelajar, sibuk memenuhi keinginan dan justifikasi yang ditetapkan oleh pihak institusi pengajian tinggi agar lulus cemerlang. Para pekerja di sektor awam dan swasta juga sibuk saban hari. Pekerja buruh dan mereka yang kerja di tempat yang tidak berdingin hawa juga sedaya upaya membanting tulang untuk memenuhi keperluan keluarga.

Begitulah kita semua hakikatnya. Masing-masing sedang sibuk dengan prioriti dan cita-cita kita. Semua orang di sekeliling kita sedang bergerak pantas. Termasuklah kita. Kadang kala kesibukan itu merampas waktu kita bersendirian bersama dengan Tuan Punya Dunia.

Malam pula kita kepenatan. Kerja pada siang hari adakalanya dibawa sampai ke malam. Tiba waktu tidur, kita akan tidur sampai waktu subuh atau hingga waktu pagi. Tiada lagi masa kita bersama Tuhan. Sepertimana malam-malam orang-orang soleh terdahulu. Malam kita hanya untuk tidur.

Betul, bukan?

Terasa Lompong Dihati

Pernah pada satu waktu itu, setelah segala tugasan yang diberikan oleh pensyarah telah saya siapkan dan hantar. Presentation yang bertubi-tubi juga telah terlaksana. Maka, hati seorang pelajar manakah yang tidak senang hati? Hihi. Tetapi terasa pada malam yang lapang itu sangat lapang. Sehinggakan rasa jiwa sedang kebocoran.

Saya duduk di birai katil. Tertanya-tanya dengan diri sendiri. Apa yang sedang berlaku sebenarnya? Seperti ada yang kurang. Ibarat masakan rakan serumah tadi yang bila dia meminta untuk saya rasa apa yang kurang dalam masakannya, ternyata kurang garam. Hah, begitulah perasaannya.

Malam itu saya tidur awal. Hajat hati tidur selepas isyak dan bangun pada waktu tengah malam nanti untuk buat sedikit sebanyak ulang kaji. Saya tertidur dan saya bangun. Menuju ke dapur untuk membuat kopi, menyegarkan mata. Duduk di meja belajar. Masih terasa pelik. Kopi dihirup sehingga habis. Tengah malam yang sepi. Sesepi hati ini.

Akhirnya, saya menuju ke bilik air dan ambil wudhu. Wallahi, ini rupanya yang jiwa ini sangat inginkan. Solat sungguh-sungguh, dan merasakan bahawa sedang berdiri di hadapan Allah SWT. Di kedinginan malam, airmata ini menitis. Terima kasih ya Allah, sebab hadirkan perasaan ini. Saya terduduk lama di sejadah. Memandang sejadah berwarna kelabu dan flashback memori di sepanjang kesibukan dan kelalaian diri sendiri. Aduhai, diri ini!

Firman Allah SWT, “Dan sebutlah nama Rabb-mu pada (waktu) pagi dan petang. Dan pada sebahagian dari malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bahagian yang panjang di malam hari.” (Surah al-Insan : Ayat 25 – 26)

Kadang-kadang solat kita itu tergesa-gesa pada siang hari. Kerana ada tuntutan kerja kata kita. Walhal sebenarnya jika kita jaga solat, maka pekerjaan kita juga terjaga. Malah jangan terkejut jika saya katakan kita pernah mendirikan solat hanya kerana fasa ‘tidak mahu tinggalkan solat’. Maka kita mendirikan solat hanya dengan pergerakan sahaja, tetapi tidak pada penghayatan bahawa solat itu adalah masa yang sebenar-benarnya masa kita bersama Allah SWT.

Wahai!

Dunia Boleh Tunggu

Sibuk-sibuk kita, adakalanya membelakang akhirat. Sesuatu yang pedih. Dan saya sendiri seakan-akan mahu menidakkan. Tetapi, mahu setuju atau tidak.. Adakalanya itulah realiti kehidupan kita pada hari ini. Kesal? Ya, sangat kesal. Kecewa juga.

Seseorang yang dekat dihati saya pernah menasihatkan, sibuk-sibuk disiang hari pun, kalau sudah masuk waktu solat, maka tinggalkan kerja dan pergilah solat. Solat yang sekejap itu tidak akan mengganggu kerja-kerja kita yang tidak akan pernah habis. Tapi, jujurlah terhadap masa kita sebagai seorang pekerja. Jangan jadikan solat itu sebagai alasan untuk anda tidak melaksanakan kerja-kerja anda sebagai seorang pekerja. Allah SWT tidak suka yang sedemikian. Boleh menjadi fitnah kepada agama dan diri kita sendiri.

Tetapi saya kira apabila tibanya waktu malam, kita perlu belajar untuk berkata kepada diri sendiri bahawa dunia boleh tunggu. Sambil-sambil mendepakan tangan ke hadapan seolah-olah memberikan isyarat ‘Stop!’. Silalah bayangkan (haha). Daftar keluar segala jenis media sosial. Katakan kepada dunia, “sila tunggu wahai dunia. Sekarang ini adalah masa saya bersama Tuhan saya. Jangan ganggu!” Jangan bertangguh dan terus menghadap Tuan Punya Dunia.

Mujahadah atau perjuangan seperti ini, perlu ada dalam diri setiap dari kita.

“Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Rabb-mu, maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan Kami, dan bertasbihlah dengan memuji Rabb-mu ketika kamu bangun berdiri, dan bertasbihlah kepada-Nya pada be-berapa saat di malam hari dan waktu terbenam bintang-bintang (di waktu fajar).” (Surah at-Thur : Ayat 48 – 49)

Kenapa saya katakan perjuangan? Ya, perjuangan dengan diri sendiri. Apabila namanya ingin meraih redha dan rahmat daripada Allah SWT, maka itu adalah perjuangan diri kita sendiri. Orang lain begitu juga. Sedang berlumba-lumba mendapatkan redha daripada Allah SWT.

Mencontohi Malam Orang Soleh

Rasulullah SAW pada siang hari, sibuk benar baginda mentadbir dan menguruskan ummah. Namun pada malam hari, baginda SAW jugalah yang paling sibuk dalam beribadah kepada Allah SWT. Dan amalan itu terus-menerus diamalkan oleh orang-orang soleh semenjak dahulu hingga sekarang.

Dulu-dulu, saya pernah tertanya-tanya. Diorang yang berjaga malam sebab solat dan membaca al-Quran itu, tidak penatkah? Cukup tidurkah bangun pukul 3 pagi, mendirikan solat malam. Masuk waktu solat subuh, tidak tidur sehinggalah berangkat untuk pergi kerja. Apa rahsia mereka itu?

Setelah sekian lama, baru saya tahu. Mereka juga disibukkan dengan dunia. Mereka juga banyak kerja. Tapi mereka berbeza sekali. Mereka tahu yang mana dunia, dan mana akhirat. Malah mereka sangat menjaga masa dan pandai menguruskan masa. Waktu siang adalah waktu yang sibuk. Waktu malam pula adalah waktu kerehatan. Namun, malam itu tidak dihabiskan untuk tidur semata-mata. Tetapi dibawa jasad itu menghadap Allah SWT tatkala jutaan manusia sedang lena diulit mimpi. Bagi mereka, menghadap Allah SWT itu juga adalah kerehatan pada mereka.

Ingat firman Allah SWT yang ini,

“Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah).” (Surah az-Dzariyat : Ayat 17 – 18)

Salah seorang pensyarah saya, Ustaz Nizam berkata, “Kamu belajar, jangan sampai tengah malam. Paling lewat pukul 12 tu tidur. Sejam sebelum subuh bangun pula, beribadat. Kamu muda lagi, jangan tidur lewat. Esok-esok dah tua nanti tak larat.” Masih segar di ingatan.

Sepertimana firman Allah SWT, “Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmu hendaknya kamu berharap.” (Surah as-Syarh : Ayat 7 – 8)

Semoga kita semua dapat ubah tabiat tidur. Mungkin akan ada waktu-waktu yang memerlukan kita untuk korbankan tidur yang sedap. Namun tidurlah sekejap, dan niatkan untuk kita mahu berehat kerana mahu mendirikan solat kerana Allah SWT dan menyiapkan kerja-kerja kita.

Terangi Malamku Dengan Airmata

Bila kali terakhir kita menangis? Tidak, bukan menangis kerana manusia. Tapi menangis di hadapan Allah SWT. Mengakui segala dosa tanpa satu pun yang terselindung. Bila? Tidak perlu jawab beri jawaban kepada saya. Beri dan jawab kepada diri sendiri.

Pada waktu malam itu, ada keistimewaannya yang tersendiri. Ada misterinya yang tersendiri. Realitinya, waktu malam itu lebih tenang dari waktu yang siang. Mungkin antara hikmah Allah SWT jadikan pada waktu malam adalah untuk memberikan peluang kepada para hamba-Nya untuk menambah amalan dan pahala. Kan? Dalam sebuah hadis,

Amru Ibn ‘Abasah berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah! Malam apakah yang paling di dengar?” Rasulullah SAW menjawab, “Tengah malam terakhir, maka solatlah sebanyak yang engkau inginkan, sesungguhnya solat waktu tersebut adalah maktubah masyudah (waktu yang manusia bermunajat, Allah menyaksikannya dan apabila berdoa maka didengar doanya)” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Wahai kawan, semoga kita semua termasuk anak cucu cicit serta seluruh keturunan kita menjadi orang-orang yang melazimi solat malam. Dan semoga solat malam itu adalah penyeri dan penerang pada waktu malam di rumah-rumah kita. Semoga kawan, semoga.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *