Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Tentang Cahaya Yang Datang

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Tentang cahaya itu yang datang. Credit Picture : http://kreavi.com/13749/Cahaya

Tentang cahaya itu yang datang.
Credit Picture : http://kreavi.com/13749/Cahaya

Hari itu, sangat teringin benak untuk keluar berjalan. Berjalan bukan tujuan mahu berbelanja, tapi hanya sekadar menghirup udara dan menjamah pemandangan yang berbeza. Sesekali, diri sendiri patut diganjari dengan sesuatu yang indah. Sebagaimana iman kita tidak boleh dalam keadaan statik sahaja. Maka kita kena ada usaha untuk menebalkannya.

Kalau iman itu ada turun naiknya;
maka biarlah kita jadi orang yang selalu menggapai saat naiknya.

Entah rasa apa yang Allah Ta’ala hadirkan pada hari itu – yang pastinya rasanya sesuatu yang sangat berbeza. Jiwa mungkin boleh dikatakan sudah berada dalam kehujanan yang basahnya hanya diri sendiri sahaja yang tahu, selain Rabb.

Satu perkataan yang boleh gambarkan rasa pada hari itu – kesedihan.

Seakan-akan jiwa mencari cahaya. Cahaya yang didahagakan oleh semua orang; hanya kita sedar dan tidak sahaja bezanya. Dan kita mahu menerima atau tidak, persoalannya.

Tentang sebuah cahaya.

Cahaya Yang Menyapa

Tentang cahaya; apa yang kita rasa mengenainya?

Hadirnya menyapa semua orang. Mengetuk jiwa-jiwa yang terpilih dan mahu dipilih. Berkali-kali, dengan setia mengetuk dan mengetuk lagi. Namun ada orang yang menutup pintu hatinya dengan rapat. Entah apa yang ditakutkan dengan cahaya yang datang mengetuk itu.

Ada yang memberi hatinya separuh, cahaya hanya masuk sekadarnya sahaja.
Tidak kurang yang masih ragu-ragu.

Manalah cahaya akan masuk dengan terpaksa tanpa dibuka dulu jendela oleh empunya jiwa.

Cahaya, cahaya, cahaya.
Cahaya takkan hilang.

Bukan datang saja-saja. Bukan juga datang kerana hendak mengganggu ketenteraman jiwa. Tapi hadirnya membawa pelita. Dari keburukan-keburukan semalam;

hijrah ke arah perkara-perkara kebaikan.

Bukankah sebenarnya indah cahaya yang hadir itu?
Bukan kerana ia adalah cahaya;
Tapi cahaya yang membawa satu pesan dan amanah;
dari Tuhan yang mengasihi kita.

Cahaya itu —
untuk aku,
untuk kamu,
untuk dia,
untuk mereka, dan untuk semua.

Kita akan dapat kebaikan-kebaikan dari cahaya yang datang. Kita hanya perlu merelakan, kawan. Iya, merelakan cahaya itu memasuki celahan-celahan jiwa yang mungkin sedang tandus dan gersang, akan sebuah kerinduan kepada Tuhan.

Kita dikasihi Allah sebenarnya;
dan untuk itu;
kita cuma perlu mengikut cara untuk dikasihi oleh Dia.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *