Solat Itu Sumber Kejayaan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Didalam solat itu, ada kiriman dari ALLAh Ta'ala!

Solat yang khusyuk menjanjikan ketenangan.

Umum tahu, orang yang mengerjakan solat akan memperolehi keberkatan dalam hidupnya kerana solat itu akan memberi keberkatan kepada jiwa dan melapangkan fikiran daripada seberang keserabutan dunia.

Kesannya, peribadi manusia akan terbentuk; bergantung kepada ALLAh Ta’ala dan sentiasa bertawakkal kepada-Nya dalam setiap perbuatan yang dilakukan.

Solat merupakan medium yang melambangkan keakraban manusia dengan Tuhannya.

Ketenangan Yang ALLAh Berikan

Orang-orang yang tetap memelihara solatnya inshaAllah akan diberikan keyakinan oleh ALLAh. Dengan solat yang khusyuk maka tiada lagi keresahan dalam diri malah jiwa manusia pula semakin dikuatkan dengan semangat yang tinggi untuk mencapai sesuatu atau mengerjakan sesebuah pekerjaan sehingga berjaya dan cemerlang.

Oh. Hari ini Hari Guru. Dari kejauhan, sempat juga saya mengirimkan sms berupa ucapan kepada guru-guru saya -semoga ALLAh menerima amal mereka, Aamiiin. Dan saya mendapat beberapa balasan sms dari guru-guru yang disayangi termasuklah daripada Mudir yang dicintai. Masih juga seperti dulu terselit pesan yang ringkas tapi sangat besar maknanya..

“…belajar rajin-rajin dan jangan tinggal solat…”

Kalau dulu, selalu sahaja meluncur bait kata daripada mulut beliau mengatakan bahawa, orang yang berjaya itu adalah orang yang memelihara solatnya. Biar mantap hubungan dengan ALLAh. Alhamdulillah~

Hakikatnya, kejayaan hidup seseorang itu akan lebih tenang dan bermakna bergantung kepada sejauh mana dia mentaati perintah ALLAh terutamanya solat lima waktu.

Dengan kudrat dan kesihatan yang masih baik, kerjakanlah solat dengan sebaiknya dan dahulukan solat melebihi perkara lain yang tidak mustahak. Percayalah, anda tidak akan pernah mahu merasa kehilangan upaya untuk berdiri, rukuk dan sujud dalam solat. Hargainya sebelum ditarik bila nikmat sementara itu.

Solat Penghubung Dengan ALLAh

Saya jadi teringat bagaimana Rasulullah SAW sendiri menitikberatkan soal solat; solat lima waktu mahupun solat dimalam hari. Sehingga pernah kaki Baginda bengkak akibat berdiri dan melakukan solat dengan terlalu lama. Malah dada Baginda juga basah dek rintihan seorang hamba kepada Tuhannya.

MashaAllah. Tabarakallah~

Malah setiap kali menghadapi ujian, cabaran mahupun kesulitan dalam hidup Baginda sepanjang menyebarkan ajaran Islam, Baginda akan mengambil waktu untuk melakukan solat terlebih dahulu memohon petunjuk daripada ALLAh Ta’ala dan memohon ketenangan jiwa untuk melaksanakan misi Islam.

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada ALLAh) dengan sabar dan solat. Sungguh, ALLAh beserta dengan orang-orang yang sabar.” – al Baqarah : 153

Begitulah Rasulullah SAW. MashaAllah~ Rasul ALLAh yang sangat mulia itu pun solat memohon kepada-Nya agar diberikan petunjuk dan jalan penyelesaiannya. Jadi, bagaimanakah kita insan yang biasa penuh dosa ini?

Mencegah Kemungkaran Membuah Kebaikan

Saya nak cakap, melalui solat, manusia akan terdidik supaya merendahkan diri dan hati untuk sujud kepada Tuhan Yang Maha Esa. Maka dengan itu, terbentuklah kehidupan manusia yang lebih berdisiplin dan berakhlak mulia.

“..Sesungguhnya solat itu mencegah dari pebuatan keji dan mungkar..” -al Ankabut: 45

Macam mana solat boleh mencegah perbuatan mungkar?
Subhanallah. MashaAllah.

ALLAh bekerja secara rahsia~

Boleh jadi apabila anda terniat mahu melakukan suatu perbuatan mungkar, maka ALLAh Ta’ala campakkan rasa malu anda kepada-Nya. Atau ALLAh akan terbitkan rasa bersalah yang amat ke dalam jiwa anda sebelum melakukan perbuatan tersebut. Dan boleh jadi juga ALLAh akan membuat anda dihimpit dengan bayangan dosa akibat apabila akan melakukan perbuatan dosa tersebut.

ALLAh Ta’ala punya cara yang tersendiri.

Anda tahu anda solat anda sedang menyembah ALLAh. Semasa solat, anda yakin anda sedang menyeru, memuji dan memuja dan berkata-kata kepada ALLAh. Kerana anda yakin, ALLAh sedang memerhatikan tingkah dan mendengar doa anda, kan?

Maka, apakah orang yang betul-betul memelihara solatnya, orang yang yakin dia sedang diperhatikan oleh ALLAh Ta’ala tidak disapa dengan rasa bersalah yang amat apabila melakukan sesuatu dosa sedangkan dia tahu bahawa ALLAh Ta’ala melihat segala perbuatannya?

Orang yang mahu berjaya, sentiasa terdorong oleh Tuhannya dek kerana dekatnya dirinya dengan Tuhannya melalui solat dan amal ibadah yang lain. Kalau pun dia gagal, maka dia tahu bahawa setelah berusaha, natijah usahanya, ALLAh-lah yang akan menentukan.

Kejayaan seseorang itu tidak bergantung pada usahanya semata.

Pssstt! Bukan sedikit orang yang merupakan orang-orang berjaya dan berjasa adalah orang yang tetap memelihara hubungannya dengan Tuhannya. Orang-orang yang tetap menjaga solat lima waktunya. Dan orang-orang yang tetap berusaha menjaga solat malamnya. Dan orang yang menjaga hubungan sesama manusia.

Allahuakbar. Orang-orang seperti itulah yang saya mahu menjadi. Anda bagaimana?
Moga ALLAh Ta’ala memberikan saya dan anda serta anda kesempatan, kerajinan dan kekuatan untuk melakukannya. InshaAllah~ *kenyitmatakatkamu*

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *