Solat : Hanya Sekadar Kebiasaan?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

[Ihsan Dari Pak Google]

“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” [Al-Ankabut :45]

Manusia, dengan solat, lebih dekat dirinya kepada ALLAH. Dengan solat, manusia dapat memelihara diri dari kemungkaran. Dengan solat, orang Islam dan orang Kafir dapat dibezakan. Dengan solat, hati kan menjadi tenang. Dengan solat, ramai orang yang sudah berjaya. Dengan solat, ada hamba ALLAh yang terpilih kembali kepada-Nya dalam sujud.. Dan, dengan solatlah kesempurnaan seorang hamba ALLAH.

Ada sesetengah daripada kita menunaikan solat hanya kerana kebiasaan atau hanya sebagai rutin yang hanya sekadar rutin bagi seorang Muslim. Dan ada sesetengah daripada kita hanya bertaqlid buta sahaja mengikut solat tanpa mengetahui sebab apakah untuk solat? Yang diketahui hanya, kerana kebiasaan orang Islam berbuat demikian ; rukuk, sujud maka hanya mengikut sahajalah.

Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pelajar, seorang anak, seorang pendakwah kepada diri sendiri, seorang kakak atau abang, seorang sahabat dan kawan. Kadangkala terasa sungguh kita keletihan, dan adakalanya terbujur di atas tilam merehatkan badan yang terasa penat. Begitulah setiap hari yang kita lakukan. Dan kadang-kadang kerana kesibukan seperti di atas, ramai hamba ALLAH yang terleka. Terleka untuk ‘berehat’ beberapa minit di hadapan Tuan Punya Dunia.

Apabila Solat Itu Hanya ‘Kebiasaan’

Orang yang solat kerana hanya dilakukan sebagai rutin harian tanpa mengetahui kenapa perlu solat dan apa keperluan serta keajaiban solat hanya memenatkan diri sendiri rukuk dan sujud. Kerana pergerakan solat yang dilakukan tanpa memahami keistimewaan solat, akan terasa lebih berat, terasa lebih malas untuk melakukan solat.

Solat menjadi syarat yang dilakukan untuk mencukupkan syarat hidup. Dan jika solat ini hanya menjadi ‘kebiasaan’ sahaja, maka tidak hairanlah jika seseorang yang meninggalkan solat itu tidak berasa apa-apa. Kerana pada penetapan dalam fikirannya, solat ini hanya suatu ada dan rutin yang perlu dilaksanakan. Alangkah kasihannya kita!

Satu kehairanan bagi saya apabila saya tidak merasa apa-apa apabila mendengarkan azan. Saya takut. Saya takut adakah salah satu nikmat mencintai agama sendiri, ALLAh akan tarik? Oleh itu, saya berusaha untuk tidak menjadi golongan yang menganggap solat hanya ‘biasa-biasa’ sahaja.

ALLAH Jadikan SOLAT Sebagai Waktu Rehat

Teringat saya kata-kata seorang Ustaz..

ALLAH tahu kita sebagai hamba akan sibuk di atas muka bumi ini. Sibuk menghadapi dugaan dari pelbagai arah yang sememangnya datang daripada ALLAH juga. Sibuk dengan masalah hati dan sebagainya. Sibuk membawa manusia yang lain mengenali ALLAH. Oleh itu, tidakkah kita berfikir akan solat 5 waktu itu sebagai apa? Iya, waktu solat sebanyak lima kali itulah ALLAH sediakan buat hamba-Nya untuk merehatkan otak, bersimpuh sujud sambil mengadu kepada Yang Maha Mendengar.

Setelah mengetahui waktu rehat itu, sememangnya masih ada manusia yang sewenang-wenangnya meninggalkan solat. Meninggalkan solat dengan alasan, penat dan tidak larat. Bagi saya sendiri, amat lucu kedengaran. Penat? Tidak larat? Apakah solat itu dengan berlari? Apakah solat itu perlu melompat? Apakah solat itu dengan menjerit-jerit? Justeru, dari manakah datangnya alasan tidak larat?

Tidak lain tidak bukan, kerana kemalasan yang ada pada diri lalu si syaitan yang tidak pernah leka akan mula mencucuk jarum. Maka, sekali lagi anak Adam itu tertipu oleh dunia.

Awalkan Persediaan Dirimu

Solat itu tiang agama, siapa yang mendirikannya maka dia telah membangunkan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya, maka dia telah memusnahkannya – Sabda Rasulullah SAW.

Sebaiknya-baiknya, 10 minit atau lebih awal sebelum masuk waktu solat kita telah berada di hamparan sejadah untuk menunggu waktu seruan menghadap Kekasih. Dengan waktu yang lebih awal itu, dapatlah kita menenangkan fikiran dan merehatkan sedikit otak yang ligat memikirkan masalah dunia.

Sebagai contoh, anda menonton cerita kegemaran anda. Anda mengerling jam di dinding, oh waktu solat 5 minit sahaja lagi. Dan anda masih tidak berganjak untuk bersiap-siap menghadap Kekasih. Dan apabila masuk waktu solat, anda berdiri.. Dan sudah semestinya fikiran anda waktu itu, anda akan menyambung cerita yang anda tonton sejurus selepas anda usai melakukan solat. Apakah dalam solat yang anda dirikan tadi, fikiran anda tidak memikirkan mengenai rancangan yang anda tonton? Nah! Jangan menipu! Tetapi seandainya anda langsung tidak berfikir mengenai rancangan yang anda tonton tadi, saya tabik pada anda!

Apa yang cuba disampaikan di sini ialah, ketidak khusyukan anda solat apabila 2-5 minit lagi waktu solat masuk, tetapi anda masih melakukan kerja-kerja yang semestinya akan mengganggu fikiran anda pada waktu anda berdiri menghadap ALLAH. Dan itulah gunanya anda perlu bersedia lebih awal daripada masuknya waktu solat agar anda dapat merehatkan otak yang berfikir tentang keduniaan dan akan dapat menumpukan waktu ‘berkasihan’ dengan Kekasih dengan lebih khusyuk lagi.

Sama-samalah kita perbaiki diri. Wallahu’alam.

Semoga ALLAH merahmati.

2 thoughts on “Solat : Hanya Sekadar Kebiasaan?

  1. Sama-sama.

    Sama-sama mengambil yang berguna dan membuang jauh-jauh yang sia-sia.

    Terima kasih sudi singgah ke teratak buruk ambe. =)

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *