Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Siapa Kita Disisi Allah Ta’ala?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kita takkan pernah tidak diketahui dihadapan Tuhan.

Kita takkan pernah tidak diketahui dihadapan Tuhan.

Petang itu, berjumpa dengan kawan lama. Kebetulan kami sama-sama cuti semester pada masa itu. Dia belajar jauh di luar Negara, saya ini pula belajar di dalam negeri sahaja. Maka, memang jaranglah untuk bertemu bertentang mata, lutut bertemu lutut dan bahu bertemu bahu seperti hari itu. Sebab itu bila ada kesempatan seperti ini, maka tidak akan saya lepaskan. Bertemu dengan sahabat-sahabat juga adalah suatu nikmat dari Allah.

Selesai makan di Restoran Nur Hikmah, Bandar Letat pada petang itu, kami terus menuju ke tembok. Kalau yang berasal dari Sandakan, Sabah tahulah tembok ini di mana. Disitu kami duduk, berjalan dan sembang-sembang soal kehidupan masing-masing. Berkongsi kisah-kisah yang merentap jiwa, yang menyentuh hati. Tidak kurang pula berkongsi peristiwa yang paling membuatkan diri masing-masing terkesan dengan hidup ini.

“Su, aku belajar banyak perkara di sana. Di sana, Islam tak terlihat macam di Malaysia sekarang ini. Mana ada nampak ramai orang pakai tudung kat sana. Tapi, tarbiyah dari Islam itu sendiri sangat memberi kesan kot. Walaupun di tempat yang asing.. Tapi di tempat yang asing itulah aku jumpa kemanisan. Seriously..” luahnya sambil memandang hempasan ombak dicelah-celah batu yang ada di situ. Saya mengangguk, mendengar bicaranya.

Saya mencelah, “Kadang-kadang, kita akan jumpa Islam di Negara yang muslim bukan majority penduduknya. Dan ada waktu kita akan jumpa tiada pun Islam dalam Negara yang digelar Islam. It’s freakin’ out, kan?” Saya sengih saja.

“Kadang-kadang, aku tertanya sendiri bila duduk seorang-seorang. Siapa kita ni disisi Allah ya? Orang lain mungkin dah lebih advance mendapat tempat di sisi Allah, kita ni mungkin tak gerak-gerak pun walaupun rasa macam dah banyak sangat buat. Hahaha.”

Siapa kita disisi Allah?

Soalan itu benar-benar membuat saya terfikir. Sangat. Mungkin selama ini kita sibuk berfikir dan berusaha menempatkan diri kita pada pandangan manusia mengikut kelayakan yang manusia dambakan, tapi kita lupa untuk menilai dan bersoal jawab dengan diri kita sendiri bahawa siapa kita ini disisi Allah? Apa pandangan Allah terhadap kita?
Adakah Dia sudah redha? Atau pun sebaliknya? Na’udzubillah.

Bagaimana Hubungan Kita Dengan Allah?

Memeriksa hubungan dengan Allah Ta’ala bukan sesuatu yang dilakukan sebulan sekali, dua minggu sekali atau seminggu sekali. Tapi sebenarnya perlu diperiksa selalu, setiap hari, setiap waktu. Ambillah waktu ketika bertemu dengan-Nya melalui perantaraan solat. Kadang-kadang kita terleka dalam mengejar keselesaan hidup di dunia.

Sebab itu jangan hairan, sekiranya kita tetap melakukan sesuatu pekerjaan yang baik dan tidak dimurkai oleh Allah, tapi kita sendiri terbabas niat untuk melakukannya dengan menetapkan dihati bahawa setiap sesuatu yang dilakukan itu haruslah dipaksikan kepada Allah Ta’ala. Hanya kerana Dia! Bagi saya, terlupa atau terlalai seketika itu biasa. Asal saja selepas itu kita cepat-cepat mengetuk jiwa sendiri.

Kalau tanya saya, bagaimana hendak memeriksa hubungan dengan Allah? Periksa perkara atau benda basic terlebih dahulu. Cuba lihat, kebersihan diri kita bagaimana? Kekemasan dan kebersihan bilik atau rumah kita macam mana? Akhlak kita sesama manusia, bagaimana? Diri kita, bagaimana? Terlebih-lebih pula, peribadi kita sendiri bagaimana?

Adakah semuanya baik-baik sahaja?

Orang sering terlupa lalu perkara asas dipandang enteng malah tidak mementingkannya. Baik, saya tidak mengatakan hal tersebut adalah tunggak kepada hubungan dengan Allah. Tapi saya katakan antara perkara-perkara asas yang perlu kita periksa. Yang setiap hari kita buat, dan merupakan rutin harian kita. Betul atau tidak?

Cuba bayangkan, kebersihan diri diabaikan. Kekemasan diri, rumah atau bilik memang jauh sekali untuk diambil berat. Akhlak sesama manusia pula haru-biru. Peribadi kita pula manusia tidak menyenangi, malahan. Asbab diri kita ini suka ambil lewa. Nah, katakan pada saya bagaimana peribadi seseorang yang mengabaikan antara perkara dari banyak perkara asas itu akan menjadi seseorang yang disenangi oleh Allah Ta’ala?

Sedangkan Islam itu mementingkan kebersihan. Kekemasan. Malah, Allah Ta’ala sendiri dirakamkan dalam sebuah hadis, bahawa Dia menyukai kecantikan.

“Sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah sukakan kecantikan.”
(Hadis riwayat Muslim dan At-Tirmidzi)

Kita ini, menjadi manusia. Menjadi hamba-Nya yang terpilih untuk berada di muka bumi ini adalah untuk mahu membuat ALLAh suka kepada kita!

Selepas itu periksalah pula solat kita bagaimana. Ada orang, cepat sahaja kakinya bergerak melangkah untuk menghadap Tuhan Punya Dunia usai azan berkumandang. Ada orang pula, takkan solat selagi belum berada dihujung waktu perpindahan waktu solat. Saya jadi teringat pada sindiran Ustaz Nizam ketika berada di dalam kelasnya dulu, “Kalau makwe/pakwe call, cepat je kamu semua nak angkat ye. Siap sopan santunnya lagi. Tapi kalau Tuhan panggil solat, tak naklah pula. Eh kamu kena ingat ya, solat itu ialah menuju kejayaan!”

Hendak tengok bagaimana pentingnya Allah dalam hidup kita, tengok pada waktu kita menunaikan solat. Adakah kita bersegera kepada-Nya? Atau kita sengaja berlambat-lambat kepada-Nya? Kalau ya, maka diri itu perlu diperiksa semula.
Apakah manusia mengharapkan bantuan Allah cepat tiba kepadanya saat dirinya ditimpa ujian. Tetapi dirinya tidak bersegera kepada Allah memenuhi panggilan?

Apakah manusia tidak mempunyai malu?

Firman Allah Ta’ala, “Dan sesiapa yang kufur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia.” Surah an-Naml : 40

Allah Tidak Perlu Pada Manusia

Sesuatu yang penting yang perlu ditanam sedalam-dalamnya dihati dan minda kita, bahawa ALLAh tidak akan rugi apa-apa pun jika manusia tidak mahu menyembah Dia. ALLAh Yang Maha Besar tidak akan sesekali berasa kekurangan jika manusia berpaling dari-Nya. Dan kekuasaan ALLAh tidak akan berkurang sebesar zarah pun sekiranya ada manusia yang berhenti beramal ibadah dan mengabdikan diri kepada Dia.

Dan sebenarnya persoalan akan berbalik kepada diri manusia itu sendiri.

Manusia tidak akan mampu hidup tenang sekiranya dirinya tidak menjalankan rutinnya sebagai seorang hamba ALLAh. Mungkin dia akan hidup seperti manusia yang lainnya secara zahirnya. Dan mungkin dirinya mempunyai kesenangan hidup yang berupa wang dan harta, serta mempunyai cawangan perniagaan yang banyak. Tapi sesekali, jiwanya tidaklah akan disinggahi oleh rasa bahagia dalam ketenangan yang datangnya dari Allah Ta’ala.

Ditekankan sekali lagi, tidaklah ALLAh itu akan rugi apa-apa sekiranya manusia mahu mendabik dada tidak mahu menyembah atau mempercayai kekuasan ALLAh Ta’ala. Apa manusia tidak pernah terfikir kenapakah dirinya diciptakan di atas muka bumi ini? Pastinya ALLAh tidak menciptakan manusia tanpa sebab. ALLAh Maha Bijaksana.

Justeru apabila kononnya kita meninggalkan ALLAh ; meninggalkan perintah-Nya, dan mengingkari larangan-Nya, maka itu tidaklah mendatangkan kesan langsung terhadap ALLAh. Sedikit pun tidak. Kita yang akan rugi, bahkan!

“Kalau kamu dan sesiapa sahaja di atas muka bumi ini seluruhnya ingkar, maka hal yang demikian itu tidaklah merugikan ALLAh, sesungguhnya ALLAh itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” Surah Ibrahim : 8

Kita Yang Sangat Memerlukan ALLAh

Siapa kita disisi ALLAh?

Jika seseorang itu sangat-sangat mengharap redha Tuhannya sepanjang perjalanan hidupnya di dunia, sehinggalah ke alam akhirat sana, pastinya dia sentiasa mahu membuat ALLAh suka kepadanya. Pastinya dia mahu mendapat cinta ALLAh, dan ALLAh pun cinta kepadanya. ALLAh mencintai diri seseorang manusia – kalau orang yang mendamba redha Tuhannya, siapa yang tidak mahu dirinya dicintai oleh Tuhan Punya Dunia, kan?

Kawan, kita takkan dapat tahu dengan sebenar-benarnya siapa kita disisi ALLAh atau digolongan mana ALLAh meletakkan kita pada pandangan-Nya. Tapi, kita ada satu jalan untuk meraih sesuatu disisi ALLAh. Iaitu dengan berusaha bersungguh-sungguh semasa di dunia ini untuk membuat perkara atau pekerjaan yang kita yakin ALLAh akan redha dan apa yang kita lakukan itu mengikut syariat Islam.

Bila kita mahu membuat perkara kebaikan kepada seluruh manusia, bukanlah sebab kitalah yang terbaik untuk melakukannya. Tapi sebab kita mahu ALLAh pandang kita dengan pandangan kasih. Kita mahu ALLAh pandang kita dengan pandangan rahmat. Kita mahu ALLAh pandang kita dengan pandangan cinta-Nya.

Cuba tanyakan diri. Adakah sudah cukup usaha untuk kita untuk meraih kasih-sayang ALLAh? Cuba tanya diri, jujurlah dalam kesendirian;

“Maka siapa kita disisi ALLAh?”

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *