Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Setiap Yang ‘Kontra’ Itu Ada Hikmahnya

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kemuliaan itu di tangan siapa?

Mendengar manusia membicarakan mengenai kemuliaan dan kehinaan.

Seorang lelaki yang berpangkat pak cik dan seorang pemuda berbicara dalam Bahasa Syurga. Saya yang sedang membelek-belek buku yang ada, terdengar perbualan itu berkisar kemuliaan para pejuang Islam yang terdahulu. Juga mengenai kehinaan yang ALLAh Ta’ala timpakan buat hamba-hambaNya.

Perbualan mereka ‘berisi’. Disertakan sekali dengan dalil al-Quran.

Kemuliaan dan kehinaan. Setiap dari kita, sudah pastilah tiada yang menginginkan kehinaan. Hatta sekiranya kita mendapat tahu orang yang kita percaya bercakap mengenai keburukan kita dibelakang, kita sudah merasai aura kehinaan, kan.

Dua perkara yang kontra. Apa yang kita faham?

Perkara-Perkara Yang Kontra

Semuanya berlaku dengan kehendak Tuan Punya Dunia.

Seperti ini; Walaupun ramai orang yang memuji-muji seseorang manusia itu, boleh jadi ALLAh Ta’ala hendak menghinakan dia sebenarnya. Dan boleh jadi, walaupun manusia sekeliling menghina seseorang, ramai yang tidak suka padanya, boleh jadi ALLAh Ta’ala hendak memuliakan dia dengan didahului perjalanan yang sukar.

Perkara yang saya takutidan saya pasti kita semua juga takuti; dimana kesenangan, kepintaran, dan kejayaan dalam pelajaran yang kita alami itu adalah tanda kemurkaan.

Eh kenapa pula? Kan berjaya tu. Murka apanya?

Kadang-kadang, apabila ALLAh Ta’ala murka pada seseorang, ALLAh akan berikannya kesenangan di dunia. Itu namanya Istidraj. Dan kadang-kadang, apabila ALLAh Ta’ala suka pada seseorang, ALLAh berikannya kesusahan. Mungkin dengan kesusahannya, dia lebih mengingati ALLAh. Dan kesenangan yang dia ada itu pula, adalah kelalaiannya baginya. Semuanya, ujian dari Tuhan.

Datangnya segala kesenangan dan manfaat dalam hidup itu adalah ujian. Hadirnya segala kesakitan, kesedihan dan keterlukaan itu juga adalah ujian.

Sekiranya datang manfaat, ujian baginya adalah bersyukur.
Sekiranya datang mudarat, ujian baginya adalah bersabar.

Mulianya itu bukanlah kerana kekayaannya.
Hina itu bukanlah pula pada kemiskinan pada yang berusaha.

Mulianya seseorang itu bukanlah disebabkan dia pandai berkata-kata dan mencantas kata-kata lain dengan lidahnya; ataupun kerana kepandaiannya dalam ilmu akademik. Tetapi, mulianya seseorang itu adalah kerana dengan sifat kasih ALLAh Ta’ala menyorokkan aibnya daripada diketahui oleh orang ramai.

Kita ini penuh keburukan. Tinggal sahaja, keburukan itu tidak busuk seperti bangkai.

Siapalah sebenarnya kita ini. Sekiranya ALLAh Ta’ala berkehendakkan dibuka aib kita, mungkin tiada siapapun yang mahu kenal dan berkawan rapat dengan kita, kan?

Renungkan. Yang kontra itu ada hikmahnya.
Buat diri ini, dan diri kamu, kamu serta kamu.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *