Sepetang Bersama Kopi Wonda

Assalamu’alaikum w.b.t

A cup of coffee wont hurt you, my friend. :) Location : Permatang Badak, Kuantan Pahang.
A cup of coffee wont hurt you, my friend. 🙂
Location : Permatang Badak, Kuantan Pahang.

Tengah buat kerja pada suatu petang. Acah-acah orang yang sibuk. Tapi semua kerja tak dapat jalan. Seperti ada terasa sesuatu yang kekurangan. Angkat jari-jemari dari papan kekunci komputer riba. Menyandarkan badan di kerusi. “Perlu keluar ni!” Kata hati ini.

Maka saya bersiap-siap. Mengenakan seluar, sarung tudung dan sneaker. Oh baju, memanglah sarung sekali, haish! Tidak dilupakan sempat dicapai komputer riba jenama ceri (okey tipu =p). Dalam kereta, sebenarnya saya tidak tahu hendak ke mana. Sandakan ni, hendak kata kecil, Sandakan ni besar dan luas. Cuma kalau otak tengah kakuh, begitulah jadinya.

Sudah sampai ke kawasan Bandar Prima, saya u-turn semula ke bandar. Lagu-lagu bersilih ganti dimainkan dalam perut Hilya. Tempat mana yang saya tuju? Taman Tun Razak.

Sudah lama tidak ke taman ini. Dulu-dulu masa sekolah renda sehingga menengah, rajinlah kaki menapak bersama kawan-kawan. Lepak-lepak menghadap laut, buat bising berdekatan dengan pasangan yang berdating yang mana selalunya, pasangan tersebut akan blah. Sebab jengkel dengan perbuatan kami. Hihi. Kenangan juga tempat ni sebenarnya. Senyum.

Masuk taman ini, saya jadi segar. Saya cuma perlukan udara yang segar sebenarnya.

Luaskan Minda Seluas Alam

Saya duduk di tempat duduk yang tersedia di dalam taman tersebut. Sambil tangan mencapai setin kopi Wonda yang dibeli semasa singgah 7E tadi. Setiap kali teguk, pandangan dilemparkan ke lautan. Kelihatan kapal-kapal tarik udang, berlabuh. Sama ada memunggah muatan, atau berehat sebelum memulakan lagi aktiviti mencari hasil laut. Asyik jadinya.

Dalam sendirian itu, tiba-tiba hati ini sayu. Memandang perjalanan hidup beberapa tahun ke belakang. Betapa banyak yang berubah sebenarnya. Dalam kesayuan itu, tersenyum jugalah sendiri. ‘Ala kulli hal, saya tidak akan pernah berkata bahawa saya menyesal dalam hidup saya kerana melalui kehidupan sebelum ini. Indah sebenarnya.

Hidup ini sebenarnya, jika cara kita berfikir luas atau cara kita memandang kehidupan itu luas seluas lautan yang dapat ditangkap oleh mata kita, maka jiwa kita pun menjadi lapang. Percaya? Tak percaya, cuba buat. Dan bagitahu apa keputusannya. Saya tunggu, serius.

Kita akan melalui fasa demi fasa dalam kehidupan. Kalau dulu sewaktu kecil, kita memang tidak tahu tentang cabaran hidup. Yang kita tahu hanya main, makan tidur dan seterusnya. Tetapi semakin kita meningkat dewasa, kita tahu bahawa kita ada kehidupan untuk ditangani dan dijalani. Kita ada tanggungjawab terhadap kehidupan kita dan secara langsung kita ada tanggungjawab terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW, keluarga dan ummah. Nampak macam berat, kan?

Tapi rilek-lah! Memang begitulah perjalanan kehidupan.

Hey, jangan pandang kehidupan dan kesenangan orang lain kalau hanya setakat hendak berkata-kata seperti ini, “Untungnya dia. Bertuah betul nasib dia.” atau, “Dia bolehlah buat macam tu, anak orang kaya kan. Tak payah fikir apa-apa.” atau, “Dikelilingi oleh orang-orang yang kenal tarbiyah, bolehlah kehidupan dia indah macam tu. Aku tak..” No, no, no and no! Aduhai!

Bukankah pernah saya katakan bahawa kita masing-masing ada kehidupan yang ditempuhi? Dan kehidupan kita tidak sama. Tidak perlu merasa diri terlalu malang kerana itu hanya boleh membunuh potensi diri. Kalau melihat kehidupan orang lain kerana mahu mengambil sebagai inspirasi, ha itu tersangatlah boleh. Sebab itu akan mendorong kita untuk sesuatu yang lebih positif dalam hidup. Dan secara tak langsung mengajar kita erti bersyukur.

Mahu tahu? Kehidupan tidak seindah seperti mana dalam kebanyakan novel. Sebab dalam novel, kita tidak lihat bagaimana penatnya kehidupan. Kerana itu yang kita nampak adalah yang indah-indah sahaja. Dan kehidupan juga bukan seperti dalam filem, hanya menampakkan babak-babak yang pendek dan ringkas sahaja, kerana itu terasa bahawa hidup ini terlalu singkat dan terasa tak sempat buat apa-apa. Eh, dapat tangkap tak sebenarnya ni? Jangan ber’huhuhu’ pula nanti.

Tetapi kehidupan adalah seperti apa yang kita hadapi sekarang. Senyum.

Alkisahnya Kesudahan Keluar Rumah

Hikmah keluar rumah tadi, dapat menenangkan jiwa sebenarnya. Pergi ke tempat yang kita ada kenangan dengan tempat tu walaupun puluhan atau belasan tahun lamanya, sedikit sebanyak merupakan terapi ketenangan. Berada di tempat seperti itu, menggalakkan minda kita berfungsi sebagai filem, dan segala peristiwa dapat diulang balik melalui ingatan.

Di taman ini, pernah menjadi nakal, pernah belajar, pernah lepak, pernah bermain-main. Malah pernah membentuk bulatan besar bersama kawan-kawan sekelas untuk makan. Dapat bayang macam mana jaraknya? Hahaha. Dah macam nak berusrah. Usrah pun takdalah buat bulatan besar macam tu. Di taman ini tempat ketawa, dan juga pernah menjadi tempat berduka.

Betullah. Minda kita perlu disegarkan selalu. Walaupun dengan hanya kenangan-kenangan yang begitu. Tapi pada saya, kenangan yang sedemikian sangat berharga. Kerana apa? Kerana boleh mengingatkan kita bagaimana diri kita yang sebelumnya. Biar kita tidak pernah disapa dengan perasaan ‘perasan bagus sejak azali’. Hal ini kerana, kita pernah melalui kehidupan-kehidupan yang lain coraknya sebelum ini. Ada hikmah, bukan? Ada hikmah sangat.

Oh ya, tidak tahulah anda faham atau tidak apa yang saya cuba sampaikan. Saya harap, anda yang berusaha baca sampai habis, moga Allah SWT mempermudahkan segala urusan anda dalam kehidupan. Jangan cepat berputus asa, dan doa-doalah selalu – moga kita tidak begitu.

Kesudahan pada petang itu, saya duduk lebih kurang sejam juga. Dan balik ke rumah dekat nak maghrib dah. Tapi saya pulang dengan minda yang segara. Saya tidak membuang masa. Bahkan saya mengalahkan masa! Senyum. Saya sayang kalian semua.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *