Sangka Baik Kepada Allah Itu Menguatkan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Daripada bersangka buruk menyakitkan jiwa, bersangka baik kepada Allah itu malah lebih menenangkan! Credit Picture : http://oo-rein-oo.deviantart.com/
Daripada bersangka buruk menyakitkan jiwa, bersangka baik kepada Allah itu malah lebih menenangkan!
Credit Picture : http://oo-rein-oo.deviantart.com/

Dalam hidup ini, akan ada pernah rasa betul-betul mahu berputus asa pernah dirasai. Sepertinya semangat hidup yang kita ada itu sudah berada dihujung-hujung tanduk. Kan? Jangan tipulah. Saya juga seorang manusia. Dan ya, saya juga pernah mengalami hal yang sama. Jika merasa seperti demikian, maka mulalah untuk kita tidak semangat dalam melakukan apa saja. Meskipun jasad kita bergerak, tapi jiwa kita seakan-akan sudah mati. Hidup pun, hidup dengan cara kita. Landai sahaja tanpa bengkok.

Kerana apa?

Kerana kita merasa bahawa Allah SWT tidak pun datang kepada kita saat kita ditimpa kesusahan. Kerana Allah SWT tidak pun menghulurkan bantuannya saat kita mahu jatuh. Dan sekarang.. nah! Kita betul-betul jatuh pun Allah SWT masih tidak juga memberikan bantuan-Nya kepada kita. Kenapa Allah SWT melakukan kita seperti ini? Kenapa?

Pernah merasa rasa yang sedemikian? Jangan malu untuk mengaku. Mengakulah kepada diri sendiri, agar kita dapat memperbaiki diri. Ya, kita manusia yang penuh kelemahan dan kesalahan. Dan jika kita sedar kita sedang berdosa, maka cepat-cepatlah pula kita keluar dari dosa-dosa kita itu. Itu sifat yang disukai oleh Allah SWT dan sifat terpuji.

Justeru, kita mahu kita berubah. Kita mahu kita menjadi orang yang bersangka baik kepada Allah. Dan kita dapati pula apabila kita setelah berusaha namun tidak mendapatkan apa yang kita usahakan, maka jiwa kita ditenangkan dengan bersangka baik kepada Tuan Punya Dunia. Kerana kita yakin bahawa kita tidak dibiarkan-Nya sendirian. Kerana kita yakin bahawa semua apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan bakal berlaku semuanya dalam pengetahuan Allah SWT. Dan kerana kita yakin dan tahu, bahawa Allah tidak membiarkan kita terkapai-kapai sendirian melainkan Dia akan datangkan hikmah-Nya kepada kita.

Yakinlah, sahabat. Sangka baik kita pasti Allah SWT akan bayar suatu hari nanti.

Sangka Baik Terhadap-Nya Satu Motivasi

“Aku adalah seperti sangkaan hamba-Ku terhadap Aku. Aku bersamanya tatkala dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku di khalayak ramai, aku akan mengingatinya di hadapan khalayak ramai yang lebih mulia, iaitu para malaikat dan para nabi. Sekiranya hamba-Ku mendekati-Ku sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Sekiranya hamba-Ku sehasta, Aku akan mendekatinya sedepa. Sekiranya hamba-Ku mendekati-Ku dalam keadaan berjalan, Aku akan mendekati-Nya keadaan berlari.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Cuba baca maksud hadis di atas dengan jiwa. Menenangkan, bukan?

Kepercayaan dan semangat inilah yang memotivasikan kita, dan membuatkan kita terus hidup walaupun pelbagai ujian yang telah, sedang dan bakal kita tempuhi. Namun kerana kita yakin kepada Allah SWT, kita tahu pasti Dia tidak akan pernah meninggalkan kita sendirian. Bahkan Dia akan datang kepada kita saat kita terkapai-kapai dalam kelemasan dunia.

Hasil dari keyakinan kepada Allah SWT, kita akan menjadi seorang yang positif dalam kehidupan. Juga kita akan menjadi seorang yang yakin, bahawa apabila kita berada dalam situasi dan keadaan yang serabut, kita akan capai al-Quran dan membacanya seolah-olah sedang berbicara dengan Allah SWT, dan dari situ Allah SWT akan berikan kita jalan terhadap apa jua masalah dan dugaan yang dihadapi. Kita tidak akan tertekan dalam waktu yang lama. Kita akan kembali bangkit dengan semangat yang baru, malahan!

Allah SWT memberikan kita akal dan fikiran. Dan dengan akal fikiran itu kita berfikir untuk mencari ikhtiar. Percayalah, sahabat. Allah SWT akan memberikan kita kemuliaan sekiranya kita bersangka baik sesungguhnya kepada Dia. Jangan tanya saya apa bentuk kemuliaan itu. Kerana itu dalam pengetahuan Allah SWT. Namun satu perkara yang perlu kita berpegang teguh dan pasti dengannya adalah, Allah SWT pasti akan memegang kita dengan erat.

Allah Pasti Bantu Melepasi Semuanya

Ada masa kita takut diuji dengan ujian yang sangat berat. Yang kita sendiri terfikir kita tidak akan mampu menanganinya seorang diri sedangkan kita juga akan keseorangan. Dan perasaan itu menyelubungi segenap kehidupan kita apabila tiba hari-hari yang Allah SWT uji dan tiada sesiapa untuk menolong kita kecuali diri kita sendiri. Tambahan pula imaginasi yang selalu berlegar-legar di minda bahawa kita takut akan kesepian dan kepayahan juga turut menghantui. Pernah tidak merasai semua ini? Mesti pernah kan?

Akan tetapi, cubalah baca firman-firman Allah SWT ini :

“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut kepada musuh dan dengan berasa lapar, dan dengan berlakunya kekurangan daripada harta benda dan jiwa, serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada manusia yang sabar, iaitu manusia yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.” (Surah al-Baqarah : 155-156)

“Tiap-tiap diri akan berasa mati. Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kami, kamu semua akan dikembalikan.” (Surah al-Anbiya’ : 35)

Banyak sebenarnya ayat-ayat, kalam Allah SWT yang terdapat dalam al-Quran yang memberitahu awal-awal lagi bahawa kita semua pasti akan teruji. Bezanya hanyalah cepat dan lambat, serta besar atau kecil dugaan yang kita terima. Mungkin kita semua boleh buka al-Quran atau kitab terjemahan al-Quran. Ayat-ayat yang lainnya boleh didapati dalam surah ali-‘Imran : 186, Surah al-Furqan : 20. Baca terjemahan, jangan malas-malas okey? Senyum!

Dalam maksud ayat-ayat al-Quran di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT pasti akan menguji sesiapapun tanpa terkecuali. Allah SWT memberitahu bahawa orang yang sabar dan bertaqwa pasti akan menjadi orang-orang yang mulia, malahan! Dan tanpa kita sedari, jalan sebenarnya yang Allah SWT mahu tunjukkan adalah kita menjadi manusia yang sabar dan berusaha serta tidak putus asa terhadap Allah SWT. Maka pasti Allah SWT akan memberikan jalan-jalanNya kepada kita.

Kita ada pilihan, sama ada mahu bersabar atau berputus asa. Kalau difikir dengan akal yang sihat dan jiwa yang tenang, pastilah sabar itu adalah lebih baik, bukan?

Yakinlah sahabat yang dihormati kerana-Nya, Allah SWT tidak pernah membiarkan kita sendirian hatta dalam waktu sesaat pun! Tenangkan dirimu, dan yakinlah dengan bantuan dan kekuasaan Tuhanmu. Dari situ kau akan dapat kekuatan, wahai sahabat.

Bersangka Baik Dalam Semua Keadaan

Kamu tahu? Saat kehidupan kita tenang-tenang sahaja tanpa dilanda apa-apa masalah yang boleh menyerabutkan jiwa, maka itu juga adalah ujian buat kita. Cuba kita perhatikan dunia pada hari ini. Perhatikan diri kita sendiri. Betapa kita boleh tersenyum dan lapang jiwa apabila memuji Allah SWT disaat ketika kehidupan kita tenang-tenang sahaja.

Tetapi apabila kita dilanda dengan cubaan, ujian kesusahan hati.. maka kita akan menjadi seorang hamba yang benar-benar tunduk dan merendah di hadapan Allah SWT. Betul tidak apa yang saya katakan ini? Ramai dikalangan kita adalah jenis manusia yang begini. Malah tidak keterlaluan saya katakana sekiranya kita akan lebih khusyuk untuk beribadah kepada-Nya. Dan saat-saat yang begitu, walaupun sedang diuji.. ternyata sungguh menenangkan.

Namun mungkin lebih membahagiakan apabila kita dapat bersangka baik sentiasa kepada Allah SWT dan sentiasa merendah di hadapan-Nya dengan penuh kerendahan tanpa mengira kita dalam keadaan yang senang mahupun dalam keadaan yang dilanda kesusahan.

Tanamkan dalam-dalam dalam akal dan fikiran bahawa, Allah SWT tidak menurunkan ujian-Nya kepada kita dengan saja-saja untuk melihat kita meraung kesusahan. Tetapi sebenarnya dia mahu mengangkat darjat kita disisi-Nya. Oleh kerana itu, kita perlu untuk sentiasa baik dan positif terhadap apa-apa sahaja yang Tuan Punya Dunia tentukan tanpa meninggalkan usaha, sabar dan tawakkal dalam diri kita.

Sungguh! Kita hanya mampu berusaha dan bersabar. Dan semoga apa-apa sahaja yang kita lakukan, moga diredhai oleh Allah SWT dan semoga Dia pandang dengan pandangan rahmat.

Kita yakin kepada Allah SWT dengan keyakinan yang sungguh-sungguh, kan?

Ya, itu kita! Semoga kita sama-sama kuat, sahabat.
Semoga. (Peluk kamu dari kejauhan).

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *