Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Sampai Bila Harus Bersangka Baik?

Assalamu’alaikum w.b.t

Credit : http://healzo.deviantart.com/

Credit : http://healzo.deviantart.com/

Kamu tahu, kawan..

Bersangka baik ini bukan datang dan menjadi sifat diri kita dalam sehari dua. Sifat bersangka baik itu perlu didikan. Maksudnya? Kitalah yang kena didik dan ajar diri kita untuk sentiasa mendahulukan bersangka baik. Sebab apa? Sebab dalam apa-apa jua situasi, kalau kita dahulukan untuk sentiasa bersangka baik, fikiran kita akan tenang dan rasional. Kamu percaya?

Ada banyak faktor yang membolehkan manusia untuk bersangka buruk. Tapi sebenarnya, lagi banyak faktor untuk manusia bersangka baik sesama manusia. Hati yang selalu bersangka baik, tidak hadir dengan sendiri. Melainkan, kita sendiri yang mendidik hati untuk sentiasa bersangka baik.

Apakah saya tidak pernah terburuk sangka? Pernah. Banyak kali, malahan. Itu kelemahan saya. Tapi dalam masa yang sama, saya mahu menjadi seseorang yang berfikiran positif dan sentiasa bersangka baik? Mampukah saya? Saya percaya dengan Allah. Kalau kita berusaha, apakah kita akan rugi? Senyum.

Jadi, sampai bila sebenarnya harus bersangka baik?

Ketika Yang Lain Memilih Sebaliknya

Merenung jauh ke luar jendela. “Aku discover sesuatu.. Aku kalau selalu bersangka baik dengan siapapun, hati aku tenang semacam. Tak perlu banyak fikir tentang orang lain.”

“Kau pastikah hati kau akan sentiasa berada dalam keadaan tu?”
Dengan sengih sinis.

Dahi berkerut. “Why not?”

Gelak nipis. “Kau pelajar undang-undang. Esok jadi peguam, peguam berfikiran kritis dan sentiasa mencari kesalahan orang, which means bersangka buruklah kan. Jadi macam mana kau nak bersangka baik selalu? Peguam licik bila berhadapan dengan kes-kes. Sangka baik? HAHAHA.”

Saya senyum saja.

Para pengamal undang-undang atau peguam, memang kena berfikir kritis dan sentiasa berfikir akan sifat kelicikan bila berhadapan dengan penjenayah. Pemikiran seperti itu perlu. Tapi tidaklah bermaksud hati pelajar undang-undang atau pengamal undang-undang tidak dihuni dengan sifat bersangka baik.

Bila berhadapan dengan orang licik dan banyak helah, kita kena lebih licik dan banyak helah untuk membongkar kebenaran. Berhadapan dengan orang yang jujur berterus terang, kita lebih berlembut untuk membantu memberi jalan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Berbeza, bukan? Senyum.

Kita ini, kalau seluruh manusia memilih jalan yang salah pun.. Maka jalan yang salah itu tetap salah. Yang salah tidaklah menjadi yang benar hatta seisi dunia membenarkannya. Dan jika hanya ada seorang manusia yang memilih jalan kebenaran, sedangkan seluruh manusia lain tidak memilih jalan kebenaran tersebut.. maka jalan kebenaran yang sepi itu tidaklah menjadi yang tidak benar walaupun seisi dunia menolaknya. Ada perbezaan diantara keduanya.

Dapat?

Maka untuk bersangka baik, kenapa perlu memilih untuk terkongkong dalam golongan tertentu? Diri anda adalah diri anda. Orang lain hanya boleh bercakap itu ini. Yang penat adalah mulut mereka. Diri anda? Itu hal anda. Sama ada anda mahu menjadi yang sebaliknya atau follow the flow sahaja walaupun salah.

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…” – Surah al-Hujurat : Ayat 12

Sampai Bila Bersangka Baik?

Jawab saya, sampai bila-bila.

Bila kita mahu bersangka buruk, fikirkan pula sebab-sebab orang lain berkelakuan seperti sedemikian. Faktor-faktor lain yang menyebabkannya menjadi demikian. Istilah yang saya panggil, fikiran berantai.

Tapi tidaklah saya mahu mengajak anda semua untuk bersangka baik sahaja setiap masa walaupun ada orang jahat yang terang-terang mahu menganiaya kita. Berfikiran ala-ala Conan perlu untuk membaca keadaan atau situasi. Sebagai pelindung jiwa kita. Biar kita tidak diperbodohkan.

Dan saya percaya, sangka baik itu juga adalah doa dan tidak mustahil akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Kuasa sangka baik, kan? Allah SWT bekerja dalam rahsia. Dan menjawab doa-doa kita dalam rahsia. Tiada yang mustahil, kawan.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *