Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Sampah Membuatkan Mereka Mulia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Yang hina itu boleh jadi mulia. http://owenray.deviantart.com/

Yang hina itu boleh jadi mulia.
http://owenray.deviantart.com/

Saya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia. Seperti kebanyakan tempat pengajian dan pelajar, hostel dan pelajar berpisah tiada. Maka saya mendapat kelebihan untuk melihat pelbagai ragam manusia yang menjadi penghuni sesebuah blok hostel dan blok-blok lain. Seribu satu karakter yang bakal kita jumpai. Ada senior dan juga ada junior yang menjadi penghuni. Namun bukanlah entri ini mengenai si senior junior saja.

Dalam kalangan pelajar ini yang menjadi penghuni sesebuah blok asrama, akan ada insan atau golongan yang saya pandang mulia secara peribadi. Iaitu, makcik cleaner. Ya, makcik cleaner yang setiap pagi kerjanya menyapu blok yang mempunyai empat tingkat. Sesudah itu, mereka perlu pula mop lantai empat tingkat itu. Itu belum termasuk mengutip sampah yang melimpah ruah dari dalam tong sampah akibat dari perbuatan penghuni yang kurang bertimbang rasa atau sememangnya seorang yang pengotor?

Beberapa hari lepas, saya dan beberapa orang kawan duduk minum kononnya ingin bersarapan di Kafe Awanis di kolej saya. Semasa di sana, datang sekumpulan makcik-makcik cleaner untuk bersarapan saya kira. Kedengaran perbualan mereka, “Eyy baru habis menyapu ni. Penat.” Wajah mereka menampakkan letih, tapi senyuman diwajah mereka tidak. Mereka bergurau senda dan agak gembira. Saya memerhati saja.

Maka, biar saya buat sesuatu di weblog saya ini tentang mereka.

Tugas dan Amanah Mereka Setiap Hari

Izinkan saya untuk menggunakan ayat ‘makcik pembersih’.

Kelas saya bermula seawal pukul 8.30 pagi. Kecuali pada hari Jumaat, semua kelas yang ada akan bermula pada pukul 8 pagi. Dan seawal lebih kurang pukul 6 pagi, makcik pembersih akan berada di blok-blok hostel untuk kutip sampah dari tong hijau. Dari aras empat sehingga aras satu. Dan makcik-makcik pembersih ini ada yang sudah berumur. Menurut perkiraan saya, ada yang sebaya dengan mama saya, ada yang sebaya dengan nenek saya. Namun mereka tetap menggagah diri untuk melakukan pekerjaan tersebut. Bayangkan, mereka akan kutip plastik hitam dari tong sampah hijau pada setiap aras dan dibawah ke aras satu. Serius, sayu sungguh melihat. Teringat nenek saya.

Selepas kutip sampah, makcik tersebut akan menyapu. Sesudah itu akan mop lantai semua aras. Dan begitulah setiap hari. Kadang-kadang, hari sabtu pun mereka ada untuk mengheret sampah-sampah yang ada dan menukarkan tong sampah tersebut dengan plastik hitam yang baru. Supaya para pelajar yang menjadi penghuni blok tersebut selesa.

Betul, mereka diupah dan ada gajinya. Itu tanggungjawab mereka. Itu juga sangat betul. Tapi, mari berbalik kepada diri kita sendiri pula. Adakah kita sanggup menerima pekerjaan tersebut? Jawapan dalam kalangan kita, mungkin ada yang menerima dan mungkin ada yang sesekali tidak akan menerima. Bahkan, membayangkan membuat pekerjaan tersebut pun tidak sanggup! Maka cuba letak diri kita di tempat mereka, boleh?

Kadang-kadang saya kasihan melihat makcik pembersih yang bersusah-susah membersihkan dan ‘bertarung’ dengan plastik sampah yang mengeluarkan cecair akibat dari perbuatan penghuni yang membuang sampah berair. Dan air itu sangat busuk. Maka dengan gigih kelihatan makcik itu membersihkan dan melapiskan lagi dengan sekeping plastik hitam sebelum menarik dan mengumpulkan di luar blok.

Malah dari pagi sampai ke petang sebenarnya, tugas mereka bukan sahaja di dalam kawasan blok hostel. Tapi juga sekeliling hostel dan tempat-tempat yang lain.

Dapat bayang banyaknya kerja mereka?

Balik dari kelas, kadang-kadang terserempak dengan makcik pembersih duduk berehat melepaskan lenguh dan penat di bawah blok sambil picit-picit bahu sendiri. Tumbuk-tumbuk pinggang sebelah kiri dan kanan. Jujurnya, saya rasa saya tidak mampu sepenat mereka.

*nanges*

Sikap Pengguna Sampah Itu Sebenarnya

Diawal entri tadi, saya katakan bahawa sesebuah hostel itu dihuni oleh ramai manuia yang mempunyai ragam yang pelbagai, bukan? Tidak kiralah hostel pengajian Islam ataupun bukan. Semuanya mempunyai ragam yang sememangnya kadang kala sukar untuk difahami. Ada yang begitu dan begini. Suka itu dan ini. Manusia, itu bezanya.

Maka di sini, saya fokuskan kepada tong sampah warna hijau di setiap aras blok hostel. Baik, ramainya penghuni di dalam sesebuah aras hostel itu, sudah semestinya 3 atau empat tong sampah tidak mencukupi. Apatah lagi apabila berada dalam bulan ramadhan. Pergi bazar ramadhan, masing-masing beli makanan yang banyak. Maka, itu petanda bahawa tong sampah akan penuh sehingga melimpah ruah.

Antara kelakuan penghuni hostel yang saya kira sangat buruk dan tidak baik adalah, membiarkan tong sampah yang sudah penuh disumbat lagi dan lagi dengan sampah-sampah mereka. Sehinggakan pada satu waktu, sampah-sampah berada di lantai. Ada kes yang tersangatlah malas, ada tong sampah yang masih belum penuh boleh diisi dengan sisa-sisanya, masih juga hendak buang di tong sampah yang sudah termuntah. Malas punya pasal. Apakah?

Bila dilihat pada belakang tong sampah tersebut, ada plastik berwarna hitam yang disediakan. Plastik kosong ya. Plastik kosong! Namun kenapa orang yang membuang sampah pada waktu tong sampah tersebut sudah termuntah-muntah dengan muatan sampah, tidak membuka plastik tersebut dan mengisikan sampah di dalamnya dan menyandarkan sahaja ke tong warna hijau?

Okeylah. Kita berbaik sangka. Orang tu tak nampak.

Tapi bagaimana pula dengan sifat membuang sampah pada tong sampah yang sudah penuh sedangkan di aras yang sama, ada tong sampah yang masih tidak penuh? Dan boleh sahaja kita berjalan ke arah tong sampah tersebut yang memang bukan jauh pun lalu membuang sampah di situ? Hendak berbaik sangka lagi?

Berkenaan sampah yang berair.

Kenapa tidak seseorang pengguna tersebut membuang terlebih dahulu air di dalam tandas sebelum membuangnya ke tong sampah? Bahkan minuman yang dibeli dari kafe yang tidak habis dan tiada rasa terus sahaja dibuang ke dalam tong sampah tanpa memikirkan bahawa, plastik sampah tersebut boleh bocor, air akan mengalir dengan bau busuk kerana bercampur dengan sampah-sampah yang lain dan itu mendatangkan kesulitan kepada makcik pembersih untuk membersihkan dan mengheret plastik sampah tersebut.

Baiklah. Sekali lagi, itu memang tugas makcik pembersih. Kerana itu tujuannya beliau diupah. Membersihkan kawasan kolej. Itu sangat benar, saya tidak akan sesekali membantah. Namun, satu persoalan saya..

Di mana sifat common sense anda?

Allah Maha Menilai Para Hamba-Nya

Saya sangat percaya, andainya para makcik pembersih tersebut walaupun hakikatnya diupah, tetapi mereka melakukannya dengan hati yang ikhlas, pasti Allah Ta’ala memberikan mereka pahala yang banyak dan memuliakan mereka disisi-Nya.

Tetapi segala persoalan yang saya ingin kita menyoal diri kita masing-masing, akan berbalik kepada kita. Kenapa sukar untuk kita menjadi seorang yang pembersih dan menolong meringankan beban makcik pembersih? Kenapa hati kita sangat senang pada persekitaran yang kotor? Kenapa kita boleh menjadi seseorang yang tiada perasaan apabila melihat sampah yang merata-rata? Tetapi yang peliknya, pada masa yang sama, kita jijik dan geli pada sampah yang berbau dan berulat. Walhal, kita bukanlah seorang individu yang pembersih manapun. Bersih luaran sahaja, padahal. Bukan dalaman.

*Oh snap! Air mana air?*

Mari saya khabarkan sesuatu. Kita cantik dan wangi apabila keluar bertemu orang sahaja belum cukup untuk dikatakan kita ini pembersih. Dalam masa yang sama, sebenarnya kita pengotor apabila tidak berada di luar atau depan khalayak ramai. Tahu bezanya, kan?

Dan semestinya, Allah Ta’ala memerhatikan kita tanpa had. Dan Allah Ta’ala juga menilai diri kita bagaimana. Hatta semua orang memuji kita pembersih, cantik, macho dan wangi, namun sebenar-benar hakikat kebenaran.. Allah jualah Yang Maha Mengetahui.

Saya tinggalkan kita semua dengan sebuah persoalan lagi.

Kenapa kita ini, tidak merasa apa-apa apabila terlihat kotor? Apa yang sudah terjadi kepada iman kita sebenarnya? Apa yang hilang?

Semoga ALLAh merahmati.

One Comment

  1. tikah says:

    saya share ya

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *