Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Sahabat Berkurang Kerana Sahabat Bertambah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Sebagai sahabat, adakalanya kita selalu terlepas pandang akan hak persahabatan.

Dalam hal persahabatan, manusia juga selalu teruji.

Didalam persahabatan, ada hak-hak yang wajib ditunaikan sebagai seorang sahabat kepada sahabat yang lain. Ada ingatan yang perlu sebagai ingatan kepada sahabat yang lain. Ada cinta dan kasih yang perlu disemaikan sesama sahabat yang lain. Ada akhlak yang baik dituntut sesama persahabatan.

Itu antara hak-hak yang ada dalam persahabatan.

Akibat kelemahan diri sendiri, ada diantara hak-hak itu dipandang ringan. Ada juga mungkin terlepas pandang, kurang mengambil tahu atau kesibukan telah memperdayakan diri sendiri. Atau juga kerana kurangnya titipan doa buat sahabat-sahabat yang lain, maka Allah hendak mengujinya dengan hubungan persahabatan.

Kelangsungan Sebuah Tali Persahabatan

Saya kira, dalam bersahabat, akhlak yang baik dan tanda-tanda kesetian seorang sahabat kepada sahabatnya, antaranya ialah mengingatinya sentiasa dalam doa dari kejauhan tidak kiralah doa itu diketahui oleh sahabatnya atau tidak. Namun sebaik-baiknya, doa yang khusus untuk sahabat itu biarlah antara anda dan ALLAh Ta’ala dan malaikat sahaja yang tahu. Dan juga, yang sentiasa bertanya khabar kepada sahabatnya dan keluarga meskipun melalui sms/emel atau yang sama waktu dengannya.

Benda-benda seperti ini memang kelihatan remeh, tapi memberikan impak yang besar!

Dan jika ada akhlak yang baik, saya percaya disitulah terdapatnya akhlak yang kurang baik. Anda tidak tertanya-tanya kenapa tajuk entri ini tertulis seperti ‘Sahabat Berkurang Akibat Sahabat Bertambah’? Kenapa tidak ‘Akhlak Dalam Persahabatan’? Senyum.

Dalam kesibukan ke sana ke mari, program sana sini, saya percaya ALLAh Ta’ala akan mempertemukan anda dengan ramai orang. Dan InshaAllah, saya percaya, diantara ramai-ramai orang itu ada yang telah dan akan menjadi sahabat anda nanti.

Keadaan seperti itulah yang memerlukan anda untuk istiqamah dalam persahabatan.

Memang indah menyulam benang-benang ukhuwah. Keterujaan mengenali seseorang, latarbelakangnya, kegemarannya, kelebihannya, akhlaknya dan tutur bicaranya akan selalu diperhatikan dalam diam. Maka secara tidak langsung, keterujaan itu menuntut masa yang lebih untuk diluangkan kerananya. Sedangkan, di suatu tempat yang lain, anda juga mempunyai sahabat yang perlu anda kenali lagi dan lagi.

MashaAllah. Sesungguhnya ALLAh Ta’ala suka pada hamba-Nya yang menyambung silaturrahim. Tapi akhlak yang buruk dalam persahabatan itu macam mana ya?

Mari…

Sahabat Lama vs Sahabat Baru

Antara akhlak buruk dalam persahabatan itu adalah, apabila anda mengenali seseorang sahabat yang baru dan anda sibuk serta teruja mengenali keperibadiannya, maka sahabat anda yang lama telah anda kenali, anda telah tinggalkan atau abaikan secara diam. Ya, mungkin anda sendiri tidak menyedari akan hal itu. Tapi ia memberikan impak kepada sahabat lama anda.

Boleh jadi, tali ukhuwah anda dengannya akan terputus!

Sebenarnya, saya tidak suka menggunakan label sahabat lama dan baru. Walaupun begitu, saya terpaksa gunakan kerana ia adalah suatu hakikat untuk disertakan dalam entri ini.

Ya, menjalinkan silaturrahim sesama manusia itu tidak dilarang, bahkan sangat digalakkan dalam agama. Namun kerana kelemahan anda, dalam menjalinkan silaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia, sahabat anda yang lain terasa terpinggir oleh anda. Mereka berasa bahawa anda dingin terhadap mereka, merasa bahawa mereka terabai kerana anda kurang bertanya khabar dan menyapa mereka.

Malah, mereka merasa bahawa ukhuwah anda dan mereka tiada seri!
Kerana menjumpai sahabat baru, maka sahabat lama diabaikan dalam tidak sedar.

Saya sangat pasti, anda tidak mahu persahabatan anda dengan semua sahabat-sahabat yang anda cintai menjadi seperti ini. Penuh dengan perasaan dingin dan perasaan diabaikan.

Eh. Saya sedang berbicara sikap dan akhlak kita dengan sahabat kita ya. Bukan akhlak sahabat kita terhadap kita. Entri untuk itu, inshaAllah panjang umur dan diilhamkan oleh Allah, pasti terlakar. Senyum.

Sahabat anda yang lama itu, jika benar menyayangi anda seikhlasnya, maka saya pasti dia akan gembira jika anda bertambah kenalan dan sahabat baru. Kerana kebahagiaan anda, adalah kegembiraan baginya, inshaAllah. Tapi apa yang tidak membahagiakan dirinya adalah apabila anda seakan-akan melupakan dirinya dan dia merasa sedih kerana anda membuatnya terasa yang anda memiliki orang yang lebih penting dan anda lebih cintai berbanding dia.

Persoalannya bukanlah kerana anda mempunyai sahabat baru.

Tetapi persoalannya adalah mengenai sikap anda yang membuatnya resah, dipinggirkan, merasa rendah diri dan terhina. Ya, semua itu dia dapat rasai walaupun anda tidak memberitahunya secara lisan. Pernah dengar kata-kata ini, Actions speak louder than words? Saya kira ayat ini memang betul!

Kerendahan Hati Sebagai Seorang Sahabat

Saya suka membaca mengenai sirah Rasulullah SAW; layanan Baginda terhadap kesemuanya sahabatnya. Umum tahu bahawa Baginda mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup susah senang bersama Baginda. Dan setiap seorang dari mereka itu sebolehnya Baginda memberikan layanan istimewa dan membuatkan mereka merasa jiwa mereka dan jiwa Baginda itu sangat dekat walaupun Baginda pernah mengatakan bahawa sahabat yang paling dicintainya adalah Abu Bakar r.a..

Namun itu tidak membuatkan mereka jauh hati. Mereka merasa diberi keistimewaan oleh Rasulullah SAW sendiri, malahan! Layanan dan pendekatan yang Rasulullah berikan terhadap para sahabatnya menumbuhkan perasaan kepada diri masing-masing bahawa diri mereka adalah orang yang terdekat dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah tidak lokek untuk memuji para sahabatnya. Walaupun kedudukan Rasulullah itu tinggi dan manusia mulia, namun itu tidak menghalang Rasulullah untuk bergurau-senda dengan sahabat-sahabat Baginda SAW. Sebagai contoh, Abu Dzar pernah berjalan-jalan dengan Baginda SAW disuatu malam. Mu’adz pernah menunggang tunggangan berdua dengan Rasulullah dan banyak lagi akhlak Rasulullah yang menjadikan mereka merasa mereka mendapat tempat dihati Rasulullah SAW.

Indah kan? Saya jadi tersenyum sendiri dengan perwatakan dan pendekatan Baginda SAW. Wallahi, memang Baginda adalah contoh manusia ikutan sepanjang zaman! Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad!

Semaikanlah Benih Ukhuwah

Begitu juga sepatutnya, kita ini sebagai ummat Baginda SAW. Tanda-tanda kesetiaan kepada sang sahabat adalah tetap merendah hati walau siapapun diri anda dan mengingatkan anda sekiranya terlupa!

Sahabat yang baik dan sebenar-benarnya sahabat adalah sahabat yang menerima kelebihan dan kekurangan dalam sahabatnya. Jika sahabatnya mempunyai kekurangan dari satu segi, maka dia akan menutupi dengan kelebihannya. Dan dia tidak pula memandang rendah kepada sahabatnya tadi malah membantunya!

Jika ALLAh Ta’ala takdirkan untuk mengenali sahabat baru, jangan sekali-kali membandingkan sahabat yang baru anda kenali itu dengan sahabat yang telah lama anda kenali. Ia salah satu sifat yang jelek! Jika anda berbuat demikian, maka itu bukanlah ciri seorang sahabat yang baik kerana mengira-ngira akan kekurangan dan kelebihan sahabat lalu dibandingkan dengan sahabat yang baru dikenali.

Jangan sahabat baru bertambah, sahabat lama berkurang. Kerana hakikatnya, sahabat anda tidak akan pernah bertambah. Sebaliknya makin berkurang! Alangkah sedihnya..

Umar Al-Khattab pernah berkata, “Tiga hal yang dapat memurnikan tali kasih seorang sahabat kepadamu ialah, jika bertemu tegurlah dengan salam terlebih dahulu, memanggilnya dengan nama yang paling disukai, mempersilakan dan memberi tempat kepadanya dalam suatu acara.”

MashaAllah. Begitu sudahkah kita sebagai seorang sahabat?
Yang memuliakan sahabatnya lebih daripada diri sendiri.

Nasihat yang terutamanya untuk diri saya sendiri sebenarnya yang masih belajar dan akan terus belajar.

Jika anda ada sahabat yang mengasihi anda seperti mengasihi dirinya, maka hargailah ia.
Bersyukur dan berilah rasa istimewa dihatinya sebagai seorang sahabat anda.
Kerana dia, adalah sebahagian daripada hidup ini untuk ke akhirat!

Senyum dalam keimanan selalu.

Semoga ALLAh merahmati.

4 Comments

  1. zik says:

    susahnya nak cari sahabat yang betul2 sejati… tetapi memang betul ia datang dan pergi dan ada yang takkan kembali…

    [Balas Komen]

  2. persahabatan menjadi indah jika tunjangnya adalah iman dan taqwa.
    inilah rahsia Rasulullah, inilah rahsia sahabat-sahabat baginda.

    [Balas Komen]

  3. syeraho says:

    sebak mmbaca entry ni. saya terkenang akan seorang sahabat yang saya baru sahaja kehilangannya sebulan lalu. sahabat saya itu erpindah sekolah semasa form 4, namun saya tidak meminggirkannya. di setiap kesempatan pada waktu cuti, saya menelefonnya, saya bersembang bertanya khabar, kami saling memberi kata semangat dan penguat.

    setiap kali cuti, saya tidak lupa utuk menelefonnya. di asrama, saya kadang2 meluangkan duit syiling utuk menelefon handsetnya, bertanya khabar, sekalipun dia tidak pernah menelefon saya. saya tidak kisah dia tidak menelefon saya, asalkan kami sentiasa berhubung,

    namun apa yg buatkn dia putuskn prshbtn apabila sy cube menasihatinya ttg ikhtilat. mulanya saya trkejut melihat fbnya (saya trklik pada fbnya dan trlihat ssuatu yg tak dijangka), saling berbalas2 kata2 sayang dgn lelaki ajnabi. jd saya sebolehmungkinmenyusun ayat dengan hati2, disertai kata2 maaf. keesokannya, dia mghntr messege memarahi dan menghina saya. malahan, sy sedih juga, selama ini sy brtanya mngenai hubungannya dgn lelaki ajnabi trsbut dan dia brkata hanya kwn n xde contact2, rupaya sy ditipu slme 5thn.

    [Balas Komen]

  4. sank_hamba says:

    ermm sy ada shbt mcm ni,dan sikapnya yg seakan lupakn shbt lama bla dpt shbt baru buat shbt2 yg len trmasuk sy,makan hati.sjk tu sy makin menjauh dan semkin jauh dri dia.

    dn skrg,bla tsrempak dgn dia,sy hny mmpu snyum dn anggukkan kpl sikit. entahlah,sy pndndam kor orangnye.sy sedar sikpa buruk sy ni tp entahlah,lg2 lelki kan pndendam. i just don’t kknow what to say.
    sigh.

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *