Rendah Hati Itu Sejenis Biskut

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kalau rendah hati itu seperti biskut, maka mesti sedaplah ia! Credit Picture : http://www.redbubble.com/
Kalau rendah hati itu seperti biskut, maka mesti sedaplah ia!
Credit Picture : http://www.redbubble.com/

“Kau tahu tak, rendah hati itu ibarat biskut.” Bicaranya tenang.

Dahi berkerut. Cuba memikirkan apa kaitannya. “Emm. Kenapa pula?”

“Kenapa macam biskut? Sebab sekejap ada, sekejap takda.” Katanya lagi dengan tenang.

Dalam bicara tenang yang timbul itu akibat diinspirasikan oleh biskut yang telah selamat ditelan, ada betulnya juga. Rendah hati itu tidak dapat dilihat dengan penglihatan zahir semata-mata. Tidak juga dapat dilihat hanya dengan pengharapan cuma.

Rendah hati itu perlu dirasai. Diusahakan. Dikejar.

Dan sebenarnya, rasa rendah hati itu bukan perlu dibangga-banggakan. Tidak perlu ditayang ke dada dunia. Malah tidak perlu dihebohkan dengan sesungguhnya. Kerana rendah hati itu, hanyalah dipersembahkan kepada Tuan Punya Dunia. Titik. Bukan selainnya!

Rendah Diri Berdepan Tuhan

Dulu saya diantara manusia yang tertanya-tanya, kenapa perlu ada rendah hati bila berdepan dengan manusia? Kenapa perlu mendidik diri untuk merendah hati? Dengan manusia, buat biasa sudah. Tidak perlu lebih-lebih nak rendah diri.

Tapi sebenarnya, rendah hati dan rendah diri itu adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Apabila kita melihat orang lain, dan hati kita terdetik; “dia lebih baik dari saya inshaAllah”. Apabila kita melihat kanak-kanak kecil, hati kita malah berbicara; “kanak-kanak itu lebih mulia dari saya, sungguh.” Dan apabila kita melihat orang yang tidak punyai harta yang banyak, hati kita malah berkata; “dia mungkin tak kaya pada harta dunia, tapi mungkin dia lebih kaya pada rahmat Allah.” Dan banyak lagi keadaan yang boleh buat jiwa kita luluh.

Itu namanya, rendah hati.

Nampak macam senang, tapi sebenarnya susah. Mendidik jiwa dan diri mengenainya sangat perlu mujahadah. Bukan dengan hanya berkata-kata sahaja.

Kalau ditanya saya secara peribadi, “kenapa perlu rendah hati?” Maka saya akan jawab, “biar kita tidak terleka dan lalai sendiri. Biar rasa ‘bagus’ dalam diri tidak menghinggapi.”

Sebab itu, rendah hati sesama manusia itu hadir kerana hasil dari rendah diri di hadapan Tuhan. Bila berdepan dengan Tuhan, kita tahu hakikat diri kita yang sehina-hinanya. Dan setiap satu perbuatan kita, kita tahu hanya kita dan Tuhan sahaja yang lebih tahu.

Maka dengan rasa rendah diri itu, kita sedar kita ini bukan sesiapa pada pandangan Allah Ta’ala. Dan kita tidak berhak untuk menjadi mulia pada pandangan manusia. Kerana kita tahu, kita ini siapa. Kalau Allah buka aib kita, maka mahu ke mana kita?

Rendah Hati Bukan Kerana Manusia

Rendah hati, bukan mahu digapai to please human. Never ever! Tapi rasa itu mahu dicapai dalam jiwa, untuk buat Allah Ta’ala suka pada kita. Untuk buat Allah Ta’ala lebih sayang kepada kita. Dan satu hakikatnya yang kita perlu tahu, rendah hati sesama manusia adalah untuk menyedari hakikat diri kita di hadapan Allah Ta’ala.

Biar dengan rasa rendah diri kepada Allah, dan rasa rendah hati kepada manusia itu; membuatkan kita sedar, bahawasanya kita ini bukanlah sesiapa yang perlu untuk bersikap bangga diri dan angkuh terhadap manusia lain.

Perjalanan di atas muka bumi ini, biar tiada sedikitpun rasa mahu bangga diri. Walau apapun pencapaian yang pernah kita perolehi. Kerana bila ada rasa rendah hati dan rendah diri, segala kejayaan yang kita perolehi, maka kita tidak hairan pun dan tiada sebab untuk berbangga dan tinggi hidung terhadapnya. Tapi, tidaklah bererti kita tidak mensyukuri pemberian nikmat dari Allah Ta’ala.

Kerana kita sedarlah semua itu pemberian Allah, maka rendah hati perlu ada!

Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah mewahyukan kepadaku agar kalian bertawadhu’, sehingga tak seorang pun menyombongkan diri kepada yang lain, atau seseorang tiada menganiaya kepada yang lainnya.” (HR Muslim)

Kawan..
Kita bukan sesiapa,
kita hanya hamba Allah.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *