Refleksi Ramadhan #6 : Bangga Menjadi Seorang Muslim

Bismillahirrahmaanirrahiim.

I'm proud to be a Muslim.
I’m proud to be a Muslim.

6 Ramadhan 1435H.

Hari ini sebelum berbuka puasa, saya jadi teringat kepada seorang kawan saya yang beragama kristian. Beliau itu adalah seorang yang rajin melakukan aktiviti-aktiviti di gereja. Saban minggu, tidak pernah beliau tidak hadir ke gereja. Saya tidak pernah lupa kata-katanya, “Sekarang ini, jiwaku percaya ini agamaku. Kalau ditakdirkan suatu hari nanti jiwaku ini terisi dengan agamamu, pasti aku berusaha untuk menjadi seseorang yang berkhidmat untuk Tuhan!” Katanya ketika itu bersahaja.

Saya berdoa, semoga hidayah Allah sampai kepadanya.

Dalam dunia ini, ramai yang akan menyatakan ‘Aku bangga menjadi orang Islam!’. Pasti ramai yang akan mengatakan bahawa dirinya sangat berbangga dan bertuah menjadi seorang Muslim. Dan ya, siapa yang tidak berbangga kan?

Saya tidak teragak-agak untuk mengatakan bahawa menjadi seseorang yang beragama Muslim adalah satu kemuliaan. Kerana kita tahu, agama Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan nilai kemanusian dan nilai-nilai akhlak serta kebaikan.

Namun sejauh mana bangganya kita terhadap Islam?

Tanggungjawab Sebagai Hamba Allah

Tanggungjawab kita di dunia ini, bukan sekadar solat, berpuasa sahaja. Bahkan lebih daripada itu. Kerana itu kita tidak diciptakan seorang diri di dunia ini. Kita ada tanggungjawab kepada diri kita. Kita ada tanggungjawab kepada orang lain. Sebagaimana kita mempunyai hak terhadap diri kita, maka orang lain juga mempunyai hak dalam kehidupan kita. Kita tidak boleh hidup secara nafsi-nafsi.

Percaya?

Hidup secara nafsi-nafsi itu samalah dengan hanya mementingkan diri sendiri. Dan itu bukan dari ajaran Islam. Dalam Islam, Allah Ta’ala mengajar para hamba-Nya, yakni kita semua, supaya saling mengambil berat antara satu sama lain. Saling berkasih-sayang, saling memperingati. Dan dengan cara itu, akan lebih baiklah keadaan di dunia ini.

Hidup di dalam dunia ini; yang mempunyai harta, perlu menolong orang yang dalam kesusahan. Yang berupaya dari segi jasad dan akal fikiran, perlu membantu mereka yang dalam kepayahan dan kesempitan.

Subhanallah. MashaAllah. Tabaarakallah.

Cuba kita lihat bagaimana Allah Ta’ala mengatur dengan memerintahkan kita untuk saling tolong menolong di dunia ini. Indah, bukan? Dengan cara kita merasa bahawa orang lain mempunyai hak yang perlu kita tunaikan, kita sesekali tidak akan berasa bahawa kitalah yang lebih baik dari semua orang. Atau kitalah yang kaya dan orang lainlah yang miskin. Kerana apa? Kerana dalam jiwa kita, telah tertanam satu rasa percaya bahawa, semua apa yang kita miliki di dunia ini adalah kepunyaan Allah Ta’ala secara mutlak!

Tiada satu benda pun yang kita punya.

Mungkin kita akan merasa manisnya hidup ini apabila sampai satu tahap dimana kita akan merasa kekosongan apabila kita tidak memberi? Allahuakbar.

Rasa Bangga Itu Zahirkan Dengan Perbuatan

Suatu ketika dahulu, ketika penerbangan saya ada lagi 5 jam, saya mencetak tiket saya di mesin self check-in. Di satu sudut, saya melihat seorang perempuan yang tercari-cari dan keliru bagaimana untuk menggunakan mesin tersebut.

Saya menghampiri dan bertanya. “Excuse me. May I help you?” Dia terus berpaling dan senyum, saya balas senyumannya. “Oh yes yes.. I want to print out my ticket. I just don’t know how. Can you help me with this?” Keningnya berkerut.

Saya mengambil kertas yang dihulurkannya. “It’s my pleasure.” Saya terus menekan skrin tersebut dan memberikannya semula kepada wanita tadi. Saya melihat tiket beliau, antara destinasi beliau adalah ke Iran. Sambil-sambil itu dia bertanya, “Are you the staff of AirAsia?” Saya pula yang jadi keliru. Err?

“Err no. I’m just a passenger. My flight is on 5.45 PM. I’m going to Sabah.”

Dan kami berbual-bual seketika. Beliau seorang yahudi. Dan saya memperkenalkan diri. Saya katakan bahawa saya orang Islam. Dan tiba-tiba beliau berkata, “You’re so kind. Usually, if Malaysian know we’re Jews, they will look at us like we’re criminal.”

Di akhir-akhir perbualan, saya mengatakan bahawa “I’m proud to be a Muslim,” apabila beliau menceritakan sesuatu mengenai agamanya. Dan kami sama-sama tersenyum. Kami bersalaman dan saya melambai ke arahnya kerana beliau akan check in.

Kenapa saya menceritakan kisah tersebut? Kerana pada saya, dengan pertemuan sesingkat itu, kita boleh memberitahu kepada orang lain yang asing keindahan akan agama Islam itu.

Pernah saya bertemu dengan seseorang yang mengaku Islam, tapi malu melaksanakan apa yang Allah Ta’ala perintahkan. Mungkin dia ada alasannya yang tersendiri. Wallahu’alam. Tetapi sebagai seorang Muslim, sepatutnya kita bangga dengan agama kita walau di mana pun kita berada. Sebagai contoh, bab solat. Apabila kita pergi ke sesebuah tempat dan kita tidak mendapat sebuah masjid pun, maka kita boleh menunaikan solat di mana-mana pun. Selagi tempat itu bersih dan ruang untuk kita solat tidak mendatangkan bahaya atau mengganggu orang lain, maka solatlah kita dimanapun kita berada!

Tetapi kalau kita seorang yang sanggup burn solat kerana kononnya tiada tempat solat, dan kerana malu kepada manusia.. Maka kita perlu memeriksa kembali iman kita. Adakah kita bertuhankan Allah, atau manusia? Astaghfirullah!

Kita adalah hamba Allah Ta’ala,
dimana pun kita berada!

Semoga Allah merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *