Refleksi Ramadhan #5 : Allah Sayang Kamu

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Sudah terlalu banyak tanda bahawa Allah itu sayang pada kita.
Sudah terlalu banyak tanda bahawa Allah itu sayang pada kita.

5 Ramadhan 1435H.

Dua hari lepas, saya menemani dua orang kawan saya untuk pergi ke pusat sebuah telekomunikasi. Sebaik selesai, saya memandu untuk pulang ke rumah. Dalam keadaan kesesakan lalu lintas dan cuaca yang panas, memang menyengat kesabaran.

Dalam masa memandu tu, saya terpandang tulisan pada belakang sebuah kereta yang tertulis, “Allah Sayang Kamu’. Fikiran saya terus melayang jauh beberapa tahun ke belakang sehingga kini. Menginsafi diri sendiri. Rasa malu kepada Allah ya juga.

Cuba kita lapangkan fikiran dan jiwa kita. Dan ingat kembali saat-saat Allah Ta’ala mempermudahkan urusan kita. Memenuhi kehendak, keperluan dan keinginan kita dalam kehidupan. Memberikan kita tempat tinggal, memberikan kita makan dan minum. Pendek kata, Allah Ta’ala telah ‘melayan’ kita dengan baik selama ini.

Dan sekarang bandingkan pula dengan masa kita betul-betul bersyukur kepada Allah Ta’ala. Adakah kita menjadi seseorang yang selalu bersyukur apabila mendapat apa-apa sahaja nikmat dari Dia? Atau kita hanya menjadi seseorang yang mendapat sesuatu, tetapi lupa langsung untuk berterima kasih kepada Allah Ta’ala?

Bagaimana kita mahu memahami ayat ‘Allah Sayang Kamu’?

Allah Menyayangi Kita Dalam Semua Situasi

Ketika kita berhadapan dengan situasi yang rumit dan menghimpit diri. Disaat kita merasa sesak untuk bernafas kerana kita seolah-olah tidak dapat melihat jalan keluar dari persoalan-persoalan yang timbul. Pada waktu dan ketika kita terpaksa memilih diantara dua jalan kehidupan kita. Pada waktu-waktu kita merasa keseorangan..

Di manakah Allah Ta’ala dihati kita?

Kita mungkin selalu menyangka bahawa tanda Allah Ta’ala kasih kepada kita adalah dengan memberikan kita kesenangan dunia sahaja. Tetapi apabila Allah Ta’ala mencuit sedikit kehidupan kita, kita merasakan bahawa Allah Ta’ala sudah tidak kasih kepada diri kita.

What the? Like, seriously?!

Kesenangan di dunia ini bukan jaminan bahawa Allah Ta’ala meredhai kita. Lihat saja kisah Fir’aun yang Allah biarkan dan tenggelamkan dalam kesenangan dunia, yang ternyata hanyalah istidraj kerana perbuatan dirinya sendiri.

Kawan, apabila Allah Ta’ala memberikan kita ujian dari-Nya dalam kehidupan ini, itu adalah antara tanda Allah Ta’ala mahu kita kembali kepada Dia. Berserah dan bertawakkal kepada Dia. Tidak seharusnya kita melihat suatu ujian itu sebagai tanda kebencian daripada Dia.

Saya sangat yakin, ujian Tuhan itu mendekatkan. Bukan menjauhkan.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *