Refleksi Ramadhan #4 : Jangan Takut Untuk Salah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Mistakes just mean you're trying.
Mistakes just mean you’re trying.

4 Ramadhan 1435H.

Untuk menjalani hidup di dunia ini, adakalanya memerlukan kita menjadi seseorang yang perlu atau pernah merasai bagaimana melakukan try and error dalam kehidupan ini, kan. Kata-kata seperti, “kita belajar dari kesilapan” juga adalah satu realiti dalam kehidupan kita. Maka secara automatiknya, kita manusia ini sebenarnya tidak lari dari kesilapan.

Malah ada waktu kita perlu berani tampil ke hadapan dengan apa yang ada di dalam genggaman dan jiwa kita untuk belajar dalam kehidupan. Sama ada betul atau salah, tepat atau tidak, ketepikan sahaja dahulu. Yang penting, kita perlu berani untuk mencuba. Yang mana akhirnya keputusan dari keberanian kita itu, kita selalu akan belajar perkara-perkara yang baru. Makanya, kita sedikitpun tidak akan rugi walaupun mungkin kita salah.

Untuk merelakan jiwa kita belajar mengenai kehidupan di dunia ini, kita perlu untuk menjadi seseorang yang tidak takut kepada kesalahan atau kesilapan. Yang penting, kita mempunyai azam dalam diri — mahu menimba sesuatu yang berharga.

Kerana itu jangan takut untuk salah, kawan.

Kesilapan Itu Bukan Aib

Percaya atau tidak, ada diantara manusia, iaitu kita ini.. Tidak berganjak dalam kehidupan hanya kerana takut membuat kesilapan dan takut untuk menanggung malu. Mungkin juga, katanya sebab malu orang akan melihat diri sebagai seorang yang gagal dan kurang bijak.

Sedangkan, banyak keadaan dalam kehidupan ini.. Kita akan dapat tahu dengan lebih mengenai sesuatu apabila kita berani buat, dan ternyata apa yang kita buat atau katakan itu ternyata kurang tepat dan silap. Dan inshaAllah, pasti ada orang yang akan membetulkan dan menunjukkan jalan kepada kita.

Nah, cuba katakan kepada saya.. Adakah itu mengundang malu?

Kesilapan itu bukan aib. Contohnya dalam hal belajar. Kita akan maklum bahawa wujud pelajar yang aktif bertanya itu ini dalam kelas sehingga adakalanya pensyarah pun pening memikirkan jawapan kepada persoalannya. Mungkin orang lain akan melihat dirinya sebagai seorang yang tak boleh duduk diam atau poyo. Tetapi hakikatnya sebenarnya, dia sedang belajar banyak hal dan mengetahui banyak perkara.

Walaupun nampak kejahilan disitu beberapa saat. Tapi hasilnya?

Dan jika dibandingkan dengan pelajar yang asyik telan sendiri soalan yang sebenarnya menjadi persoalan dalam benaknya. Tetapi akibat malu dan takut semua mata tertumpu kepadanya saat dirinya bertanya, maka dia diamkan sahaja semua persoalan tersebut. Maka sebenarnya, pelajar seperti ini sedang menimba kerugian.

Akan tiba waktunya, kita perlu keluar dari kepompong ketakutan kita.

Berusaha Mencuba Itu Usaha Mulia

Seseorang pernah berpesan kepada saya. Katanya begini, “Suhana.. Apa-apapun yang kau usahakan di atas dunia ini, paksikannya kerana Allah SWT. InshaAllah, Dia akan bantu dengan jalan-jalan yang kau tak nampak!”

Bila teringat kata-kata itu. Saya jadi teringat firman Allah Ta’ala,

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Tidak akan menjadi hina kita di dunia jika kita berusaha dengan jalan-jalan yang kita percayai, dengan syarat, kita merendah hati dan sedia untuk memperbaiki diri. Dan kita sedia untuk dibaiki peribadi.

Takut kepada kesilapan ibarat tali yang mengikat kaki kita. Kerana terikatnya kaki kita dengan tali tersebut, kita tidak dapat ke mana-mana. Hanya statik di tempat tersebut sahaja, tidak dapat bergerak ke mana-mana meskipun hati kita meronta-ronta.

Pun begitu, jangan pula dengan alasan ‘jangan takut buat kesilapan’ menjadi lesen untuk kita melanggari perintah Allah Ta’ala serta melakukan semua larangan-Nya. Sesekali tidaklah apa-apa yang menjadi kemurkaan Allah Ta’ala itu termasuk dalam try and error dalam kehidupan. Kerana, Allah Ta’ala dengan jelas telah melarang kita akan hal-hal yang Dia tidak redha. Dengan hal-hal yang langsung tidak membawa manfaat.

Jom, kawan! Kehidupan ini terlalu indah untuk disia-siakan.
Jangan takut dengan kesilapan dalam berusaha. *senyum*

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *