Refleksi Ramadhan #3 : Biar Jelas Matlamat Kehidupan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Berimpian tinggi itu bukan dosa. Namun harus seiring langkah!
Berimpian tinggi itu bukan dosa. Namun harus seiring langkah!

3 Ramadhan 1435H.

Lama sebelum ketibaan ramadhan ini, saya ada memasang beberapa to-do-list yang perlu saya buat khusus dalam bulan ramadhan dan pada tahun ini. Memikirkan perkara-perkara yang perlu saya lakukan, saya jadi bertanya kepada diri sendiri.

“Betulkah ni? Bolehkah aku lakukan semua ini?”

Dan saya katakan kembali kepada diri sendiri, boleh atau tidak boleh, saya kena buat sebenarnya. Kena buat untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Maka sekarang ini, pilihan yang saya ada, adalah usaha buat sungguh-sungguh atau tinggalkan.

That’s it!

Seperti diri saya sendiri, ramai diantara kita yang mungkin merasa ragu-ragu terhadap diri sendiri dan cita-cita atau impian yang telah dipasang. Apabila melihat dan merenung kembali perkara-perkara yang kita mahu capai, kita jadi gelisah. Kita kata, “Macam tak boleh buat je!” Percaya atau tidak, itulah antara bisikan-bisikan didalam diri kita.

Tapi saya kira, bukankah orang-orang Islam perlu ada aim yang tinggi dan berusaha sebaik mungkin untuk mencapainya? Bukankah sepatutnya semangat orang-orang Islam itu boleh membangkitkan semangat orang-orang yang ada di sekelilingnya?

Kesungguhan Perlu Ada Dalam Diri

Adakalanya, apabila diri kita membuak-buak dengan semangat, kita mahu lakukan semuanya! Bahkan kita mahu melakukannya dengan secepat mungkin. Kita mahu mencapai apa yang kita impikan itu dengan segera, kalau boleh dengan sekelip mata sahaja.

Itu bagus. Sangat bagus.

Namun, selain kesungguhan.. Kalau tiada perancangan yang teliti atau langkah-langkah satu demi satu untuk mencapai suatu perkara, maka semuanya tidak akan menjadi. Akhirnya, kita akan bertangguh-tangguh akibat kegagalan dari perancangan yang tidak teliti. Selepas itu kita akan merasa semuanya mustahil.

Semasa bercuti pada cuti semester lepas, saya memerhatikan burung seperti burung layang-layang yang ingin membuat sarang di celah tiang luar rumah. Saya memerhatikan bagaimana burung tersebut terbang banyak kali membawa bahan untuk dijadikan sarangnya. Satu demi satu diangkutnya dan disusun dan melekatkannya, yang mana setelah beberapa lama akhirnya bahan yang diangkut satu demi satu menjadi sarang yang sempurna. Malah sebelum saya balik ke kampus, dalam sarang tersebut terdapat anak burung yang sangat kecil baru menetas dan tidak mempunyai bulu.

Apa yang saya hendak sampaikan adalah, kita semua ini patut mengambil pengajaran daripada seekor burung yang saya ceritakan tadi. Burung tersebut berusaha mengangkut terbang ke sana sini untuk mencari bahan dijadikan sarang sehingga akhirnya burung itu berjaya dengan apa yang dia mahu buat.

Nah, makanya.. Begitu jugalah kita manusia ini. Bukankah?

Usaha Adalah Segalanya

Jika kita mahu berubah ke arah menjadi seseorang yang Allah SWT cintakan, maka majulah ke arah itu. Jika kita mahu menjadi seseorang yang lebih baik peribadinya, akhlaknya.. Maka kita perlu berusaha ke arah itu.

Kalau hanya sekadar bercakap-cakap sahaja mengenai mahu berubah tapi tiada tindakan dan usaha daripada diri kita sendiri, maka tiada apapun yang akan bakal terjadi.

Saya pernah ditanya, “Aku ni banyak dosa. Aku dah banyak usaha untuk menjadi orang yang baik-baik. Tapi aku tetap macam ni. Kenapa?”

Saya berani katakan, salah satu antara kesilapan terbesar kita dalam berubah adalah, kita mahu melakukan semuanya dalam sekelip mata. Kita mahu kehidupan kita dan semuanya berubah dengan begitu cepat. Kita kurang sabar, tahu?

Akhirnya, lambat-laun kita akan merasa mahu berputus asa.

Jangan begitu kawan. Bukanlah silapnya ada pada Allah SWT. Tetapi pada diri kita sendiri. Buatlah satu-satu, langkah demi langkah. Biar kena dengan caranya. Dan biar tepat pada masanya. Jangan sesekali merasa semuanya tidak bermakna.

Ingatlah, bayi itu tidak terus berlari laju!

ALLAh Akan Pandang Usahamu

Saya sangat percaya yang Allah Ta’ala akan menilai setiap usaha kita semua, walaupun sekecil-kecil usaha. Dan saya percaya, Dia akan memberikan ‘penghargaan’ dari Dia, dengan cara-Nya yang tersendiri. Mungkin penghargaan dari Dia itu tidak akan dapat kita lihat sekarang, tapi lambat-laun, pasti akan ada. Dan itu mungkin tanpa kita sedari pun.

Percayalah. Allah mencintai orang-orang yang berusaha.

Benar kita hidup di dunia ini bukan untuk selama-lamanya. Dan perjalanan hidup di dunia ini juga bukan sekejap. Maka, kita perlu terus berusaha dan sabar dalam melaksanakan apapun yang Allah SWT sukakan.

Jika matlamat kita mahu menjadi hamba-Nya yang lebih baik, what can I say? Go for it, buddy! Tapi kita kenalah sabar, ya? Jangan berputus asa. Biar jelas apa yang kita mahukan dalam kehidupan ini. Dengan itu, barulah kita akan sentiasa tahu. Dan sentiasa akan memberitahukan kepada diri sendiri apabila terdetik mahu berputus asa, bahawa.. Kita melakukan semua ini bukan kerana manusia. Tapi kerana Allah Ta’ala!

Jatuh Dan Bangun Kembali

Kalau ada orang memberitahu kepada saya bahawa wujud manusia yang tidak pernah mengalami saat-saat merasa lemah atau ‘down’, maka saya akan tergelak.

Sesekali dalam perjalanan hidup kita di dunia ini yang mahu mengejar matlamat hidup, kita mungkin akan terjatuh dan tersungkur. Itu tidak apa, wahai kawan. Kalau kita jatuh, bangunlah kembali. Kalau jatuh dan tersungkur lagi dan lagi, maka selagi itulah kita kena bangun lagi dan lagi. Jangan dikira berapa banyak kali kita jatuh, tapi bangunlah!

Psst! Dengarkan ini..
Allah akan membantu mereka, yang mahu dibantu.

*kenyit mata*
*peluk kamu dari kejauhan*

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *