Refleksi Ramadhan #23 : Kita Memerlukan Kemaafan Allah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Forgive. If you want forgiveness from Allah.
Forgive. If you want forgiveness from Allah.

23 Ramadhan 1435H.

Hari ini, saya terfikirkan. Kita selalu sibuk dengan hal-hal dunia. Sepanjang harian kita sibuk memikirkan berkaitan keduniaan sahaja. Kadang-kadang, hal dunia lebih banyak yang kita fikirkan berbanding hal akhirat. Kita manusia, memang begitu kan.

Sudah masuk 10 malam terakhir di bulan ramadhan. Semua orang sibuk dengan ibadah masing-masing memohon keampunan dan rahmat daripada Allah Ta’ala.

Kita ini, kadang kala perlu membutakan mata terhadap manusia kalau kita mahu mendapat keredhaan dan keampunan daripada Allah Ta’ala.

Banyak waktunya, kita perlu fikir tentang diri kita dan Allah sahaja.

Kita perlu melupakan waktu-waktu yang menyakiti kehidupan kita, kita perlu memaafkan dengan sungguh manusia, dan kita perlu melupakan perkara-perkara yang pernah membuatkan kita jatuh suatu waktu dahulu. Ada saat-saatnya juga, kita perlu untuk serahkan sebulat-bulatnya kepada Allah Ta’ala. Biar Allah yang dengan cara-Nya sendiri yang akan mengendalikan hal tersebut. Ya, hanya kepada Allah!

Allah Bagi Pinjam Kita Ramadhan

Jujurnya, kadang-kadang rasa macam mensia-siakan peluang ramadhan yang Allah Ta’ala pinjamkan. Adakalanya rasa sangat rugi bila memikirkan ada sahaja waktu-waktu yang dibiarkan pergi dengan begitu sahaja tanpa diisi dengan ibadah-ibadah yang disukai oleh Allah Ta’ala. Walhal, Allah sebenarnya sudah memberi peluang kepada saya.

Ada orang, sibuk mencari kemaafan dari manusia berkali-kali. Dan berkali-kali jugalah manusia menolaknya, tidak mahu memaafkannya. Sehingga terlupa untuk meminta kemaafan dan keampunan daripada Allah Ta’ala.

Untuk manusia yang seperti itu, tinggalkanlah. Biarkan sahaja dahulu. Di bulan ramadhan ini, adalah lebih penting mendekatkan diri kepada Allah dengan jalan-jalan kebaikan dan memohon ampun daripada Allah berbanding merayu kemaafan manusia.

Hari ini, saya terduduk diam. Memikirkan apa yang terjadi sebenarnya pada dunia? Kemelut di sana sini. Kadang-kadang, logik akal saya tidak dapat menerima dan menghadam semua yang berlaku. Jadi apa yang perlu saya buat? Merenung bukan pilihan.

And all what I can do is, seeking forgiveness from Allah Ta’ala!

Perbanyakkanlah Taubat Kita

Seseorang pernah menasihati saya, “Suhana, urusan dunia takkan pernah habis dan takkan pernah selesai. Urusan akhirat, hanya di sini. Maka dahulukanlah. Di akhirat nanti takkan berpeluang dah.” Saya membenarkan kata-katanya tanpa bantahan.

You see.. Di dunia, masa sentiasa akan berlalu. Yang hidup pasti akan mati. Yang miskin dan kaya sentiasa teruji. Dan setiap manusia ada bahagiannya tersendiri.

Semua itu takkan lari. Pasti ada dan sentiasa menanti.

Selama ini, kita sudah terlalu disibukkan dengan hal-hal peribadi dan hal-hal dunia yang tidak pernah sudah. Kalau kita perasan, masalah peribadi sentiasa ada. Tidak pernah tidak ada. Masalah yang lain juga begitu. Dan kita akan sentiasa terfikir-fikirkannya.

Persoalannya, sampai bila?!

Allah Mengampuni Jika Kita Memohon Ampun

“Allah Ta’ala berfirman, “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-KU dan berharap kepada-KU, akan AKU ampuni apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli.

Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampunan kepada-KU akan AKU ampuni.

Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-KU tanpa menyekutukan AKU dengan sesuatu apapun, pasti AKU akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.”

(HR. Tirmidzi / Hadis Hasan Sahih)

Bukankah Allah Ta’ala sudah begitu pemurah dan pengampun?

Jangan sedih kalau manusia menolak permohonan maafmu. Tapi kembalilah kepada Allah Ta’ala memohon keampunan. Allah Ta’ala tidak akan pernah menghampakan.

Disaat kita tenggelam dengan perkara-perkara yang menyedihkan dalam kehidupan kita, bukankah kita perlu melupakannya dan menyibukkan diri untuk berdamping dengan Allah? Biar jiwa kita tenang. Dan kita tenang dalam berhadapan dengan kehidupan.

Sungguhlah. Kita telah lama lalai. Masanya untuk sedar!

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar : 53)

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *