Refleksi Ramadhan #2 : Tentang Diri Kita Sebenarnya

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Hidup itu walau banyak cubaannya, tetapi ia tentang diri kita sebenarnya. Credit Picture : http://dhauber.deviantart.com/
Hidup itu walau banyak cubaannya, tetapi ia tentang diri kita sebenarnya.
Credit Picture : http://dhauber.deviantart.com/

2 Ramadhan 1435H.

Antara perkara terbesar yang membuatkan hati saya gembira adalah apabila berdiri dalam saf solat, bahu bertemu bahu sesama orang Islam meskipun saling tidak mengenali. Tetapi sedang menghadap dan mengabdikan diri kepada Tuhan yang sama.

Terasa ada aliran kekuatan dalam jiwa.

Kita orang Islam, kita tahu bahawa Allah SWT yang menciptakan kita. Kita tahu bahawa lahirnya kita ke dunia ini bukanlah kerana Allah SWT mahu saja-saja menghantar kita ke sini. Tetapi hidup kita sebenarnya, penuh dengan misi. Misi seorang hamba. Maka, tugas kita adalah dalam lingkungan sebagai seorang hamba yang berperanan memakmurkan dunia ini dengan pelbagai cara yang termampu.

Walaupun dalam sekecil-kecil perkara, kan?

Namun sering juga hati kecil kita ini tertarik kepada permainan dunia. Dunia ini, yang kita tahu tidak kekal lama. Namun tetap, kita sering berkelakukan bahawa kita akan hidup selama-lamanya di dunia ini. Kita sering lalai dan alpa. Selalu sahaja terkeluar dari landasan yang sebenarnya. Persoalannya, salah siapa sebenarnya?

Salahkan diri kita terlebih dahulu!

ALLAh Telah Membuka Jalan Untuk Kita

Saya kadang-kadang terfikir.. Benar syaitan yang menyesatkan itu wujud. Benar nafsu seranah itu ada dalam diri kita. Tapi sebenarnya, bukankah kita yang mengawal diri kita? Secara logiknya begini, jika serahkan diri kita kepada syaitan dan nafsu jahat, maka begitulah juga jadinya diri kita nanti. Dan sebaliknya.

Jika pada bulan ramadhan ini jiwa kita masih juga menginginkan kepada perkara-perkara yang lagho dan dosa, masalah terbesarnya bukanlah pada syaitan yang Allah rejam. Tapi masalah terbesar adalah pada diri sendiri sebenarnya.

Akur untuk menjadi pengikut syaitan yang setia.
Akur kepada nafsu yang seranah.

Sedangkan, di akhirat sana nanti.. Syaitan tidak akan memberikan sikitpun kepada kita pertolongan kerana dirinya juga bimbang dengan azab dari Allah. Walhal, Allah terang-terangan sudah memberikan kita pedoman dan jalan. Tinggal kita sahaja mahu mengikut yang benar atau tidak. See, buddy?

Benar, semua orang berpotensi untuk masuk ke neraka. Tapi semua orang juga berpotensi besar untuk memasuki syurga yang Allah Ta’ala janjikan.

Bukankah?

Tentang Diri Kita Sebenarnya

Instead we blame the other, why not we blame ourself first?

Mungkin kita ini sudah terbiasa untuk menyandarkan kesalahan yang kita buat kepada orang lain. Kerana itu, hatta dalam dosa pahala pun, kita berbuat yang demikian. Apabila kita berbuat dosa, kita katakan bahawa syaitan telah menggoda kita. Ya, itu betul. Namun peratusan terbesar sekali untuk terjadi itu adalah kerana diri kita sendiri. Pernah tak anda dan kita semua tertanya-tanya.. Kenapa rapuh sangat jiwa kita ini terhadap perkara-perkara yang melalaikan dan berdosa? Kenapa senang sangat kita buat dosa?

Jawapannya, kerana hubungan kita dengan Allah itu rapuh!

Rapuh kerana apa? Kerana kita kurang usaha untuk menjadikan hubungan kita dengan Allah SWT kuat. Kerana kita kurang usaha untuk membuatkan jiwa kita merasakan kehadiran Allah Ta’ala. Kerana kita malas untuk buat perkara-perkara kebaikan walaupun sekecil-kecil perkara. Malah kita memandang remeh hal-hal kebaikan.

Ambillah Peluang Untuk Memperbaiki Diri

Kenapa saya katakan ‘ambillah peluang’?

Kerana sebenarnya, Allah SWT sudah terlalu lama memberikan kepada kita peluang demi peluang untuk memperbaiki diri. Salah satu buktinya, kita masih hidup sehingga saat ini. Walaupun betapa banyak dosa dah kita lakukan sepanjang hidup ini. Itu belum kira dosa yang terzahir dengan yang tersembunyi.

Allah.. Tabarakallah!

Betapa sebenarnya Allah SWT sangat mengasihi kita semua. Tapi kita sahaja yang tidak kasih kepada diri sendiri sehingga sanggup membiarkan diri digelumangi dosa-dosa.

Maka, untuk diri saya sendiri juga.. Ambillah peluang di bulan ramadhan ni untuk menjadi seseorang yang baru. Yang baru dalam amalannya, dalam pertuturan, dalam penulisannya, dalam langkah hidupnya. Tidak terlambat lagi untuk kita berbuat demikian.

Tanyalah diri kita..
Apa yang kita mahukan daripada Allah SWT sebenarnya?

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *