Refleksi Ramadhan #13 : Kitalah Yang Akan Mengubah Diri

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Perubahan itu bermula dari diri kita sendiri.
Perubahan itu bermula dari diri kita sendiri.

13 Ramadhan 1435H.

Antara salah satu perkara yang saya hendak ubah pada diri saya sendiri sebelum dan semasa serta selepas bulan ramadhan ini adalah istiqamah dalam solat malam. Dan sehingga sekarang saya masih sedang berusaha. Jujur.

Ada sahaja malam yang saya telah berniat untuk bangun di sepertiga malam, tetapi bangun-bangun sahaja apabila azan subuh berkumandang. Astaghfirullah.

Saya tahu diri saya. Saya tahu kelemahan saya dan kekurangan saya. Tapi saya juga menjangkakan dan mengharap lebih dari diri saya sendiri. Untuk tidur seperti biasa setiap malam tanpa ada ibadah yang dilakukan di tengah malam, itu samalah seperti satu kegilaan. Serius, ada sesuatu yang sangat kosong dalam hidup.

Sebab tidak keterlaluan kalau saya katakan, tiada erti malam seseorang Muslim itu apabila tidak dihidupkan dengan ibadah-ibadah seperti yang Rasulullah SAW pernah buat.

Dan saya tahu dan pasti, ada ramai dalam kalangan kita semua yang sedang dalam perubahannya tersendiri. Yang juga sedang berusaha dengan cara sendiri.

Kitalah Yang Akan Kerah Diri Sendiri

Kita sudah selalu dengar firman Allah Ta’ala ini,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang pada diri mereka.” (Surah ar-Rad : 11)

Secara asasnya kita boleh faham yang Allah sendiri pun tidak akan mengubah kita dengan percuma sekiranya bukan kita yang bersungguh-sungguh mengubah apa yang hendak kita ubah pada diri sendiri. Hatta sunnatullah di dunia juga begitu. Tanpa usaha dari kita, mana mungkin kita akan mendapat suatu manfaat atau hasil dalam perubahan diri. Betul, kan?

Maka, kitalah sebenarnya yang perlu lebih bersungguh-sungguh terhadap diri kita sendiri. Kalau kita hendak menginginkan perubahan, maka kita sendirilah yang perlu melakukan perubahan tersebut. Bukan orang lain. Bukan ibu bapa kita, bukan kawan kita. Bukan, bukan dan bukan! Tapi kitalah yang akan berhempas pulas dengan diri kita.

Kerana Kita Perlu Berubah

“Kenapa saya perlu berubah?”

Mungkin kita pernah tertanya-tanya soalan di atas. Dan jawapannya ada pada diri kita sendiri sebenarnya. Sebab kita tahu diri kita macam mana.

Lagi sekali, kenapa? Kerana kita perlu ‘move on’.

Dalam dunia ini, kita takkan dapat hidup dalam keadaan statik sahaja tanpa perlu melakukan sesuatu yang baru atau sesuatu yang lebih baik untuk diri sendiri dan ummah. Betul? Maka kerana itu kita perlu juga berubah. Walaupun dalam keadaan kita akan sakit dan payah. Kerana perubahan itu perlu. Bukan hanya untuk diri sendiri.

.. tapi juga kita perlu berfikir untuk kebaikan ummah!

Tidak akan rugi,
orang yang mahu berubah kerana Allah.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *