Refleksi Ramadhan #12 : Perkahwinan Itu Bukankah Sebuah Janji?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Perkahwinan adalah sebuah janji yang perlu dilaksanakan oleh keduanya.
Perkahwinan adalah sebuah janji yang perlu dilaksanakan oleh keduanya.

12 Ramadhan 1435H.

Pagi tadi buat note-self tentang akta/enakmen pembubaran perkahwinan.

Dunia ini, adalah suatu kewujudan yang kita tidak akan dapat membacanya. Yang kita boleh buat adalah, memahaminya untuk terus hidup berpaksikan kerana Allah Ta’ala. Kita tidak boleh hidup sesuka hati atau menurut nafsu sahaja.

That’s it.

Membaca sambil menuruti aksara demi aksara mengenai pembubaran sesebuah perkahwinan. Lalu membayangkan pula bagaimana susahnya untuk berurusan bagi sebuah penceraian. Turun naik mahkamah, gangguan perasaan dan kenangan si suami atau isteri.

Saya belum berkahwin. Tetapi saya dikelilingi oleh orang-orang yang telah berkahwin. Antara hal yang dapat saya simpulkan adalah, perkahwinan itu boleh menjadi bahagia tapi boleh juga menjadi derita. Perkahwinan itu adalah sebuah janji, tapi boleh juga jadi mungkir janji. Perkahwinan itu adalah kemanisan, tapi tidak sedikit yang mengalami kepahitan.

Perjalanan sebuah perkahwinan adalah dipandu oleh pasangan tersebut.

Perkahwinan Bukan Kerana Suka-suka

Seiring anak-anak muda zaman sekarang kian berkahwin dan kad jemputan ke majls perkahwinan semakin banyak terkumpul, namun di sekian banyak tempat, semakin ramai pula yang bercerai. Hal ini membuatkan saya berfikir dalam mengenai punca-punca. Dan banyak punca sebenarnya. Selepas kahwin, tidak dapat menerima kenyataan akan kekurangan dan kelebihan pasangan masing-masing. Atau masing-masing menginginkan pasangan yang terlalu sempurna sedangkan diri sendiri tidak sempurna. Pfftt!

Belajar dengan perkahwinan kedua orang tua saya, perkahwinan kakak sulung saya dan abang saya, mengajarkan saya bahawa bertolak ansur dan saling merendah hati itu adalah antara perkara yang terpenting dalam sesebuah rumahtangga.

Jika kita jenis orang yang hanya nak ikut kepala sendiri sahaja dalam kehidupan ini, dan kita masih tidak berubah selepas berkahwin dengan seseorang, maka apakah sebenarnya yang kita harapkan? Mahu pasangan kita tersebut ikutkan sahaja kehendak dan ikut-suka-kepala-sendiri-kita? Kalau ya, kita sebenarnya belum bersedia nak kahwin.

Berkahwin muda itu bagus. Kahwin awal itu bagus.

Namun, sebelum itu perlulah terlebih dahulu jelas dengan matlamat perkahwinan. Kalau nak berkahwin dengan sangat hanya kerana kawan-kawan di sekeliling kita sudah ramai yang berkahwin pada usia muda dan mempunyai baby yang comel, atau sekadar hendak menunjuk-nunjuk kepada kawan-kawan kita bahawa kita juga mampu kahwin seperti mereka.. Maka, parah. Sungguh parah. Percayalah.

Perkahwinan boleh menjadi ibadah. Juga boleh menjadi dosa.

Bukan Mencari Kesempurnaan

Saya akan selalu percaya, pernikahan bukanlah untuk mencari kesempurnaan. Tetapi untuk saling melengkapi kelebihan dan kekurangan antara keduanya.

Jika kesempurnaan yang kita cari dalam diri pasangan kita, maka yang akan kita temui adalah kekurangan demi kekurangan yang setiap hari semakin terserlah. Begitu juga dengan diri kita, kita banyak kekurangan dan keburukan.

Jadi, apalah salahnya untuk belajar menerima?

Cerai? Fikirkan Banyak Kali

Saya suka mahu mengajak kita semua berfikir.

Seperti yang saya katakan awal-awal tadi. Penceraian bukanlah sesuatu yang mudah. Dan penceraian sesekali tidak menjadi pilihan pertama, kedua atau ketiga. Malah penceraian diletakkan di akhir sekali jika selepas pelbagai usaha tidak berjaya.

Dan fikirkan pula kembali. Sebelum majlis pernikahan kita. Dan selepas majlis pernikahan kita. Ingat kembali berapa ramai orang yang bergotong royong, bekerjasama membuat persiapan, masak-memasak, hias itu dan ini untuk meraihkan kita?

Bayangkan tenaga kerja saudara mara kita.

Bayangkan kebahagiaan kedua orang tua dan jerih payah mereka untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik. Fikirkan dari pelbagai aspek.

Sesekali dalam hidup kita ini.. Kita jangan pentingkan diri sendiri sahaja. Kita kena fikir orang lain sekali. Kita jangan fikirkan keadaan kita saja. Walhal, sebenarnya kita sedang melibatkan ramai orang dalam hal kita. Make sense, right?

Semoga Allah kurniakan kita hati yang lembut,
fikiran waras yang dipandu iman.

Semoga ALLAh merahmati.

One thought on “Refleksi Ramadhan #12 : Perkahwinan Itu Bukankah Sebuah Janji?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *