Rasa Berdosa Itu Suara Iman

Bismillhirrahmaanirrahiim.

Kau akan kenal dirimu dengan melihat dosa-dosa yang kau lakukan~
Kau akan kenal dirimu dengan melihat dosa-dosa yang kau lakukan~

Selesai lagu ‘Kalau Tuhan Dikenali – Mawaddah’ diputarkan.

Saya menghayati dengan dalam makna yang tersirat yang terkandung dalam setiap bait lirik di dalam lagu tersebut. Memang benar apan yang disampaikan. Kalau Tuhan itu benar-benar dikenali, pasti para hambaNya akan menimbang tara beribu kali untuk melakukan dosa. Hatta dosa yang sekecil-kecil dosa pun. Sebab apa? Sebab suara imannya mengatakan, oleh kerana dia mengenali Tuhan dan aturannya, maka dosa itu adalah sangat ditegah.

Tapi, kita sebagai manusia biasa ini bukannya maksum tidak melakukan kesalahan. Maka sebab itu taubat itu wujud, permohonan pengampunan terhadap Allah SWT itu ada, pengampunan dari Dia itu sentiasa terbuka luas buat para hamba-Nya.

Maka sebab kita ini penuh lemah dan kekurangan, pastinya dalam sehari itu ada sahaja dosa yang kita buat sekaligus menambahkan akaun dosa-dosa kita. Dan amat beruntunglah bagi sesiapa yang merasa berdosa apabila melakukan sesuatu dosa.

Kerana rasa berdosa itu adalah suara iman..

Mendidik Hati Mengenal Dosa

Jiwa yang takut kepada melakukan dosa-dosa, adalah jiwa yang dididik mengenal dosa. Dimana jiwa itu telah terdidik bahawa dosa itu adalah sesuatu yang jijik, dibenci oleh Allah, dan si pelakunya akan dimurkai oleh Allah SWT. Dan jiwa juga akan jadi mengenal bahawa, tiap-tiap dosa itu boleh membawa diri kita menjadi penghuni neraka. Na’udzubillah.
Apa yang dimaksudkan dengan mendidik jiwa untuk mengenali dosa?

Begini, maksudnya adalah kita berusaha memberitahu dan mendidik jiwa kita sendiri, bahawa sesuatu yang bakal atau sedang kita lakukan itu sama ada keburukan yang membawa erti dosa, atau kebaikan yang membawa erti pahala. Misalnya adalah apabila kita mahu mengumpat. Jiwa yang terdidik, pastinya akan memberi tahu si empunya jasad, bahawa perbuatan mengumpat dan memfitnah itu adalah satu dosa. Dan ia bukanlah dari sifat-sifat golongan Muslim yang baik, maka perbuatan itu harus dijauhi.

Begitu juga, jiwa juga akan lebih tawaddhu dan merendah hati. Jiwa sebegitu tidak mungkin akan memandang dirinya lebih besar dan lebih berilmu dari orang lain. Sebaliknya, dia akan berbicara dan memberitahu dirinya bahawa,

“Dia ini mungkin lebih baik dari diriku. Ya Allah, sekiranya ada kebaikan dia, maka engkau jadikanlah aku terkena tempias dari segala kebaikannya..”

Jadi tidak mungkin hati yang terdidik akan merasa kebal dan lut dengan dosa-dosa. Apatah lagi jika melibatkan dosa-dosa besar. Kerana, jiwa yang hidup, setiap kali manusia ingin melakukan kejahatan, pasti timbul rasa bersalah kepada Tuhan dan diri sendiri. Secara sendirinya hati dan akal akan terbuka memikirkan kekelaman dan betapa berat dosa sesuatu perkara itu jika dilakukan.

Inilah jalan kebaikan..

Bagaimana Jiwa Itu Terdidik?

Seorang kawan pernah bertanya dalam gelak. Macam mana mahu didik hati? Saya menjawab, kena peringatkan diri selalu. Dan dia gelak lagi, seperti budak-budak katanya. Saya Cuma tersenyum. Kenapa seperti budak-budak? Bukankah manusia itu sendiri pelupa yang harus selalu diperingatkan berkali-kali? Maka apa yang geli hati sangat dengan itu?
Diri kita ini, kena selalu diperingatkan. Biarlah cara memperingatkan diri kita sendiri itu Nampak remeh dan poyo. Yang penting, itu bukanlah keburukan. Jangan takut untuk melakukan perubahan. Kerana yang berubah adalah diri kita sendiri, bukannya orang lain. Maka kata-kata orang lain itu, dengarkan sahaja.

Contoh yang paling sesuai ialah, seorang pelajar yang terdetik rasa malas dijiwanya untuk ke kuliyah. Dan dia sudah niat siap-siap takkan hadir kuliah punyalah! Tapi, tiba-tiba dia jadi berfikir sesaat. “Eh, dosa ni kalau aku tak pergi kuliyah kalau hanya sebab malas je. Berdosa aku pada Allah. Bersalah aku pada Mak dan Abah di kampong..” Atas kesedaran seperti itu, mungkin sahaja pelajar yang sedang dilanda kemalasan itu akan bingkas bangun dan bersiap-siap untuk ke kuliah. Jadi, bukankah itu salah satunya cara untuk mendidik jiwa?

Apa-apa sahaja perbuatan yang kita lakukan dalam hidup ini, kita perlu kaitkannya dengan keredhaan atau kemurkaan Allah SWT. InshaAllah, dengan kesungguhan dan izin Allah SWT, kita akan menemui jalan-jalan kemudahan untuk mengamalkan kebaikan.

Bagi saya, ini adalah salah satu beza orang Islam dengan yang lain.

Kerana apa? Kerana seorang Muslim itu, apabila melakukan apa-apa sahaja.. pertama perkara yang akan difikirkannya adalah Tuhannya. Apakah Tuhannya redha kepadanya, ataukah murka kepadanya jika dia melakukan sesuatu perkara. Dan seseorang Muslim, tidak mengikut kepala sendiri sahaja dalam melakukan sesuatu. Sebab dia ada Allah SWT yang jadi penimbang tara kepadanya untuk menjadi saksi dalam segala perbuatannya.

Sepertimana firman Allah SWT ini,

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216)

Sama seperti dalam konteks perbuatan kita. Mungkin sesuatu perbuatan atau aktiviti itu kita suka untuk melakukannya, tapi sebenarnya ia belumlah tentu membawa kebaikan kepada kita. Dan sesuatu yang kita tidak suka untuk melakukannya, siapa tahu terkandung begitu banyak kebaikan buat kita dikemudian hari. Indah kan?

Pandanglah selalu amal kita. Perbaiki segala ibadah yang dilakukan. Sucikan selalu jiwa dengan mendengar atau membaca kalam-kalam mengenai kebesaran Allah SWT. Hayati kisah-kisah orang-orang terdahulu yang dahsyat jiwanya dalam mencintai Allah SWT.

Semoga Allah SWT menerima dengan lapang manusia yang berusaha mendidik jiwanya. Kerana yang pasti, setiap kesulitan yang dilalui kerana mahu memperbaiki diri, pasti Allah SWT akan gantikan dan suakan dengan sesuatu yang lebih baik lagi.

InshaAllah..

Rasa Berdosa Tanda Jiwa Itu Hidup

Jiwa yang sudah mati, pastilah tidak menghiraukan kehidupan selepas kehidupan di dunia. Bagi jiwa seperti itu, nikmat hidup yang sekarang perlu dinikmati sungguh-sungguh dengan sepuas-puasnya walaupun dengan cara yang tidak diredhai Tuhan. Jiwa itu tidak memikirkan kehidupan akhirat dan lupa bahawa selepas mati, ada lagi kehidupan yang sedang menanti.

Jangan kita menjadi jiwa-jiwa yang lut jiwanya dengan hirisan dosa-dosa. Kerana yang pastinya, jiwa sebegitu tidak akan pernah berada dalam ketenangan. Tidak pernah ada ketenangan pada kederhakaan kepada Allah SWT. Itu adalah sesuatu yang pasti.

Suara iman pasti akan mengatakan dengan getaran kepada jiwa,
bahawa dosa itu adalah derhaka.
Semoga kita semua, terhindar dari jiwa yang lut dengan rasa dosa.

Semoga ALLAh merahmati.

2 thoughts on “Rasa Berdosa Itu Suara Iman

  1. Assalamualaikum. Kak suhana..sy merupakan seorang remaja. Yg selalu alpa dgn nikmat dunia.
    Jadi sabtu lepas, sy pergi ke kedai buku, tapi buku bertajuk.. Allah Tidak Pernah Jauh menarik hati saya.utk membelinya. Alhamdulillah..timbul keinsafan dlm diri sy..sy cuba sedaya upaya utk memperbaiki dir.. Terima kasih kak suhana atas perkongsian ilmu akk. Moga Allah berkati kehidupan akak.amin..

      (Quote)

  2. Wa’alaikumussalam, Fiqa sayang.

    Hei my dear, everyone have their stories. Ada kisah silam. Tapi tak kisahlah kisah silam itu yang macam mana, but what we must to do is; move on! Move on to a better life.

    Jom memperbaiki diri sama-sama!

    Hei adik manis! Terima kasih juga beli bukuu tu.
    Allah yang gerakkan kamu untuk membeli buku tu.

    Ameen. Untuk doa yang baik-baik, same goes to youuu sayang 😉

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *