Pendosa Yang Mengharap Pahala

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Berhijrah ke fitrah kebaikan; kalau bukan sekarang, bila lagi?
Berhijrah ke fitrah kebaikan;
kalau bukan sekarang, bila lagi?

Kamu tahu? Tiada sesiapa yang terlepas daripada dosa. Sesiapa pun di zaman ini. Dan dosa itu adalah satu keberatan yang tertanggung di pundak diri kita, menunggu saat Allah Ta’ala menilai dan membalasinya dengan pengadilan-Nya di akhirat kelak. Namun serasa-rasanya, tiada manusia yang akan tenang dengan perbuatan dosa yang dia lakukan. Saya percaya, sekebal apapun jiwanya telah gelap dengan pelbagai maksiat, resah kerana ketakutan dek dosa yang menggunung, pasti akan menyinggah lambat atau cepat.

Dosa itu, sangat menyakitkan.

Seperti saya. Saya ini juga seorang pendosa. Dan pandangan saya terhadap diri saya, tiada contoh yang baik yang dapat saya berikan untuk orang lain mencontohi dari saya. Namun apa yang pasti, saya menyedari saya ini seorang pendosa seperti kamu. Pendosa yang masih bergelut untuk naik ke tebing kebaikan dari dilemaskan oleh arus dosa yang terlalu deras.

Saya ini pendosa. Yang adakalanya akan menyalahkan diri sendiri dan mahu memukul diri sendiri kerana melakukan satu-satu dosa, biar saya merasa pukulan sakit itu yang tidak setanding mana berbanding dosa yang mungkin akan berbekas sehingga ke negeri akhirat sana. Saya juga seorang pendosa yang, kerap kali menasihatkan diri sendiri jangan melakukan sekian sekian, tetapi selalu kalah pada diri dan keadaan.

Dan yang sangat pastinya, saya ini seorang pendosa yang masih terus berbuat dosa namun tegar mengharapkan pahala kebaikan dari Allah Ta’ala. Pendosa yang masih berlumur dengan dosa-dosa yang banyak, tapi jauh disudut hati ini; ingin menjadi seseorang yang Allah Ta’ala akan pandang dengan pandangan rahmat pada hari kiamat nanti.

Saya, kamu, kamu dan kamu;
kita semua pendosa!

Maka, khabarkan. Bukankah dosa itu sangat menyakitkan?

Ada Allah, Wahai Pendosa!

Kita ini, kadang-kadang bukan kita tidak tahu bahawa apa yang kita buat, apa yang kita tuturkan, apa yang kita fikirkan itu adalah sesuatu yang salah. Namun entah kuasa apa, dan tarikan apa yang membuatkan kita tetap melakukan sesuatu itu padahal kita tahu Allah Ta’ala itu ada, Allah Ta’ala melihat kita. Tidak cukup dengan itu, kita yakin bahawa malaikat yang bertugas di kiri dan kanan kita tidak pernah culas dalam mencatatkan segalanya.

Tapi kenapa masih lagi terjadi? Lagi dan lagi.

Kita masih lagi dalam pergelutan dengan diri sendiri. Sehingga satu saat kita terfikir,

“Kenapa aku masih begini walau aku ada keazaman untuk lari dari semua ini? Aku cuba mujahadah berlawan dengan diri sendiri. Adakah aku ini telah ditakdirkan oleh Allah jadi begini sepanjang hayat dan Allah takdirkan aku tempatnya di neraka?”

Allahuakbar! Nanges.

Apakah kita melihat? Betapa jiwa kita penuh dengan penyesalan. Tapi lagi kesal apabila kita kalah dengan godaan nafsu diri sendiri. Dan kita tahu, bahawa dosa itu tidak terhadap kepada satu cara. Tapi dari banyak hal dan arah, kita dengan mudah akan mendapat dosa. Kita kesal dengan diri sendiri. Kita mahu jadi hamba yang baik kerana Allah Ta’ala, tapi kenapa perkara itu terasa susah yang amat? Susah sehingga lutut kita terasa lemah.

Tapi, untuk kembali seperti ke masa silam; itu tidak termasuk dalam pilihan.
Sesekali tidak akan termasuk dalam pilihan!

Kerana keperitan jahilnya masa silam, lebih perit lagi daripada apa yang dihadapi sekarang.

Namun kembali kepada persoalan. Kenapa kita berhadapan dengan kesusahan tika mana kita berjuang dengan diri sendiri untuk kembali kepada fitrah kebaikan, namun selalu sahaja kita salah. Ya Allah, bukankah hamba-Mu ini sedang berjuang menuju-Nya. Tapi kenapa hamba-Mu ini selalu tewas di pertengahan jalan begini. Apaka nasib hamba-Mu ini nanti bila berhadapan dengan-Mu nanti, ya Allah?

Nanges lagi.

Kita akan pernah atau sedang merasakan perasaan di atas;
jangan tipu.

Tapi satu hal yang perlu kita percaya dan yakin; sebusuk apapun kita, sekotor apapun kita, sehina apapun kita dengan dosa-dosa yang ada, Allah Ta’ala sebenarnya sentiasa ada. Dia melihat kita, Dia mendengar rintihan kita. Dia tidak membiarkan kita, Dia membantu kita.

Dan pertolongan Allah itu, mungkin datang dengan cara yang bukan dalam pengetahuan kita.

Dosa Menyakitkan Si Pendosa

Fikirkan ini.

Tiada siapa yang mahu bergelumang dengan dosa sebenarnya — dosa itu adalah sesuatu yang halus yang akan selalu merasuk jiwa dengan penyesalan. Mungkin kita pernah melihat manusia yang tiada batas apa-apa baginya, tiada halal dan tiada haram. Hidupnya kelihatan menyeronokkan, seakan-akan tiada apa yang perlu difikirkan. Tidak perlu memikirkan pahala, apatah lagi dosa. Itu semua seakan-akan tiada dalam kamus kehidupan.

Itu apa yang kita lihat, kawan.
Tapi bolehkah kita benar-benar menyelami sebenar-benarnya jiwa seseorang?

No. Tidak. La!

Pasti akan waktu, manusia itu akan terduduk sendiri. Memikirkan segala perbuatannya. Rasa berdosa menyelinap masuk ke dalam jiwanya. Dan penyesalan mula menghantui kehidupannya. Bezanya, adakah penyesalan itu akan membawa kita kepada Tuan Punya Dunia ataupun sebaliknya? Atau, adakah sesal itu akan menyedarkan kita?

Pendosa Yang Menagih Simpati Tuhan

Akan ada saat dan ketika, kita mungkin berjalan sendirian — merenung diri sendiri. Memberikan ruang waktu untuk diri sendiri bersoal jawab. Sambil kaki melangkah, sambil kita berfikir dalam-dalam. Kita juga bertanya kepada Allah Ta’ala dalam diam. Kita seakan-akan bersoal jawab dengan Allah.

Mata menanggung takungan air.

Kita duduk di sebuah kerusi. Memandang langit yang membiru indah. Akhirnya kita menangis di situ untuk satu tempoh. Kita kata kepada Tuhan, “Ya Allah, berikanlah hamba-Mu ini kekuatan. Aku tidak ingin menjadi hamba-Mu yang sia-sia, tapi ya Allah, cukuplah menjadi hamba-Mu yang Kau pandang dengan pandangan cinta!”

Kita sedar kita masih banyak melakukan dosa. Dan kita juga sedar, yang kita memerlukan cinta dari Allah. Kita sedar kita bukan baik mana, tapi kita juga mahu ada kedudukan disisi Allah — cukup menjadi hamba-Nya yang akan diadili dengan kegembiraan oleh Allah Ta’ala.

Dan mengakulah,
kita masih tetap melakukan dosa.

Tapi sebenarnya, jika kita tidak menagih simpati dari Tuhan;
maka ke mana lagi kita mahu pergi?
kepada siapa kita mahu merayu kasih?

Kita hamba yang penuh dosa. Tapi kita jangan putus asa. Seberapa banyak pun kita terjatuh dan terjatuh lagi dalam gelinciran dosa, maka bangunlah dengan cara apapun. Walaupun bangun dengan cara kehinaan sekalipun!

Saya, kamu dan kamu serta kamu.. Adalah pendosa yang lemah sebenarnya. Kita pendosa yang kuat melakukan dosa, namun kita lemah apabila berhadapan dengan Allah. Merayulah selagi kesempatan peluang masih ada.

Nanges.
lagi dan lagi.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *