Peguam : Bolehkah Membela Orang Bersalah?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Menjadi peguam itu adalah kerja sebahagian dari 'tangan-tangan' Tuhan.
Menjadi peguam itu adalah kerja sebahagian dari ‘tangan-tangan’ Tuhan.

Bila pelajar undang-undang bertemu, maka tiada lain modal cerita akan terselit melainkan ada sahaja tajuk mengenai undang-undang dan dunia guaman. It’s a kind of refreshing our mind, apabila bercerita mengenai undang-undang dalam dan luar negara, kes-kes yang ada; isu global yang hangat, akta yang diperuntukkan dan yang sama waktu dengannya.

Dan sungguh, bersembang secara ilmiah dengan kawan-kawan yang mempunyai obsesi yang sama ataupun kawan yang memang mahu mengisi sesi lepak-lepak bersama dengan ilmu, memang berbeza dengan kawan yang hanya tahu sembang kosong dan tiada peduli terhadap ummah. Banyak sungguh perbezaan antara kedua-dua kawan ini. Serius.

Apabila belajar atau berada dalam bidang yang berkaitan dengan dunia undang-undang, semestinya persoalan mengenai pembelaan terhadap seseorang klien itu adakah wajar atau tidak melihat kepada jenis kes yang diterima? Persoalan begitu seakan-akan sudah menjadi suatu dilema kepada pelajar atau pengamal perundangan.

Dilema Membela Orang Bersalah

Pernah saya melepak santai dengan kawan-kawan yang berasal dari pelbagai latarbelakang pendidikan. Kawan saya bertanya sambil berseloroh, “Kau ambil comparative law, kan? Nanti jadi peguamlah kiranya. Bolehkah korang bila jadi peguam nanti membela orang yang salah?”

Pernah juga seorang kawan yang mengambil bidang undang-undang bertanya, “Bolehkah kita membela orang yang disyaki bersalah?” Sambil wajahnya bersahaja, sambil penuh persoalan.

Saya senyum sahaja. Mendengar persoalan-persoalan yang dilontarkan, syukur masih ada orang yang mengambil berat tentang seorang peguam, lebih-lebih lagi peguam Islam membela seorang klien yang didapati bersalah. Saya bukanlah seorang peguam, tapi masih sedang belajar dalam bidang undang-undang perbandingan. Maka, soalan-soalan seperti ini membuatkan saya faham dan yakin bahawa masih ramai pelajar yang berfikir di luar kotak suara pensyarah yang diajarkan dalam kuliyah. Sebaliknya berfikir mengenai buruk baik sesuatu pekerjaan sebagai peguam itu menandakan pemikiran yang tidak ‘terbungkus’.

Apapun, saya percaya seorang peguam yang menerima klien yang didapati bersalah untuk dibela dan memenangi sesebuah kes mempunyai sebab yang tersendiri. Dan saya yakin, tidak semua peguam hanya mahu mendapatkan duit semata-mata dan tidak mengambil kira sama ada kliennya benar-benar tidak bersalah hanya menjadi mangsa tuduhan atau sememangnya betul-betul bersalah dan memang bertanggungan.

Dalam dunia perundangan, dikalangan peguam itu sendiri, tidak dinafikan sekiranya ada diantara peguam itu sendiri tidak amanah atau tidak menegakkan keadilan dalam undang-undang. Ini realiti. Namun, kita juga tidak menafikan bahawa memang masih wujud peguam yang baik dan jujur serta menghormati perlembagaan undang-undang.

Dan saya sangat menghormati peguam yang jujur seperti ini.

Persoalan bolehkah seorang peguam membela orang yang bersalah. Maka apa yang boleh saya jawab adalah, sebelum menerima sesebuah kes, peguam tidak menerimanya bulat-bulat; siasatan juga perlu dijalankan. Peguam bukanlah hanya duduk diam di pejabat sahaja, yang mana sampai waktu perbicaraan, kerjanya hanya memakai pakaian hitam putih dan ke mahkamah. Tidak. Bukan begitu.

Dan perlu kita fahami juga, tidak semua orang yang didapati bersalah dan digelar penjenayah itu adalah orang yang memang benar-benar melakukan jenayah. Ada diantara mereka yang terperangkap, dianiaya dan ditikam dari belakang oleh orang lain. Dan akhirnya, mereka terperangkap sebagai ‘penjenayah’.

Kenapa ada peguam yang mengambil risiko untuk membela penjenayah, berkawan dengan penjahat dan terjun dalam dunia kegelapan semata-mata untuk memahami penjenayah tersebut. Mereka mesti ada sebab yang tersendiri.

Peguam : Antara Amar Ma’ruf Nahi Mungkar dan Fardhu Kifayah

Saya memandang tugas seorang peguam Muslim di negara kita (Malaysia) lebih-lebihnya, sebenarnya adalah fardhu kifayah. Tidak kiralah seseorang peguam itu adalah pengamal perundangan sivil mahupun syariah. Masing-masing ada peranan yang besar dalam bidang khas masing-masing. Jadi, tidak timbul persoalan tugas fardhu kifayah itu hanya jatuh kepada peguam syariah sahaja. Kerana tugas fardhu kifayah itu jatuh kepada peguam Muslim.

Seperti yang saya pernah katakan, tidak semua yang dipercayai sebagai penjenayah itu adalah orang-orang yang betul-betul bersalah. Dan untuk pengetahuan kita semua, ramai diantara yang tertuduh di mahkamah adalah saudara seIslam kita.

Dan jika benar-benar si tertuduh adalah sabit kesalahannya, maka apa seorang peguam perlu buat? Adakah perlu bela lagi untuk memenangkan anak guamnya yang sah-sah sudah salah?

Jawapannya, tidak. Peguam ada prosedur tersendiri; memastikan anak guamnya mengakui dan menginsafi diri dan kalau perlu dan boleh, membuat rayuan dan simpati dari pihak mahkamah untuk mengurangkan hukuman dari akta yang telah diputuskan oleh hakim mahkamah kepada akta hukuman yang sedikit ringan.

Kenapa saya katakan pekerjaan sebagai peguam adalah amar makruf dan nahi mungkar?

Hal ini kerana, yang membezakan peguam yang ramai itu; muslim dan non-muslim adalah, peguam muslim ada peranan terbesar sebagai pendakwah disamping mencari rezeki dengan perantaraan sebagai pengamal perundangan. Ya, orang yang tertuduh itu adalah mad’u kita. Dan saya sangat percaya hasil daripada pemerhatian saya, dimana tidak sedikit penjenayah yang insaf dan menjadi manusia yang lebih baik.

Selain itu, peranan terbesar seorang peguam adalah berbuat amar makruf dalam konteks di mahkamah. Sebagai peguam, kita cuba mencegah mahkamah dari menjatuhkan hukuman secara tidak adil dan mungkin juga secara tidak Islamik. Disinilah peranan terbesar peguam dalam membela keadilan dan kebenaran. Iaitu ketika ‘perlawanan’ di mahkamah.

Peguam Antara ‘Tangan’ Tuhan

Sebelum dan semasa saya belajar dalam bidang dunia perundangan, ramai kedengaran orang berkata, “Peguam itu tempatnya di neraka. Membela yang salah dan bukannya menegakkan keadilan!” Kata sesetengah orang. Bukan kali pertama saya mendengarnya.

Saya tidak salahkan orang yang berkata sedemikian. Mungkin ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Namun itu tidaklah bererti bahawa apa yang diperkatakan itu adalah betul. Kerana bagilah tugas atau pekerjaan apapun, pasti mendapat azab seksa jika tidak jujur terhadap pekerjaan sendiri dan sumber rezeki dari sumber haram.

Perlu saya tekankan, jangan takut untuk menjadi peguam. Kerana kegilaan dunia yang sekarang inilah, peguam yang jujur dan amanah diperlukan untuk menegakkan keadilan. Kerana semakin pupusnya sifat kemanusiaan manusia sekarang inilah, perlunya kepada peguam yang jiwanya bersifat dengan kasih-sayang sesama makhluk Tuhan.

Peguam adalah antara ‘tangan’ Tuhan di muka bumi ini.

Menjadi peguam jenayah atau peguam lainnya, adalah suatu kerja fardhu kifayah, termasuk dalam pekerjaan amar ma’ruf nahi mungkar.

Peguam bukanlah robot,
menagih duit semata-mata.

Semoga Allah merahmati.

2 thoughts on “Peguam : Bolehkah Membela Orang Bersalah?

  1. input yang sngt membntu sy..klu bleh kongsikn mengenai konsep pembelaan memepertahankan diri menurut undang-undang islam..

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *