Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Nikmat Mana Yang Kita Terlepas?

Bismillah.

Diberi segunung emas pun, jika seorang manusia tidak pandai untuk bersyukur, maka segunung emas itu tidaklah dia akan berasa cukup.

Diberi segunung emas pun, jika seorang manusia tidak pandai untuk bersyukur, maka segunung emas itu tidaklah dia akan berasa cukup.

Mampukah kita menghitung nikmat-nikmat Allah SWT sedari kita kecil sehingga saat ini? Tentulah tidak! Paling senang untuk menghitung nikmat kita menghirup udara, jalan, bercakap, melihat. makan dan minum itu pun kita selalu terlupa. Yang kita selalu ingat adalah kesusahan yang kita hadapi dalam hidup. Menarik untuk kita fikirkan.

“Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nahl: Ayat 18)

Nikmat yang ada di dunia dan yang kita sempat rasai sepanjang di dunia ini bukanlah berbentuk kewangan dan kekayaan sahaja. Malah nikmat Allah SWT itu banyak sebenarnya. Jika kita hitung nikmat-nikmat selama kita hidup ini, agak-agak adakah syukur kita kepada Allah SWT itu sebanyak nikmat itu? Atau lebih, atau juga mungkin kurang kerana kita kurang bersyukur?

Hidup bebas dari hutang kepada manusia itu, salah satu nikmat daripada Allah SWT. Berpeluang untuk belajar ke peringkat tinggi itu juga adalah nikmat yang jarang kita anak muda untuk syukuri. Malah adakalanya kita anggap segala tugasan ketika belajar itu sangat menyusahkan. Berniaga dan mendapat keuntungan yang bersih itu nikmat. Hidup bersama keluarga dengan aman, makan pakai yang cukup serta kesihatan yang baik juga itu nikmat. Malah menjadi seorang Muslim itu adalah antara nikmat terbesar yang kita boleh rasai. Betul kan? Tapi jarang kita sedar.

Tetapi cuba jika kita bercakap mengenai kesusahan dan ujian yang kita hadapi. Pasti sangat senang untuk kita menghitung dan mengingat-ingat kembali. Malah ujian yang sudah 20 hingga 30 tahun terdahulu, masih segar dalam ingatan kita. Bukan itu sahaja, kita pula masih ingat bagaimana rasanya berhadapan dengan situasi-situasi yang sangat genting untuk terus hidup. Disuruh kita bercerita mengenai apa sahaja kesakitan yang kita pernah tempuhi, kita terus menghitung-hitung. Berbeza dengan nikmat kebaikan yang kita dapat. Kita jarang menghitung nikmat. Sehingga kita tidak dapat ingat.

Semuanya Rahmat Dari Allah

Saya selalu terkesima dengan orang-orang yang kuat. Kuat macam mana tu? Yang saya maksudkan kuat tu, ialah orang-orang yang tidak mengeluh dengan takdir Allah SWT. Pada mereka, apa-apa sahaja yang Allah SWT izinkan terjadi itu adalah kerana Allah SWT akan berikan nikmat yang lebih baik. Tidak kiralah apa pun terlebih dahulu yang mereka hadapi dalam hidup. Mereka ini orang yang selalu positif.

Untuk hal-hal seperti itu, saya selalu cemburu. Dan saya selalu cemburu pada orang-orang yang sentiasa tenang berhadapan dengan situasi apa pun. Tenang dalam perlakuannya, tenang dalam bicaranya. Bahkan tenang dalam akhlaknya kepada manusia. Ya Allah, hamba-Mu yang jenis tenang ini selalu mencairkan hati ini. Selalu membuat hati ini cemburu. Nikmat apa yang Kau telah berikan kepada hamba-Mu seperti si fulan dan fulanah sehingga diri ini mahu turut merasainya.

Oh ya, kenapa cemburu? Sebab saya adalah orang yang tidak boleh dikategorikan dalam kategori orang-orang yang tenang, mungkin. Sengih.

Apa-apa sahaja yang bakal mendatang dalam hidup ini, maka syukuri sahaja. Anggap sahaja nikmat daripada Allah SWT. Kerana tiap-tiap sesuatu yang kita anggap dugaan pun, pada penghujungnya mengandungi sesuatu yang menyenangkan hati. Tika segala dugaan yang kita tempuhi melemahkan diri dan jiwa kita, sebenarnya dugaan dan ujian itulah yang menguatkan kita dan memberikan kita pengalaman serta pengajaran hidup. Akhirnya, siapa yang beruntung? Kita! Ketika merasa bahawa Allah SWT seakan-akan tidak mendengarkan kita, tetapi tiba-tiba kita mendapatkan jalan keluar atas setiap keresahan dan kerisauan kita. Itu semua daripada siapa? Allah, Tuan Punya Dunia!

Kita juga selalu terlupa bahawa, tidak semua nikmat kesenangan yang terlihat oleh mata itu adalah tanda Allah SWT meredhai seseorang. Boleh jadi Allah SWT berikan kesenangan dan kekayaan adalah kerana mahu menguji kita? Setuju? Bahkan sebenarnya, kesenangan itu juga adalah ujian kepada manusia. Siapa contoh di dada sejarah yang Allah SWT telah berikan ujian kesenangan sehinggalah Allah SWT datangkan pula seorang hamba-Nya untuk menghancurkan kesenangan dan keegoannya? Firaun! Ya, firaun. Bukankah firaun itu seorang raja yang anggap diri sebagai Tuhan?

Saya paling takut apabila Allah SWT uji dengan kesenangan, padahal kesenangan itu hanya menjauhkan diri ini daripada Allah SWT. Jika boleh saya mohon, “Ya Allah, cukup-cukuplah umur saya selama ini tertarik dengan dunia. Sekarang bawahlah diri dan jiwa ini menjadi hamba-Mu yang paling hamba sekali agar selalu dekat kepada-Mu.”

Sobs.

Dunia Ini Senda Gurau

Kita sibuk untuk mengingat-ingat kesempitan kita dalam hidup, sehingga lupa untuk sibuk mengingat nikmat yang pernah kita dapat dalam hidup. Yang mana dengan nikmat itu kita boleh gembira dan senang hati. Tapi aneh, sebanyak mana pun nikmat kesenangan yang dihadapi oleh seseorang, maka apabila Allah SWT berikan sedikit ujian, tingkahnya menjadi seperti seolah-olah tidak pernah menerima nikmat daripada Allah SWT. Nah! Adakah kita seperti itu tingkah? Zreeet! Terkoyak.

Plaster luka, mana plaster?

Banyak kali Allah Ta’ala sebut di dalam al-Quran bahawa dunia ini hanyalah tipu daya, senda gurau dan hanyalah ‘padang permainan’ sahaja. Manusia di dunia akan sentiasa diuji sama ada dengan nikmat kekayaan dan kesenangan atau waktu-waktu dalam dia kesusahan. Beruntunglah siapa yang tidak terleka dengan main-main dan senda gurau di dunia. Wahai! Golongan manakah jiwa ini, wahai Tuhan?

*pergi ke sudut bilik dan menangis*

Masih tidak percaya?
Allah SWT berfirman, diantaranya :

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Surah Al-An’Am: Ayat 32)

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” (Surah Al-Ankabut: Ayat 64)

“Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta harta-hartamu.” (Surah Muhammad: Ayat 36)

Saya pernah mendengar dengan mata dan melihat sendiri seseorang pernah berkata, “Ikut Allah la mahu masukkan aku di mana. Neraka atau syurga. Bukan aku yang tentukan. Dia Tuhan, dia punya tahulah tu.” Sedih saya. Saya juga tidak dapat katakan bahawa saya ahli syurga, bahkan mungkin jauh sekali. Kerana amal saya juga sedikit dan lompong di sana dan sini. Tetapi, adakah kita sudah kehabisan waktu untuk berusaha sehingga kita dengan sombongnya berkata bahawa sama ada Allah SWT mahu masukkan kita ke syurga dan neraka, kita sudah redha tanpa usaha?

Sedih terhadap diri sendiri sebab masih tak dapat untuk ikram dan dakwah orang tersebut dan beritahukan bahawa manusia itu perlu usaha. Mahu ke syurga, perlukan usaha. Ya, kita tidak boleh berkata dengan pastinya bahawa tempat kita adalah di syurga. Bahkan kita tidak boleh mengaku bahawa kita adalah ahli syurga. Tetapi, orang yang mahukan kebaikan di negeri akhirat sana nanti, adalah yang berusaha di dunia. Malah orang yang menempah neraka juga berusaha. Berusaha untuk langgar semua perintah Allah walaupun dia tahu itu adalah apa yang Allah larang dan benci serta perbuatan itu berdosa. Mahu percaya atau tidak, tanya pada jiwamu yang paling dalam.

Atas tangan manusia itu ada, pilihan. Mahu pilih untuk terus leka atau untuk jadi peka? Apakah kita hanya mahukan nikmat semasa di dunia sahaja sedangkan nikmat yang hakiki dan abadi adalah apabila kita sudah berada di dalam syurga Allah SWT.

Lahirkan Rasa Syukur Kita

Adalah fitrah manusia bila sesekali dia terasa bagai terhimpit di dunia ini apabila berhadapan dengan ujian yang Allah SWT beri. Adalah fitrah bagi seorang manusia bila terasa lemah fizikal dan jiwa saat merasakan ujian yang dihadapinya dalam hidup seakan tidak tertanggung. Saya sendiri tidak menafikan hal tersebut. Fitrah yang dirasai itu suatu nikmat, malahan! Bersyukur kita masih mempunyai perasaan yang sedemikian agar kita tahu untuk terus bersyukur kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman, “Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)”. (Surah ad-Dhuha: Ayat 11)

Saya percaya bahawa apabila kita selalu menyebut-nyebut mengenai kesusahan di dunia, maka kita tidak akan pernah jemu untuk menyebutnya walau beratus-ratus kali. Dan jika itu kita jadikan amalan tanpa menyebut nikmat-nikmat kebaikan yang kita dapat, kita akan lupa pada rasa kesenangan yang kita miliki selama ini. Dan saya percaya, apabila kita selalu menyebut nikmat kebaikan, nikmat kesihatan yang baik, nikmat boleh mendengar dan bercakap serta banyak nikmat dalam hidup ini, kita akan menjadi lebih bersyukur dan tidak hairan kepada kesusahan.

Tidak hairan kepada kesusahan tidaklah bermaksud langsung tidak ambil kisah terhadap ujian kesusahan. Kerana saya masih berpijak di bumi yang nyata. Tetapi perasaan bersyukur kita terhadap kebaikan Allah SWT, melebihi perasaan sedih kita ketika diberikan ujian oleh Allah SWT.

Dapat tak? Semoga kalian faham apa yang saya sampaikan.

“Syukur (yang sebenarnya) adalah dengan hati, lisan dan anggota badan.”
(Minhajul Qosidin, hal. 305)

Justeru, bagaimana sebenarnya hendak melahirkan rasa syukur kita? Ya, walaupun kita akui bahawa kita ini selalu culas dalam hal-hal untuk bersyukur kepada Allah SWT. Pun begitu kita perlu belajar dan mencari jalan untuk bersyukur kepada-Nya.

Tetapi, bagaimana caranya?

“Dan apa saja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allah-lah (datangnya)”.
(Surah an-Nahl: Ayat 53)

Pertama-tama sekali kita perlu sedar bahawa setiap apa yang ada di dunia ini adalah milik Allah SWT. Dan kita hanyalah peminjam atas tiap-tiap sesuatu yang kita ada. Dan bila kita sudah berjaya menjadi orang yang jiwanya sentiasa bersyukur, perasaan syukur itu pula dilahirkan dengan cara membantu orang-orang sekelilingnya. Syukur itu boleh dalam bentuk mengucapkan hal-hal yang baik, membantu manusia dengan tenaga dan wang ringgit, berdakwah dan membawa diri sendiri dan orang-orang sekeliling untuk kenal dan ghairah kepada jalan-jalan yang diredhai Allah SWT.

Nikmat Yang Selalu Kita Lupa

Percayakah kita bahawa banyak sangat nikmat yang kita lupa? Seperti yang saya katakan pada awal artikel tadi, dapatkah kita hitung nikmat-nikmat Allah SWT? Jawapannya, tidak! Dan selalukah kita menyebut-nyebut mengenai nikmat itu atau kita selalu menyebut mengenai kesusahan dan kesedihan sahaja? Sehingga banyak nikmat yang kita lupa. Psst! Sebenarnya ada dua nikmat ini yang selalu manusia lupakan.

Termasuklah saya sendiri. Wahai!

Dari Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda:

“Dua kenikmatan, yang mana kebanyakan manusia tertipu pada keduanya, iaitu kesihatan dan waktu lapang”. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5933)

Siapa yang bila waktu lapang sering mengeluh, “Bosannya! Bosannya! Bosannya!” Hah! Siapa? Sila sorokkan muka dan tekup dengan bantal! Gelak.

Kita semua pernah kata seperti itu, bukan? Kalau tidak kita luahkan, dalam hati kita pun berkata sedemikian. Walhal sebenarnya kerja-kerja di dunia ini sangat banyak, tanggungjawab kita sangat banyak. Tapi kenapa kita boleh berkata bahawa kita bosan kerana tiada apa kerja yang boleh dibuat? Hal itu kerana, kita tertipu dengan waktu yang lapang. Kita merasa lapang kerana kita tidak bekerja. Teringat kata Imam Hasan al-Banna, tanggungjawab kita melebih waktu yang ada. Tabaarakallah!

Begitu juga apabila kita sihat. Ketika sihat, kita tidak pernah berfikir banyak kalaulah kita melakukan sekian dan sekian. Tetapi ketika Allah SWT memberikan kita ujian sakit, barulah kita akan menghargai nikmat untuk melakukan banyak perkara semasa kita sihat. Maka bermulalah kita berkalau-kalau, sedangkan kalau itu tidak merubah apa-apa.

Solusinya? Jika kalian yang sedang membaca dan saya masih sihat, masih boleh berjalan, bercakap, makan dan minum, mendengar dan melihat, maka bersyukurlah atas nikmat ini semua. Buatlah sesautu dalam hidup. Jadilah pemuda dan pemudi yang sibuk walaupun tidak diketahui oleh orang ramai. Kerana Allah SWT sebaik-baik pemerhati dan penilai terhadap apa yang kita lakukan.

Semoga kita orang yang selalu bersyukur dan menyebut-nyebut nikmat dari Allah sebagai tanda menghargai. Dan kita kongsikannya kepada orang lain pula. Ya, semoga.

Senyum.

Banyakkan bicara tentang nikmat Allah, supaya kau tidak leka dengan menghitung-hitung kesusahan dan kesedihanmu semasa di dunia.

2 Comments

  1. Rosani Tanjil says:

    ASSALAMMUALAIKUM wrbt,.. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak yang empunya blog (tulisan/tazkirah/motivasi). Sangat banyak manfaatnya. Teruskan usaha suci anda dan semoga Allah memberi yang setimpal/balasan atas sumbangan anda. Terima kasih.

    [Balas Komen]

  2. ar says:

    Assalamualaikum , Terima kasih atas motivasinya . Alhamdulillah ianya sedikit menyentuh hati saya .

    [Balas Komen]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *