Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Muhasabah : Hatimu Mencari Apa Sebenarnya?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture : aimanazlan.tumblr.com

Credit Picture : aimanazlan.tumblr.com

Kawan, dalam dunia ini.. Kita akan selalu mengejar apa yang kini ingini. Kita akan selalu berusaha untuk mendapatkan apa yang mahu kita miliki. Kita akan terus menerus memaksa diri untuk tidak malas berusaha terhadap sesuatu yang kita inginkan. Kita juga dalam perjalanan untuk menjadi seseorang yang berjaya dalam hidup.

Ya, di dunia.. Kita semua sedang berlumba-lumba.

Namun, akan ada satu hari dalam hidup-hidup yang kita jalani.. Di mana kita sedang sibuk menongkah dunia. Mengejar keinginan dan nafsu. Mengejar kejayaan demi kejayaan untuk mendapatkan pengiktirafan manusia. Dan akan tiba satu saat dalam hidup kita, apabila kita sudah sering mendapatkan apa yang kita ingini, apabila kita sudah terlalu selesa dalam kehidupan ini, dan tika mana kita sudah dikaburi dengan keinginan-keinginan dunia yang tidak berkesudahan. Yang jelas, kita akan mula tertanya-tanya kepada diri sendiri.

Allah Ta’ala menjadikan dunia untuk kita semua berusaha. Bumi ini adalah ladang. Perumpamaannya, kita semua adalah petani di bumi ini. Kita masing-masing dengan usaha untuk menanam tanaman yang pelbagai. Yang mana, hasilnya akan kita dapat di akhirat nanti. Ya, kita maklum mengenai perumpamaan ini. Tetapi hati kita adakalanya masih belum cukup yakin dengan keberadaan kita di dunia, kan.

Dan sebetulnya.. Apa yang hati kita mahukan sebenarnya?

Kita Berada Di Persimpangan

Ya, dunia.. Beginilah. Di dunia, kita akan menyedari bahawa terlalu banyak jalan-jalan untuk kebaikan. Dan terlalu banyak jalan-jalan untuk kemungkaran. Dan adakalanya, kita tidak menyedari jalan mana yang telah kita lalui. Kerana kita terlalu asyik dengan satu sisi dunia; iaitu keindahan yang ada padanya. Yang banyak waktu membuat kita terpana.

Jujur, kadang-kadang dunia ini tidak mampu untuk saya hadam lumat-lumat. Bahkan, ada banyak hal di dalamnya yang saya tidak fahami. Seperti kebinatangan manusia, seperti wujudnya sosok manusia yang memandang manusia sebagai tidak berharga. Sebahagian perkara-perkara ini, membuatkan hati semakin dalam kekeliruan.

Dan kita, terus cuba untuk menjadi ‘seseorang’.

Dalam kalangan kita, ramai yang mengikat diri dengan tanggungjawab. Berjanji kepada diri sendiri bahawa akan menjadi seseorang yang memakmurkan bumi Allah SWT. Seperti mana yang Allah kehendaki. Dan itu sungguh satu kemuliaan. Namun dalam pada menuju niat demikian, terlalu banyak persimpangan-persimpangan yang membuat kita leka.

Dalam pada waktu yang sama, kita masih menyedari tujuan kita.

Kawan, memang. Banyak waktu kita akan berada di persimpangan. Kerana itu, saya berani menyebut. Seseorang yang pada zahirnya berada pada track kebaikan, tidak mustahil berada dalam keburukan. Begitu juga seseorang yang kita lihat pada zahirnya berada dalam track kejahatan, tetapi kebaikan yang dilakukannya mungkin lebih mendapat perhatian daripada Allah SWT. Mungkinlah, mungkin. Wallahu’alam.

Anda masih bersama saya? Kalau ya, bagus. Kalau sudah berkerut dan susah menangkap apa yang hendak saya sampaikan, alhamdulillah. Bagus juga.

Senyum.

Sengaja saya tinggalkan entri ini dengan sedikit tergantung. Biar kita memikirkan sendiri kondisi jiwa kita. Kondisi jiwa kamu, kamu, kamu dan kamu. Dan terutamanya saya ini, yang menulisnya sendiri. Hidup ini, terlalu mudah apabila kita selalu bermain dengan teori.

Sebagai seorang manusia,
aku mencintai kalian kerana Allah.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *