Motivasi : Kita Perlu Mendahului Usia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Bukankah nikmat-nikmat yang ada akan mengaburi mata dan usia kita?
Bukankah nikmat-nikmat yang ada akan mengaburi mata dan usia kita?

Saya duduk di halaman rumah. Membelakangi pokok mempelam yang abah tanam beberapa tahun lepas, buahnya sangat banyak. Saya duduk sendirian sambil merenung. Siapakah saya pada tahun-tahun yang mendatang. Sungguh, rasa seperti cepatnya masa berlalu. Walaupun sepanjang kita melalui tempoh-tempoh yang telah kita tinggalkan itu penuh onak dan duri. Maka saya mengira-ngira umur saya yang sekarang. Baru 20an-kah? No. Tapi sudah 20an. Dimana itu menandakan usia bukan terlalu muda untuk tidak memikirkan masa depan. Dan bukan terlalu muda untuk bermain-main soal kehidupan. Apatah lagi kehidupan yang sekarang ini adalah kehidupan demi untuk akhirat.

Datang Mama melintasi pagar rumah. Mama duduk di sebelah saya. Lalu saya bertanya, lebih kepada hanya sekadar meluah rasa. “Mama, orang takutlah fikir masa depan.. Takut sebab nda tahulah macam mana nanti. Baikkah atau buruk?” Mungkin mama mendengar berat suara saya yang meluah tadi, lalu beliau berkata, “Manusia boleh berusaha saja.. Siapa yang rajin, dialah dapat kesenangan nanti.” Street to the point kata-kata Mama. Bila difikir, betul juga.

Berada dalam naungan kedua ibu bapa, sungguh membuai perasaan. Sangat bahagia sebenarnya berkumpul dengan kedua orang tua di bawah satu bumbung. Tambahan pula dengan adik-beradik yang pelbagai ragam walau adakalanya seperti musuh-musuh yang berperang. Tapi itulah sebenarnya yang membina kemanisan antara kita dan mereka. Bahagia. Ada masalah berat pun terasa ringan saja apabila mereka ada disisi kita walaupun tanpa memberitahu mereka. Itu hikmah yang Allah SWT letakkan dalam keluarga mungkin.

Namun benarlah saranan ilmuwan-ilmuwan Islam terdahulu, mengembaralah keluar dari rumah agar kita dapat melihat realiti sebenar dunia. Bukan hanya dapat melihat tempat baru. Tapi kita juga turut merasa bagaimana peritnya hidup, dan bagaimana manisnya hidup.

Semua rasa itu akan membuatkan kita bersoal kepada diri sendiri; terlalu mudakah aku lagi sekarang ini? Bukankah sepatutnya aku sudah melakukan ‘sesuatu’?

Pernah seorang kawan rapat berkata kepada saya seperti ini, “Kau ni macam orang tualah, Suhana. Banyak fikir. Tak lama nanti muka kau cepat berkedut macam mak nenek!” Hahaha. Kata-katanya itu saya sambut dengan gelak sahaja.

Hendak menangis pun ada. Kerana hakikat dunia ini sangat rumit sebenarnya. Kerana itu kita perlu untuk merasa ‘tidak muda lagi’, dan kita perlu merasa bahawa kita sudah tua. Senyum.

Siapakah Kita Beberapa Tahun Akan Datang

Saya ada satu buku catatan yang berwarna coklat. Buku yang dihadiahkan oleh seorang sahabat. Dalam buku itu, saya mencatat apa yang perlu saya buat dan apa yang perlu saya capai. Termasuklah juga, siapa saya pada 5 atau 10 tahun akan datang. Dan di dalam buku tersebut saya letakkan sasaran saya yang mana perlu saya capai dalam jangka masa pendek dan juga mana yang perlu saya usahakan dalam jangka masa yang panjang.

Catatan atau perancangan begitu sangat membantu.

Apa perlunya kita berfikir tentang siapakah kita beberapa tahun akan datang? Adakah yang akan berfikiran seperti ini? “Buang masa jelah fikir macam tu. Nikmati hidup ini sudah. Tak payah susah-susah peningkan kepala nak fikir bagai!” Kalau ada, maaf. Saya sangat tidak sependapat malah saya sangat tidak bersetuju dengan anggapan yang sebegitu. Namun terpulang pada diri manusia itu masing-masing. Kerana seseorang muslim yang berusaha untuk berjaya cepat atau lambat pasti merangka-rangka perjalanan hidupnya walaupun masa hadapan kita itu adalah sesuatu yang rahsia dalam pengetahuan Allah SWT.

Ada orang berkata, “Laaa, semua kan dalam takdir Allah. Buat apalah nak rancang 5 atau 10 tahun akan datang. Dah takdir Allah, kita rancang apapun mesti berlaku ikut kesesuaian dengan takdir Allah.” Saya senyum sahaja. Pemikiran begitu sudah salah sebenarnya. Betullah, kita tidak hidup atau menjalani kehidupan atas takdir orang lain. Tetap sahaja, kita akan hidup dengan takdir yang Allah SWT telah tetapkan untuk kita. Tapi mungkin kita terlupa satu perkara; Allah SWT tidak akan mengubah nasib kita, jika kita tidak berusaha untuk mengubah keadaan diri kita sendiri terlebih dahulu. Maksudnya, jika kita tiada usaha, jangan bermimpilah kita akan berjaya suatu hari kelak. Malah yang terjadi adalah sebaliknya.

Serious!

Allah SWT pernah berfirman, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah ar-Ra’d : 11)

Orang Islam itu, bila berfikir; dia berfikir dengan dalam. Bila bercakap; dia berfikir dahulu sebelum cakap. Bukan hanya main lepas sahaja. Kerana itu adalah didikan Islam, agama kita.

Cita-Cita Perlu Dengan Usaha

Bila ada cita-cita besar, maka usahanya juga perlu besar. Bila usaha yang diperlukan besar, maka pengorbanan juga perlu besar. Begitulah sebuah bayaran bagi sebuah cita-cita. Apatah lagi jika cita-cita itu adalah cita-cita yang bukan kecil. Dan bercita-cita besar tanpa usaha tidak cukup untuk sebuah kejayaan. Malah kejayaan takkan datang menjengah dengan begitu sahaja. Itu sunnatullah. Sebelum merasa senang dengan nyaman, kita perlu bersusah-susah dahulu. Mungkin adakalanya diselangi dengan airmata dan keserabutan otak (Hehe).

Namun janji Allah SWT tidak pernah dimungkiri. Allah SWT akan memberikan kemanisan kejayaan kepada mereka yang berusaha. Dan kepada mereka yang tidak berusaha, mereka akan terlepas sebuah kejayaan dan hanya dapat melihat sahaja kegembiraan orang lain.

Kita jangan lupa, kawan. Allah SWT juga pernah berfirman dalam surah al-Anfal ayat 53 : “Demikianlah Allah tidak akan merubah kenikmatan yang telah Ia berikan kepada suatu kaum hingga mereka merubahnya sendiri.”

Bercita-cita besar atau berangan-angan sambil duduk menopang dagu sahaja tidak cukup. Anak muda yang berfikiran jauh seharusnya menimbang tara setiap perbuatan dan memikirkan apa sumbangan yang boleh diberikan untuk ummah. Jika tidak besar sumbangan itu, maka sumbangan kecil itu sungguh bermakna jika dilakukan dengan sehabis daya dan seikhlas mungkin. Kerana Allah SWT tidak akan lebih memandang kapasiti sumbangan kita. Tapi pasti Allah SWT akan lebih mengiktiraf niat kita melakukannya.

Hidup ini bukan main-main, kan?

Mengejar Cita-Cita Yang Paling Utama

Ajaran-ajaran Islam yang begitu lembut dan mendidik jiwa-jiwa kita untuk mencintai kebaikan-kebaikan pasti secara semulajadi akan menimbulkan cita-cita terbesar dalam jiwa. Oleh kerana kita beriman bahawa mati itu benar, syurga dan neraka itu adalah benar. Maka pasti menjadi cita-cita terbesar kita untuk bercita-cita mengenai satu ini. Ya, cita-cita untuk memasuki syurga Allah SWT. Cita-cita untuk melihat wajah Allah SWT. Cita-cita untuk berjumpa dengan Rasulullah SAW, dengan senyuman diwajah Baginda kerana Baginda gembira berjumpa dengan kita. MashaAllah, bukan semua itu nikmat yang indah?

Tabaarakallah!

Serasanya, tiada kegembiraan yang sangat membahagiakan dari melihat semua itu tadi menjadi satu reality dan betul-betul berada dihadapan mata. Kerana itu, usaha kita di dunia sebenarnya bukan hanya untuk dunia sahaja. Tapi niat kita harus dibetulkan. Kita berusaha di dunia kerana mahukan akhirat dan dunia sekali. Biar seimbang.

Kita dapat dunia, tanpa tercicirkan akhirat. Kita dapat akhirat, tanpa menyisihkan dunia. InshaAllah, di dunia ini kita mampu untuk berusaha sahaja. Selebihnya untuk natijah paling akhir sekali, kita serahkan semua kepada Allah SWT.

Kita sama-sama, ya? Senyum.

Dahuluilah Masa Yang Ada

Guru saya pernah berpesan, “Jangan kamu dipancung oleh masa. Masa itu pun makhluk seperti manusia. Dan kita seharusnya yang patut mendahului masa.”

Sejujurnya dulu saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh guru yang saya hormati tersebut. Tapi lama-kelamaan, apabila diri sudah pandai dihimpit dengan kerja-kerja yang banyak serta pernah juga terasa waktu 24 jam itu tidak cukup, maka disitu baru saya mengerti apakah yang dimaksudkan dengan mendahului masa yang ada.

Lihat ya.. Semua orang diberikan tempoh jam yang sama. Iaitu 24 jam. Tapi cara setiap manusia itu memanfaatkan 24 jam itu adalah berbeza-beza. Ada yang dapat melakukan banyak kerja dalam sehari. Ada yang hanya melakukan kerja yang sedikit sahaja. Dimana selebihnya hanya dihabiskan dengan membuang masa tanpa mengisinya dengan perkara yang berfaedah. Ada yang menggunakan masanya untuk movie marathon, ada yang menggunakan masanya untuk tidur seharian. Ada juga yang menghabiskan masa dengan bermain game.

“Demi masa, sesungguhnya manusia berada didalam kerugian.” (Surah al-‘Asr : 1-2)

Benarlah. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Bukan kerana masa itu yang pantas berlalu. Tapi kerana manusia tidak mengisi masa yang Allah SWT pinjamkan dengan perkara-perkara yang berfaedah dan yang diredhai Allah SWT.

Jika memuhasabah kembali, saya juga adalah antara insan yang pernah banyak membuang masa. Padahalnya, sebenarnya terlalu banyak yang boleh dilakukan dalam tempoh sehari 24 jam itu. Tinggal kita sahaja sebenanrya yang tidak memanfaatkannya. Kita lebih rela masa yang berjalan itu meninggalkan kita dengan selamba. Sedangkan kita tahu bahawa masa yang telah berlalu, tidak mungkin dapat kita panggil kembali, bukan?

Aduh. Rugi sungguh, kan?

Makanya sahabat. Jom sama-sama jadi seorang yang mendahului usia kita dan yang mendahului masa-masa yang ada. Masih belum terlambat untuk mengubahnya, inshaAllah.

Semoga Allah SWT, memandang kita dengan pandangan rahmat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *