Merancang Masa Hadapan

Assalamu’alaikum w.b.t

Allah SWT memegang takdir. Tapi kita menjalani takdir atas usaha diri kita. Yang pastinya, sesiapa yang berusaha maka dialah yang akan mendapatkan apa yang diusahakannya. Credit Picture: Ming Shuw
Allah SWT memegang takdir. Tapi kita menjalani takdir atas usaha diri kita. Yang pastinya, sesiapa yang berusaha maka dialah yang akan mendapatkan apa yang diusahakannya.
Credit Picture: Ming Shuw

Kadang-kadang kita teringat juga kenangan kita sewaktu kecil-kecil dahulu. Sakit-sakit yang kita rasa pada usia itu tidak akan pernah sama dengan kesakitan-kesakitan yang kita telah dan bakal rasai dalam kehidupan pada umur sekarang.

Berandai-andai jua kita sendirian, ‘Andainya aku dapat balik semula ke zaman kecil-kecil dulu. Mesti aku minta pada Tuhan aku tak nak jadi orang dewasa! Zaman kanak-kanak lebih indah.’ Tapi itu andaian-andaian kita sajalah. Mana boleh betul-betul kembali ke masa silam. Kita berada di zaman realiti. Bukan di zaman Doraemon dan Nobita yang ada mesin masa untuk kembali ke masa silam atau pergi ke masa hadapan.

Waktu berlalu, kita pun melalui tingkatan-tingkatan umur. Dari kanak-kanak yang kerjanya hanya bermain, penat, makan dan minum, buang air kecil dan besar, tidur dan aktiviti itu berulang semula. Sesekali dalam kalangan kita ada perangai mengada-ada yang terpaksa dilayan dan dipenuhi oleh ibu bapa kita. Sehinggalah kita bersekolah diperingkat sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya institusi pengajian tinggi.

Tanpa sedar dalam pada waktu-waktu itu, kita sebenarnya sudah pandai resah dan gelisah memikirkan masa depan. Dalam fikiran kita, kita ada tanggungjawab yang besar tergalas dibahu. Dan kita kena ada perancangan masa depan demi diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Kita sudah tidak boleh duduk goyang kaki bersahaja.

Malu!

Tahu Erti Tanggungjawab

Meningkat dewasa, kita akan tahu apa ertinya tanggungjawab. Kita akan faham macam mana ertinya perasaan malu dan segan. Malah kita akan memahami perasaan ‘hopeless’ dan ‘useless’ kalau kita tidak menjadi seseorang yang membantu diri sendiri sekurang-kurangnya. Itu belum ditambah pula dengan perasaan kita apabila melihat kawan-kawan atau orang yang kita kenali pandai dan tahu menggalas tanggungjawab serta berusaha untuk berjaya dalam hidupnya. Kita kata pada diri sendiri, bahawa kita pun ada tanggungjawab juga. Kita pun kena buat sesuatu juga.

Dari perasaan-perasaan itulah timbulnya keinginan dan rasa bahawa diri kita mesti melakukan sesuatu dalam hidup. Kita mesti menjadi orang yang berguna. Kita mesti buat yang sungguh-sungguh setiap pekerjaan dalam hidup kita. Kerana apa? Kerana kita mahu masa depan yang cerah. Pada bahu kita, ada tanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga. Sekurang-kurangnya, kita menjadi orang yang rajin dan berusaha dalam hidup. Bukannya menjadi orang yang sebaliknya.

Bersesuaian dengan firman Allah SWT,

“Dan Allah menjadikan bumi untukmu sebagai hamparan, supaya kamu menjalani jalan-jalan yang luas di bumi ini.” (Surah Nuh: Ayat 19-20)

Seiring waktu, kita menjadi tahu bahawa manusia itu tanggungjawabnya bukan terhadap diri sendiri sahaja. Tetapi juga terhadap alam ini. Manusia itu dijadikan sebagai seorang manusia untuk mentadbir alam ini. Tidak kiralah dalam skop yang besar atau kecil. Manusia itu fitrahnya dijadikan sebagai seseorang yang perlu membuat sesuatu dengan lebih baik. Maksudnya apa? Tak faham. Berbelit-belitlah.

Baik, begini. Maksudnya, selain menjadi ‘ketua’ dan menjalankan peranan terhadap diri sendiri. Kita juga ada peranan untuk menjalankan tanggungjawab kita di dunia. Tanggungjawab menyebarkan dan berbuat kebaikan itu, adalah tanggungjawab manusia.

Menempatkan Diri Pada Satu Tempat

Saya percaya bahawa pada diri manusia itu ada satu fitrah lagi. Untuk mencapai sesuatu dalam hidup. Normal sangat apabila kita semua menginginkan kehidupan yang lebih baik. Kerja yang baik. Gaji atau pendapatan yang cukup dan kehidupan yang selesa serta bahagia. Normal, kan? Sebab mana ada orang yang mahukan hidupnya porak peranda dan hina dimata manusia. Keinginan dan perasaan ini adalah normal.

Keinginan-keinginan ini adalah langkah awal untuk merancang masa depan. Ada orang sedar tentang perlunya dia menginginkan masa hadapan yang cerah ketika dia berada di sekolah, di zaman institusi pengajian tinggi, atau pada ketika zaman bekerja sekalipun. Tidak kisahlah pada waktu bila seseorang itu sedar tanggungjawabnya mengenai masa depan dan ummah, apa yang penting adalah langkah seseorang ke arah itu. Insya-Allah!

Saya sangat percaya semua orang menginginkan kebaikan. Hatta orang yang jahat pun, disebalik niat jahatnya atau perbuatannya, pasti kerana untuk kebaikan dirinya dengan cara yang jahat. Caranya salah, dan perbuatannya salah. Saya tak hendak bahas tentang tu. Nak kata bahawa, semua orang ada peluang untuk membina masa depannya sendiri sebenarnya. Dan bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tapi sekurang-kurangnya untuk orang-orang terdekat dan orang-orang sekeliling.

Menyusun Perjalanan Hidup

Apa pula hendak susun-susun kehidupan ni? Ingat hidup ini macam lego nak susun sana sinikah? Bukan, kawan. Apa yang saya maksudkan dengan menyusun perjalanan hidup adalah pentingnya apabila dalam hidup kita itu ada perancangan. Perancangan untuk 5 tahun akan datang, mungkin 10 tahun akan datang atau puluhan tahun akan datang. Terpulang, tapi kita perlu ada perancangan untuk susun kehidupan kita pada masa sekarang dan masa-masa yang akan datang.

Apa pentingnya rancang dan susun kehidupan sekarang? Pada saya jawapannya senang. Sebab kita hendak hidup bahagia. Jawapan yang klise? Memanglah. Tapi walau klise mana pun, saya yakin tentang itu. Sekurangnya-kurangnya kita ada usaha untuk meletakkan diri kita di mana pada masa akan datang. Bagaimana pula jika perancangan yang kita rancang dan susun awal-awal itu tidak terjadi seperti apa yang dirancang, malah yang terjadi lain dari yang dirancang malah menjadi yang sebaliknya?

Hendak saya beri jawapan biasa lagi? Baik. Jawapannya, bila kita sudah berdoa, berusaha untuk sesuatu dan kita bertawakkal yang mana makna katanya adalah kita berserah sepenuh jiwa kita kepada Allah SWT. Tetapi! Ya, ada tetapinya! Jika terjadi yang sebaliknya dalam hidup kita, maka sifat tawakkal yang tadi kita pegang dalam hidup dan jiwa kita, akan membuatkan kita tidak berhenti berusaha dan tidak mengeluh dengan apa yang Allah SWT rancangkan.

Ada banyak hal dalam dunia ini yang kita inginkan dan idamkan, tetapi sebenarnya tidaklah baik untuk kita dan kehidupan kita. Sebaliknya, tanpa sedar Allah SWT sedang menggantikan sesuatu dengan yang baik untuk diri kita, kehidupan kita di dunia dan di akhirat. Pernah dengar orang berkata bahawa kita merancangan dan Allah SWT juga mempunyai perancangan tersendiri yang jauh lebih baik dari perancangan manusia itu sendiri? Nah, persoalan apa lagi yang perlu kita lontarkan untuk mengaburi keimanan dan keyakinan kita kepada Allah SWT? Allah SWT tidak akan membiarkan seseorang hamba-Nya itu selagi mana hamba-Nya itu meletakkan Allah SWT sebagai matlamat yang tertinggi dalam hidupnya. Allah SWT tidak akan mensia-siakan.

Allahuakbar.

Berjalan Sebagai Hamba Allah

Kawan, merantaulah kita pergi mana pun, kekayaan banyak mana yang telah kita capai pun (tapi saya masih tak kaya-kaya. Allah belum izin ni ;p), banyak mana baju seluar berfesyen yang dapat kita beli pun, satu sahaja pesanan.. Jangan lupa Allah SWT. Jangan lupa diri bahawa kita semua ini sebenarnya hanyalah hamba Allah SWT.

Bahagiakah kehidupan kita dengan melupakan Allah SWT? Tidak. Bahkan kita akan menderita. Apatah lagi apabila kita kononnya menjauhkan diri daripada Allah SWT hanya kerana manusia. Justeru sebenarnya, kita bertuhankan Allah SWT atau kita bertuhankan manusia? Kita ini tiada apa pun di dunia ini. At the end of the day, yang kita akan bawa menghadap Allah SWT pada hari akhirat nanti adalah amalan solat kita, amalan ibadah dan amalan kebaikan semasa di dunia. Dah kalau semasa di dunia asyik fikir keseronokan dan kekayaan diri sendiri, bila masa hendak fikir pasal orang lain yang mana sebenarnya saudara-saudaramu di dunia ini? Saudara sedarah dan seagama?

Kawan,
tempat kita bukan di dunia sayang.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *