Menjadi Seorang Yang Hangat Dan Menyenangkan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture : Mr. Google
Credit Picture : Mr. Google

Alkisahnya, bila saya menulis sebegini, bukanlah kerana saya yang lebih tahu atau lebih bagus daripada sesiapa pun. Tapi saya menulis begini, kerana saya menasihatkan diri saya sendiri terlebih dahulu. Kata orang, menampar diri sendiri terlebih dahulu.

Saya mempunyai ramai kawan, alhamdulillah. Dan mereka juga mempunya ramai kawan. Dan kawan-kawan saya, ada saya sebagai kawan. Berkawan itu, adalah suatu keperluan dalam hidup. Tiada seorang yang boleh hidup bahagia tanpa ada orang lain dalam hidupnya.

Dan bila kita ramai kawan, atau ada kawan sekurang-kurangnya.. Maka berkemungkinan besar kita akan bertemu dengan orang-orang yang kita kenal. Mungkin juga pada suatu hari kita berjalan-jalan di pusat membeli-belah dengan seorang kawan kita, dan secara tidak dirancang, kita terserempak dengan kawan kita yang lain. Dan kita mungkin akan teruja bersalaman sambil terjerit-jerit, “Inaaaa! Ya Allah, lamanya tak jumpa!!!”

Kawan kita yang berada di sebelah, terpinga-pinga. Mungkin juga tersenyum-senyum tumpang gembira melihat kegembiraan kita bertemu dan terjerit-jerit (orang perempuan memang macam ni ;P). Dan tanpa kita sedari, kita sehingga terlupa mahu perkenalkan kedua-duanya antara satu sama lain. Eh, kenapa? Adakah timbul masalah besar disitu?

Senyum.

Bagi seseorang yang berusaha menjadi baik dan mahu mengikuti sunnah Rasulullah SAW, tentunya hal-hal sedemikian, adalah hal-hal yang sangat dititikberatkannya.

Menjadi Seseorang Yang Menghangatkan Jiwa

Hasanah berjalan-jalan dengan sahabat barunya yang dikenali 2 bulan lepas di dalam sebuah kuliah masjid Ustaz Manan. Mereka menjadi kawan yang rapat apabila selalu sahaja bertemu di dalam kuliah tersebut dan akhirnya kerana sama-sama mencari ilmu, maka menjadi tidak asing lagi.

Suatu hari, Hasanah dan kawannya itu berjalan-jalan dengan kawan barunya. Sementara kawan-kawan gerabak dakwah Hasanah tidak mengenali kawan barunya tersebut. Tiba-tiba, Hasanah terserempak dengan Fatonah. Baik, sekarang mari kita tumpukan pada Fatonah.

Fatonah gembira bertemu dengan Hasanah dan menyalaminya dengan salam cipika cipiki yang merupakan lambang harmoni dan persahabatan. Fatonah begitu gembira bertemu dengan Hasanah. Namun apabila Hasanah memperkenalkan kawan barunya, Fatonah menghulurkan huluran salam yang dingin.

Rasa-rasanya itu, apa perasaan kawan baru kepada Hasanah tadi?

Apa sebenarnya yang hendak saya sampaikan?
Baik, begini.

Seseorang da’i yang mahu menyebarkan kebahagiaan di atas muka bumi ini. Atau seseorang yang ada memasang hasrat dihati untuk memberi nasihat dan mengajak orang lain dengan sebaik-baik cara kepada Allah SWT, maka dia akan memandang semua orang sebagai mad’u. Dan apabila pandangannya itu adalah sebagai mad’u, maka dia sebenarnya perlu untuk menyantuni. Yes. You read that right, my friends!

Seorang da’i tidak seharusnya membeza-bezakan seorang yang lain dalam hal-hal ketika mana bertemu di jalanan. Dia akan menyalami dan berjabat tangan dengan sesiapa yang ditemuinya dengan sungguh-sungguh. Malah genggaman tangannya itu seolah-olah tidak mahu dilepaskan kerana begitu kasih sesama manusia, sehingga mungkin kadang-kadang manusia lain dapat merasakan kehangatan jiwa yang ada pada dirinya.

Seorang da’i tidak memandang enteng dalam hal bersalam-salaman sekalipun!

Apakah perlu ada acara-acara tertentu sahaja baru kita akan menyalami semua orang yang asing dengan sungguh-sungguh dan cuba menghadirkan ikhlas? Kenapa tidak kita bersikap sedemikian sepanjang masa dalam kehidupan kita?

Menjadi Seseorang Yang Menyenangkan

Saya pernah terbaca kisah di zaman Rasulullah SAW. Di mana berkisarkan mengenai Abu Dzar. Ditanyakan kepada Abu Dzar, “Apakah waktu itu Rasulullah menjabat tangan kalian apabila bertemu?” Dia menjawab,

“Saya tidak pernah menjumpai baginda melainkan baginda menjabat tangan saya. Pernah suatu hari, baginda mengutus seseorang kepada saya. Tetapi waktu itu saya tidak berada di rumah. Ketika saya pulang ke rumah, isteri saya telah mengkhabarkan kepada saya. Maka saya mendatangi Rasulullah SAW yang mana ketika itu baginda sedang berbaring di tempat tidur. Melihat kedatang saya, baginda bangkit dan memeluk saya.”

(HR. Ahmad & Abu Dawud)

See? Nampak tidak kaitannya yang mana Rasulullah SAW memuliakan setiap orang ditemuinya? Some might says, “Alaa, tu kan sahabat Nabi. Memanglah..” Wait, mari datangkan bukti kepada saya, bahagian mana Nabi tidak menyantuni seseorang tanpa sebab?

Saya selalu percaya bahawa, tangan yang berjabat itu bukanlah hanya pergerakan fizikal yang tiada makna. Tetapi tangan yang berjabat itu boleh mengalirkan satu tenaga mahupun rasa dalam diri seseorang ke dalam diri seseorang yang lain.

Dengan berjabat tangan, kita boleh merasa kecintaan.
Dengan berjabat tangan, kita boleh merasa kebencian.

Dan apabila kita sesama muslim berjabat tangan, tidaklah berjabat tangan itu sia-sia melainkan Allah Ta’ala bagi pahala bagi keduanya. Percaya?

Diriwayatkan sebuah hadis daripada al-Barra’ r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang muslim yang bertemu lalu bersalam/berjabat tangan, kecuali bagi mereka ampunan sebelum mereka berpisah.”

Berusaha Menjadi Kedua-Duanya

Zaman dulu-dulu, saya adalah antara orang yang akan ternganga berdiri di tepi kawan saya yang apabila kawan saya tadi bertemu dengan kawannya, maka mereka rancak berbual seolah-olah saya tidak wujud di sebelah. Maka menunggulah saya dengan setia. Kalau rajin, maka saya mendengar butir bicara mereka. Kalau tak rajin, saya akan memerhati orang yang lalu-lalang di sekeliling saya.

Pada awal-awalnya, perkara itu biasa sahaja pada saya. Tapi saya tiba-tiba terfikir. Kenapa tidak kita meluaskan jaringan ukhuwah? Dan acapkali saya akan bertanya kepada kawan-kawan saya kini kalau berlaku hal yang sedemikian, “Kenapa tak kenalkan ktorang?”

Semuanya memerlukan latihan dan usaha serta kebersihan hati, kan?

Tidak mustahil. Untuk perkara-perkara kebaikan, jangan malu untuk memulakan. Jangan fikir sangat apa yang orang akan cakap tentang diri kita. Atau jangan takut apabila kita mahu mempamerkan kebaikan dengan tujuan mengajak orang lain, kita kehilangan kawan. Kerana kawan atau sahabat yang sebenar, akan tetap berdiri untukmu..

Sekalipun pendirian atau persefahaman kalian berbeza.

Ramai sebenarnya orang yang baik-baik di dunia ini. Namun tidak ramai yang mahu menzahirkannya. Akhirnya, yang terzahir hanyalah yang tidak baik sahaja! Kalau kebaikan itu boleh dizahirkan, maka mengapa membiarkan yang tidak baik dizahirkan?

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *