Menjadi Hipokrit Demi Akhirat

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Demi sebuah cinta di 'sana', tidak mengapa untuk menjadi hipokrit.

Hipokrit demi akhirat? Adakah? Ada aja sih.

Bulan Ramadhan bakal meninggalkan manusia. Cuma berbaki beberapa hari sahaja lagi. Tahun depan, belum tentu kita jamin kita bakal bertemu lagi dengan bulan Ramadhan. Persoalan mengenai kematian, yang sememangnya kita tidak ketahui bila masanya, membuah lembaran hikmah kepada manusia agar sentiasa memperbaiki kehidupan untuk dijemput oleh sakaratul maut pada bila-bila masa sahaja.

Semoga ALLAh Ta’ala memberikan rahmat dan berkat-Nya buat mereka yang memulakan momentum perubahan dibulan yang mulia ini. Semoga terus istiqomah memperbaiki diri sendiri dan orang lain. Tidak mudah juga sebenarnya untuk berubah dari tabiat atau perangai yang kurang baik, dan lagi tidak mudah untuk mengekalkan perubahan itu. Kadang, terasa kuat bila ramai. Dan terasa lemah bila sendirian.

Dalam perubahan itu, memang andalah orang hipokrit!

Terasa Hipokrit Pada Diri

Pernah terasa begini?

Selalunya orang yang merasa begini adalah orang yang melakukan perubahan, yang dimana dahulu dia salah seorang antara yang jauh dan tidak dekat pada agama. Lalu dia melakukan perubahan dari sifat-sifatnya yang dia rasakan kurang baik yang telah bermukim sekian lama dalam diri, lalu sedikit demi sedikit, sifat yang kurang baik itu ditukar kepada sifat-sifat yang mahmudah.

Pertama, berhadapan dengan diri sendiri. Kedua, berhadapan dengan masyarakat sekeliling. Dua faktor ini sering membuat seseorang itu merasa lemah yang menyebabkan kehadiran rasa,

“Eh, hipokritnya aku. Dulu aku tidak begini.. Aku rasa macam tak layak langsung!”

Sekali lagi, memang andalah orang yang hipokrit!

Atau pun, bagi sesiapa yang mahu istiqomah memberi kebaikan pada diri, juga kepada orang lain. Yang dirinya sentiasa tercabar dengan kerenah manusia yang pelbagai. Yang bersabar menahan diri daripada meletuskan rasa amarah dalam diri. Yang bersabar menerima pandangan serong, cacian dan makian serta fitnah dari orang lain.

Dan yang sebenarnya, apabila dia mahu membalas perbuatan orang lain itu, dia mampu. Tapi ada satu rasa yang menahan dirinya untuk berbuat begitu.

Ada juga natijahnya yang mengakibatkan seseorang itu apabila malu kerana merasakan dirinya hipokrit, maka dia mulai dibentengi dengan jiwa yang mahu mengikut arus. Yang tidak mahu berbeza dengan orang lain. Kiranya, up-to-date lah agar tidak dipandang hipokrit dan tidak dipinggirkan. Yang mahu sentiasa dirinya dalam keramaian.

Tapi sebenarnya, perbuatannya yang begitu hanya meresahkan jiwanya sahaja!

Bagi saya, hipokrit pada diri sendiri yang dahulunya menyemai sifat-sifat mazmumah dari segi lisan juga perbuatan berubah kepada sifat-sifat yang bertentangan; sifat mahmudah untuk mencari keredhaan ALLAh Ta’ala adalah hipokrit yang demi akhirat.

Saya merepek? Senyum.
Tidaklah. Saya tidak merepek.

Hipokrit Demi Akhirat

Sebelum itu, mungkin sesiapa yang sudi membaca entri ini sudi pula membaca entri di bawah ini,

Kita Sentiasa Berlawan Dengan Diri Sendiri
Bagaikan Melawan Arus Dunia

Hipokrit demi Akhirat = Sebuah Jihad = Redha ALLAh Ta’ala

Tidak mudah kan melakukan perubahan? Lagi tidak mudah mengekalkan perubahan tersebut. Ada sahaja godaan dan bisikan hawa nafsu yang menyeru kepada perkara yang bertentangan. Hati yang fitrahnya suci kata mahu buat begini, hawa nafsu kata sila buat begitu. Dalam keadaan yang macam ni, kadang kala manusia sukar menilik hati yang manakah patut diperbuat dan akhirnya timbullah rasa kehambaran sedikit demi sedikit jika tidak ditapis dengan akal yang bersalut keimanan.

Hipokrit pada diri kerana kebaikan demi akhirat, bukanlah satu kehinaan sebenarnya.

Saya memandang mulia orang yang bermujahadah menahan segala kemarahan dan letusan api permusuhan apabila dia sebenarnya boleh berbuat sedemikian.

Ditanamnya dalam diri, dia menahan segalanya sebenarnya adalah kerana demi mahu mendapatkan keredhaan ALLAh Ta’ala. Dan juga yang sebenarnya, perbuatannya sabar menahan segalanya menghadirkan ketenangan didalam hatinya.

Ada azam mahu mencontohi Rasulullah dengan sifat sabar, dan itu menenangkannya.

Subhanallah. MashaAllah.
Tabaarakallah.

Apa saja perbuatan yang kurang elok; menahan dari berdebat banyak yang hanya membawa kerugian dan kekeliruan, menahan rasa hati dari bersangka yang bukan-bukan, menahan diri dari melakukan kemaksiatan, menahan diri dari kelalaian, adalah suatu kehipokritan dalam diri yang inshaAllah direstui ALLAh Ta’ala.

Kerana hakikatnya, semua itu dilakukan oleh orang-orang yang hipokrit demi akhirat adalah kerana mahu menggapai keredhan ALLAh Ta’ala.

Mungkin ada orang yang sabar dengan perkara yang terjadi, yang apabila orang ramai melihatnya, membangkitkan rasa geram dan kemarahan orang ramai kerana dirinya kelihatan begitu bodoh dengan sesuatu yang dia sendiri boleh membalasnya dengan lebih lagi. Bersabarlah. Anda lebih kenal diri anda bagaimana dan kerana apa anda bersabar. Kalau ikutkan perasaan dan nafsu, mahu saja orang yang menyakiti hati kita itu, kita bagi penumbuk atau penampar barang sedas dua. He he.

Tapi percayalah duhai sahabat, perbuatan begitu hanya mendatangkan resah dihati.

“Dan kerana Tuhanmu, bersabarlah.” – al Muddatsir : 7

Pun begitu, sabar itu biarlah dalam kebijaksanaan. Bacalah keadaan atau situasi. Bersuaralah apabila perlu. Suarakan rasa hatimu apabila mahu. Jangan terlalu dipendam. Kerana Rasulullah SAW juga marah pada manusia dan perkara-perkara yang Baginda tidak boleh diamkan. Terutamanya hal keagamaan.

Kita bercakap dan menulis mengenai ketuhanan dalam lingkaran agama, bukanlah bererti kerana kitalah yang sangat berilmu, kitalah yang hebat dalam mengeluarkan kata-kata gramatis, kitalah yang yang terbaik. Bukan. Bukan itu tujuannya. Hakikatnya, apabila bercakap mengenai agama dan berpesan-pesan dalam kehidupan mengenai akhirat, itu adalah seruan jiwa yang dekat dengan Tuhannya. Jiwa yang menginginkan kebaikan buat dirinya, juga buat saudaranya dan orang sekeliling.

Semoga kita ini tidak menyekutukan ALLAh Ta’ala dalam setiap amalan!

Pssst! Jangan pernah malu bicara dalam agama.
Tapi jangan dilupa, rendah diri itu juga sangat perlu.

Semoga ALLAh merahmati.

5 thoughts on “Menjadi Hipokrit Demi Akhirat

  1. assalammualaikum dik,

    biar ikhlas dik..Ya Allah janganlah bolakbalikkan imanku ini..

    selamat hari raya..maaf zahir batin dr akak utk adik..moga berbahagia dihari mulia ini

      (Quote)

  2. Wa’alaikumussalam wbt.

    Ikhlas dalam menjadi hipokrit demi akhirat, kak?
    ALLAh Ta’ala jua yang Maha Mengetahui akan isi hati seseorang.

    Salam Eidulfitri. Kullu ‘am wa enti bi khair, inshaAllah.
    Taqabbalallah minna waminkum.

      (Quote)

  3. assalamualaikum…

    pada sy hipokrit adalah apabila perbuatan tidak seiring dgn kehendak hati. Apabila ingin marahkan seseorang,kita diam kerana ingin menjaga iman,tetapi hati menyumpah seranah orang..itu hipokrit.

    tetapi apabila diam apabila ingin marahkan seseorang dan hati sabar dan mengharapkan balasan Tuhan,maka itu bukan hipokrit,itu adalah cubaan mencapai iman yang sejati..

    sekadar pandangan dari seseorg yg serba kekurangan. Artikel yg sgt baik dlm mbuka minda.teruskan berkarya!!!

      (Quote)

  4. Wa’alaikumussalam wbt, ukhti.

    Alhamdulillah. Sebab itu saya katakan hipokrit demi akhirat.

    Kalau diam tapi dalam jiwa menyumpah seranah, saya anggap sebagai hipokrit demi dunia. Sebab hakikatnya, diam yang begitu hanya mahu baik pada pandangan manusia sahaja.

    Dan apabila diam kerana mengharapkan balasan Tuhan untuk mendidik jiwa, yang di mana semasa diamnya itu dia sendiri sebenarnya boleh membalas, maka itu hipokrit demi akhirat, sebuah jihad untuk mengharapkan keredhaan ALLAh Ta’ala. Salah satu usaha untuk berharap agar diberikan ALLAh Ta’ala keimanan yang berkekalan hingga ke akhirnya.

    Alhamdulillah. Terima kasih atas pandangan dan kesudian membaca.
    Taqabballallahu minna wa minkum, inshaAllah.

    Jazaakillah khair.

      (Quote)

  5. Alhamdulillah, sudi memperbetulkan tnggapan sy.Baru faham sepenuhnya soal tu..terima kasih kerana sudi memperjelaskan apa yg sy kurang jelas..;))

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *