Menjadi Hamba Allah Yang Romantik

Bismillahirrahmaanirrahiim.

be kind

Menjadi romantik.

Baca tajuk entri kali ini pun sudah macam, “Eh. Apahal pula Suhana ni tiba-tiba cakap pasal romantik? Jiwang-jiwang pula dia bulan puasa ni. Haish!” Hahaha. Okey, itu monolog dalam hati yang dicipta sendiri. Tenang-tenang, baca entri kali ni sampai habis, ya.

Romantik – perkataan ini tidak terikat dengan satu definisi sahaja. Bagi saya sendiri, romantik itu adalah menjadi yang baik, menjadi yang tenang, menjadi yang matang. Dan, bukan itu sahaja. Malah romantik sebenarnya adalah mereka yang merendah diri down to the earth. Pendek kata, romantik itu mempunyai banyak definisi.

Definisi romantik anda, apa?

Menjadi Hamba Allah Yang Romantik – luas konsep dia. Jangan sempitkan pemikiran dengan pemikiran bila romantik sahaja, itu antara suami dengan isteri. Atau pun bila romantik sahaja, itu adalah kerana jiwang karat. Romantik itu baik, jika baik jalannya. Senyum.

Romantik Yang Disayang Allah

Saya pernah bertanya kepada seorang sahabat saya,

“Awak nak jadi hamba Allah yang romantik tak?”

Dia yang mendengar soalan tu, terus pandang saya dan tersipu-sipu. “Apasal tiba-tiba pula ni, Suhana? Dah nak kahwin la tu. Hihi.”

Saya jadi blur seketika, tergelak. “Laaa. Bukanlah.. Saya cakap tentang romantik dalam seluruh kehidupan kita. Bukan dah nak kahwin. Ish ish!”

Orang yang berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kepada adik beradik, kepada saudara-saudaranya.. bagi saya, orang yang begitu adalah romantik orang. Dan orang-orang yang baik terhadap orang sekelilingnya, bercakap dengan nada yang tenang, tidak menyakitkan hati orang lain dengan lisannya mahu pun tulisannya, maka orang itu adalah orang yang romantik. Malah, orang yang sentiasa memperbaiki diri dan ibadahnya, juga orang itu adalah yang romantik. Luas kan konsep romantik itu?

Romantik = Baik.

Baik sebaik malaikat yang tidak pernah buat dosa? Naaa. Bukan. Bukan itu yang saya maksudkan dengan romantik atau baik. Manusia ini, fitrahnya memang kita akan salah dan silap di mana-mana. Tetapi manusia juga, fitrahnya yang sebenar adalah kembali kepada Allah SWT apabila dia berbuat dosa.

Tiada manusia yang tidak berbuat dosa. Tambahan kita ini hanyalah manusia biasa, bukan maksum. Tetapi itu tidak bermaksud yang kita tidak boleh untuk menjadi seorang manusia yang baik atau romantik. Ruang untuk kebaikan dan berbuat kebaikan terbuka luas. Betapa pun akan ada pihak menghalangi kita untuk membuat kebaikan kepada diri sendiri dan orang-orang sekeliling, tidak kiralah yang menghalang itu dari golongan manusia dan jin, maka ruang kebaikan itu akan sentiasa ada. Selagi kita mahu berusaha.

Firman Allah SWT,

“Dan setiap umat mempunyai kiblat yang dia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu dalam amal kebaikan (kebajikan), di mana saja kamu berada, pasti Allah akan mengumpulkan kamu semuanya, sungguh Allah Maha Kuasa akan segala sesuatu..” (al-Baqarah : 148)

Mahu Allah sayang? Buat kebaikan.. Jadilah romantik kerana Allah.

Orang-orang Muslim itu, dirinya dihiasi dengan kesopanan. Jiwanya didiami dengan kelembutan. Maka zahirnya, adalah kebaikan. Percaya? Senyum.

Romantik Itu, Memudahkan Urusan Orang

Orang-orang yang membantu orang lain dan memudahkan urusan orang lain kerana, kelak Allah akan menolong dan memudahkan urusannya pula. Jangan pernah sangsi dengan janji kebaikan oleh Allah apabila kita membantu orang lain. Membantu orang lain? Jangan pernah ragu-ragu. Sekali kita boleh bantu, kita bantu. Sebab apa? Sebab kita tidak tahu dalam hidup ini, amalan mana yang paling akan diterima oleh Allah SWT.

Kita ini, berada di dunia.. bukan mahu bertanding siapa yang paling baik dan siapa yang paling banyak membantu atau menolong orang lain. Dan kita juga tidak bertanding siapa yang paling bertaqwa. Islam mengajar kita, setiap amalan kita, kuncinya perlu kepada niat kerana Allah dan ikhlas dalam melakukannya. Maka jangan terpengaruh dengan pengiktirafan di dunia. Pengiktirafan itu tidak salah, tapi berhati-hatilah.

Kita ini, tolong orang.. sebab kita rasa macam mana perasaannya apabila kita memerlukan pertolongan, dan ada orang lain sudi tolong kita tanpa syarat. Kita mesti rasa gembira, bukan? Tapi sebelum merasai perkara itu, biarlah kita yang menjadi ‘orang lain’ itu dulu.

Moga-mogalah, kita semua menjadi hamba yang dicintai oleh Allah Ta’ala.
Dan disayangi oleh manusia.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *