Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Menerima Hidup Hanya Kerana Allah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kita gembira kerana dunia. Jika hilang dunia, akan mati kesedihanlah kita. Credit Gambar : Pelukis atau Pemiliknya

Kita gembira kerana dunia. Jika hilang dunia, akan mati kesedihanlah kita.
Credit Gambar : Pelukis atau Pemiliknya

Selalu sahaja akan ada ketika kita akan merasa kita keseorangan dalam ramai. Kita merasa kita tidak berbuat apa-apa walau sudah pelbagai usaha yang dilakukan. Dan akhir sekali nanti, kita akan merasa sedih atas sebuah kekosongan dalam hidup. Mungkin kerana tidak dirai oleh orang-orang terdekat. Atau mungkin sahaja sebabnya itu adalah kerana diri kita sendiri yang memang kehilangan sesebuah rasa dalam hidup.

Saya pernah katakan dan seringkali mengatakan, bahawa berurusan dengan kehidupan itu hakikatnya berurusan dengan perasaan. Dan berurusan dengan perasaan itu tidaklah mudah. Bahkan rumit dan sukar difahami kadang-kadang. Betul. Tapi lihatlah subhanallah, betapa Allah Ta’ala Maha Berkuasa mengizinkan kita merasai perasaan sedih, marah, geram, gembira, teruja dan senang hati. Apapun, kita wajib mensyukuri segala nikmat yang Allah Ta’ala beri.

Namun kekosongan dalam hidup kita yang kita alami itu, adakalanya kita sendiri juga tidak memahami. Bukan kerana kita tidak mengambil tahu. Tapi mungkin jiwa kita sedang jauh dari merasai sesuatu. Atau mungkin minda kita kurang peka terhadap keadaan jiwa kita sendiri.

Setiap orang akan mengalami perasaan sebegini. Dibelenggu dengan rasa yang sukar untuk ditafsir. Padahalnya, kita sudah berusaha mencuba untuk menjadi hamba yang baik. Mengikuti segala perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, meringankan jiwa dan jasad untuk membuat perkara-perkara sunnah yang disukai Nabi SAW. Berkumpul dengan orang-orang soleh, mengasihi sesama manusia kerana Allah Ta’ala.

Tetapi tetap sahaja perasaan ‘kosong’ itu terus menyinggah. Kenapa?

Kita Buat Sesuatu Kerana Apa

“Su, lama tak lepak dan sharing cerita dengan kau. Petang ni kau free? Jom lepak berisi!” Saya menerima satu SMS dari kawan semasa kepulangan saya ke tanah kelahiran semasa cuti semester.

“Hahaha. Rindu akulah tu. InshaAllah, free saja!” Saya membalasnya sambil tersenyum.

Bila kami duduk berdua, bersembang-sembang tentang banyak hal, tiba-tiba kawan saya tadi bertanya. “Aku ni, Su.. Entahlah. Aku rasa macam something wrong dengan hidup aku. Walaupun aku sudah buat sesuatu tu aku niatkan kerana Allah. Well, atleast I’m on my effort to ikhlaskan diri kerana Allah. Tapi kan, entahlah.. Lepas tu aku akan rasa sedih.” Luahnya.

“Hmm. Mungkin ada yang something wrong.. Kau sedih sebab nda dapat penghargaan dari manusiakah?” Saya sengaja menduga. Memandangnya mahu bersoal jawab.

Dia angguk-angguk sambil mengacau minumannya dengan straw. “Mungkin juga. Mungkin niat aku tersasar, dan aku terus sedih. Tapi janganlah kau pandang aku macam penjenayah bha!”

Dan saya terus tergelak. Hahaha.

Kita di dunia ini, hidup dengan manusia. Kita bekerja dengan manusia. Kita berkomunikasi dengan manusia. Apabila sesuatu pekerjaan telah selesai kita kerjakan, dan apatah lagi pekerjaan tersebut sesuatu yang amat penting. Maka adalah normal apabila manusia mahu dihargai dengan cara mempamerkan ucapan terima kasih atau senyuman tanda menghargai. Itu normal. Ya, normal.

Namun, tidaklah seharusnya penghargaan dari manusia itu membuatkan niat dan matlamat kita tersasar dari landasan yang sepatutnya. Kerana tujuan kita satu, kerana kita mahu membuat Allah SWT suka. Bukan semata-mata mahu dapat rai manusia.

Untuk manusia yang tahu menghargai usaha orang lain, alhamdulillah. Segala puji-pujian wajib dikembalikan kepada Allah SWT. Dan untuk manusia yang langsung tidak tahu menghargai atau tidak tahu mengucapkan terima kasih kepada orang lain, diam sahajalah. Serahkan semua perhitungan kepada Allah SWT. Dia lebih mengetahui segala-galanya.

Saya bila terasa lemah, saya akan baca berulang-ulang kali firman Allah SWT yang ini apabila terasa lemah atau down. Memang akan terasa suatu hembusan semangat. Seakan-akan Allah SWT berbicara terus kepada saya.

“Dan janganlah kamu berasa lemah dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (darjatnya), jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah ali-‘Imran : 139)

Signifikannya, apabila kita mahu membuat sesuatu, maka jauhkan pandangan manusia dari pandangan kita. Pandang satu hala sahaja terlebih dahulu; iaitu Allah SWT. Buat sahaja dan bergeraklah. Kita ini hamba yang lemah, tergelincir atau tersungkur sesekali itu biasa, tanda kita ini manusia yang tiada kudrat sebenarnya. Melainkan kudrat yang diizinkan oleh Allah SWT. Maka apabila terasa apa yang kita buat itu tiada ertinya, beristighfarlah.

Hidup ini, sudah rumit.
Maka jangan terlalu merumitkan lagi. Shall we? *peluk laju-laju*

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *