Mencuba dan Tewas : Istiqamahlah!

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture : http://antontang.deviantart.com/ Kesakitan itu bila kita tahu itu dosa, dan kita TERbuat juga.
Credit Picture : http://antontang.deviantart.com/
Kesakitan itu bila kita tahu itu dosa, dan kita TERbuat juga.

“Aku dah cuba berkali-kali. Aku dah usaha. Setiap kali aku usaha dan mencuba, setiap kali itu juga aku buat maksiat. Semakin aku mencuba, semakin dosa memanggil aku. Aku rasa.. Aku rasa macam nak give dengan diri aku sendiri. Aku rasa aku jadi macam main-main dengan Allah. Aku banyak dosa.. Aku banyak dosa. Allah dah tak sayang aku agaknya.”

Kesakitan dalam hidup ini, adalah ketika mana kita mengetahui bahawa apa yang bakal, dan sedang kita buat itu adalah dosa yang Allah tidak suka. Dan kita masih tiada kekuatan untuk melawan diri sendiri untuk tidak buat perkara tersebut. Kesakitan itu, rasanya seperti dada ini ditebuk dan mempunyai lubang tembus hingga ke belakang badan.

Kita berusaha untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik. Hati kita mahu diri kita menjadi seorang manusia yang baik. Tiap-tiap hari azam kita hanya untuk membuat Allah pandang kita dengan kasih-sayang, dan kita berusaha ke arah itu. Tapi sering kali jalan-jalan usaha kita sirna oleh keindahan maksiat dunia yang akhirnya kita akan buat dosa.

Berkali-kali berlaku seperti itu. Kita bangun pada satu hari. Kita tekad, hari itu kita akan menjadi hamba Allah yang baik. Tapi, belum sudah 24 jam pada hari itu, kita sudah membuat dosa yang kita tahu Allah murka dengan perbuatan kita. Kita jadi lemah, lutut kita longlai. Kita mula rasa diri kita macam useless sebab tak kuat.

Kita kecewa dengan diri sendiri. Kita takut kita dah kecewakan Allah SWT.

Hingga akhirnya, hati kita diketuk dengan keinginan untuk berputus asa. Kerana dalam fikir kita, mungkin diri kita sudah ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi pendosa yang tegar. Mungkin kita bukan termasuk dalam kalangan orang-orang yang Allah bagi peluang untuk bertaubat. Fikir kita lagi, mungkin Allah dah takdirkan kita untuk menjadi penghuni neraka.

Wahai kamu, adakah kita sudah berputus asa?

Allah Melihat Usaha Kita

Satu perkara yang saya yakini, apa sahaja yang kita buat di dunia ini, tidak pernah terlepas dari pemerhatian Allah. Apa sahaja yang kita buat, yang baik dan yang buruk, Allah menyaksikannya. Dan itu adalah antara perkara yang sangat menggegarkan jiwa sebenarnya.

Allah menyaksikan SEMUANYA!

Dan saya sangat pasti, bahawa sekiranya kita adalah seorang yang berusaha dan berjuang dengan diri sendiri dari sehari ke sehari untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik, maka itu juga disaksikan oleh Allah Ta’ala. Allah Ta’ala menyaksikan niat kita, tekad kita, langkah kita, kejayaan kita, juga kejatuhan kita. Dan walaupun kita telah membuat maksiat dan dosa, kenapa Allah masih membiarkan kita hidup, bernafas sehingga ke saat ini?

Subhanallah. *tarik nafas dalam-dalam*

Cukup saya mengetahui itu (yang dalam pengetahuan Allah sebenar-benarnya), adalah antara peluang Allah masih menerima kita, wahai kawan. Menerima yang bagai? Kita masih diberikan oleh Allah peluang. Dan peluang bernafas, masih mempunyai nyawa itu, adalah satu diantara tanda kasih Allah kepada kita. Seolah-olah Allah berkata secara tidak langsung kepada kita, bahawa Allah masih memberi peluang, maka gunakan peluang ini untuk mendapat tempat di sisi-Nya. Untuk menjadi seseorang yang dikasihi-Nya.

Kamu.. Saya juga adalah seorang manusia yang banyak kelemahannya. Yang imannya sekejap naik sekejap turun. Saya adalah seorang manusia yang tidak terlepas dari dosa. Saya pendosa. Tapi adakah sebab-sebab itu menyebabkan saya mahu terus berputus-asa?

Tidak!

Mungkin dalam kehidupan ini, kita pernah tersilap langkah. Berpaling dari Allah. Mengkhianati ketenangan dan kedamaian hati kita. Kita mungkin pernah berkata, kita tidak perlukan Allah. Dan kita hidup hanya sekadar hidup. Tapi bukankah sepatutnya sudah tiba masanya sekarang, untuk kita sama-sama sedar. Jangan terus berpaling. Pasang tekad, kuatkan semangat untuk kembali kepada Allah. Allah itu, tidak pernah tidak menerima hamba-hambaNya yang mahu kembali kepada-Nya. Allah sentiasa membuka pintu-Nya.

Kawan, kita mengatakan bahawa kita sering gagal dalam usaha untuk menjadi hamba yang baik kepada Allah. Dan kita merasa seolah-olah kita jauh dari pertolongan Allah. Kita merasa bahawa Allah biarkan kita terumbang-ambing dalam perjalanan hidup kita. Tapi wahai kawan, adakah pertolongan Allah yang tidak dekat, atau kita yang kurang sabar sebenarnya?

Allah tidak pernah membiarkan kita walau sesaat. Allah sepanjang detik memerhatikan kita. Allah melihat gerak-geri kita. Allah mendengar apa rintihan hati kita. Allah tidak pernah tidak menjawab dalam tangis derita kita. Allah sentiasa ada untuk kita.

*nangis. can’t hold my tears*

Apalah salahnya kita terus bersabar? Kenapa kita cepat bersangka buruk dengan Allah? Kenapa kita terus mahu menyalahkan Allah atas kelemahan kita yang kurang bersabar dalam perjuangan menuju Allah. Bukankah kita sebenarnya yang bermasalah?

Iman Turun Naik Perlu Dalam Hidup

Bila saya katakan bahawa iman kita memang perlu turun naik dalam hidup ini, saya serius!

Kenapa? Begini. Bila iman kita turun, kita akan dapat merasainya. Paling tidak pun, akan terpancar dengan tingkah laku kita – mungkin perangai jelik dan buruk. Dan bila kita sedar, kita akan meminta ampun dan meminta pertolongan daripada Allah SWT. Malah, hati kita sentiasa mahu menjadi akrab kepada Allah. Setiap waktu, setiap detik dan setiap saat, kita mengharapkan daripada Allah akan bantuan-Nya, kelembutan-Nya dan kekuatan dari-Nya agar iman kita tidak berbolak balik dan seakan-akan jatuh dari gunung dan pecah terburai.

Kita inshaAllah akan menjadi seseorang yang lebih baik. Kerana kita tahu, kita memerlukan pertolongan daripada Allah. Kita memerlukan Dia! Kita mohon kepada-Nya. Dan kerana kita tahu, kita perlu sentiasa berdoa dan berdosa, semoga Allah memperkenankan permintaan kita. Kerana apa? Kerana kita tidak mahu menjadi seseorang yang tidak berguna.

Betul, kan?

Itu kalau iman ada turun naiknya.
Kalau tidak, macam mana pula?

Mungkin antara hikmah kenapa Allah jadikan iman itu turun naik, adalah kita sentiasa memerlukan Allah. Boleh jadi kalau iman kita asyik naik dan berada di tahap itu dengan stabil, barangkali kita akan menjadi seorang hamba yang futur.

“Eh apa pula macam tu, Suhana?!”

Sabar. Baca dengan tenang, kawan. Kalau iman kita naik sahaja kejadiannya, mungkin kita akan bertukar menjadi seseorang yang bertuhankan diri sendiri? Kerana apa? Kerana kita akan merasa bahawa kita tidak memerlukan Allah. Mungkin juga dalam fikir kita, kita adalah yang terbaik kerana iman kita stabil dengan usaha kita sendiri, maka kita sudah tidak perlukan Allah untuk kita meminta kasih-Nya merintih-rintih kepada Allah.

Analoginya, sama seperti seseorang yang selalu berada di puncak kejayaan dan jarang sekali merasa kegagalan. Sehingga dia merasa bahawa dia berjaya atas usahanya sendiri tanpa pertolongan sesiapa termasuklah Allah, dan tanpa mendapat sokongan dari sesiapa. Maka dia merasa bahawa dirinya hebat. Tidak memerlukan sesiapa, termasuk Allah!

Mungkin kedengaran agak keras. Tapi ini juga berlaku di dunia.

Lumrah alam, sunnatullah.. Apabila ada malam, pasti akan ada siangnya. Apabila gelap, pasti ada suatu yang bernama terang. Apabila kecil, pasti ada besar. Bila ada kejayaan, pasti akan ada kegagalan. Maka, begitulah juga iman. Subhanallah. Hebat Allah!

Hebat Allah mengaturkan setiap sesuatu yang ada di dunia ini,
yang masih kekal dengan fitrahnya.

Dan apabila merasa diri tidak berguna, pejamlah matamu duhai kawan.. Katakan kepada diri sendiri, bahawa alam ini ada aturannya. Tapi, apapun aturan yang telah Allah aturkan itu, selagi mana kita berusaha dan tidak berputus asa, pasti Allah akan membantu hidup kita.

Just Don’t Give Up, Okey?

Semua orang pernah mengalami hari-hari yang gelap dalam hidupnya. Semua orang pernah merasa kekosongan dalam hatinya. Semua orang pernah merasa seolah-olah kehilangan arah dalam hidup. Believe me. Kita semua pernah mengalaminya.

Kelemahan kita, dosa kita, jatuh bangun kita adalah bukti bahawa kita ini hanyalah hamba yang lemah. Yang jauh dari sempurna. Bahkan kita tidak akan pernah sempurna. Tapi kita ada Allah. Kita ada Allah untuk kita berusaha membuat Dia suka dan sayang kepada kita. Kita ada Allah yang masih tidak berputus asa terhadap kita, yang masih memberi peluang sehingga ke saat ini untuk kita ubah diri sendiri kepada seseorang yang lebih baik.

Kawan, untuk istiqamah.. Kita perlu kesabaran dan bersabar.

Kita mungkin akan mengalami banyak kali turun naik dalam kehidupan ini, jatuh bangun, tergelincir, terduduk dan terluka. Tapi lihatlah dari kacamata kita yang berbeza. Kita ini manusia yang lemah. Dan kerana kita lemah, maka kita perlukan Allah. Cara untuk kita terus kuat walau dihempap badai kehidupan adalah selalu dekat kepada Allah. Maka kuncinya, kita perlu berusaha ke arah itu. Make sense, right?

Saat kita terjatuh. Saat hari-hari dalam kehidupan kita mendung, itu tidaklah bererti bahawa Allah meninggalkan kita terumbang-ambing. Bahkan sesaat pun Allah tidak pernah mengabaikan kita. Cuma, mungkin kita sahaja sering gopoh-gapah. Dalam dunia ini, saya percaya.. Bahawa Allah akan memberikan yang setimpalnya kepada orang-orang yang berusaha menuju kebaikan. Tidak kiralah dalam hal apapun (hal-hal yang Alla suka).

Allah Maha Adil, dan Allah Maha Bijaksana.

Cuma mungkin kadang-kadang, jiwa kita selalu clumsy mahu memahami takdir yang Allah sudah ciptakan. Well, kawan.. Adakalanya ada takdir yang kita tidak perlu tertanya-tanya. Kita hanya perlu bergerak sebagai hamba Allah dan berusaha sebagai seorang manusia, dengan keyakinan dalam diri dan jiwa bahawa, Allah tidak pernah silap dalam aturan-Nya.

Berapa kali pun terjatuh dalam lembah dosa, janganlah berputus asa. Janganlah merasa bahawa Allah tidak suka. Dan janganlah bersangka buruk kepada Allah. Kepada Dia kita percaya, dan kepada Dia kita berusaha. Cuma, menasihati diri sendiri dan kawan (pembaca) semua, janganlah sesekali kita mahu berhenti dari usaha untuk meraih redha-Nya!

Saya menyayangi anda semua kerana Allah.
Semoga kita sama tabah dalam berusaha.

*peluk kalian dari kejauhan*

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *