Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Mencari Ketenangan Di Dunia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Kadang-kadang derita itu ada sebab kita yang cipta lantaran kita tidak menghargai kebahagiaan. Credit Picture: http://t0xicsoul.deviantart.com/

Kadang-kadang derita itu ada sebab kita yang cipta lantaran kita tidak menghargai kebahagiaan.
Credit Picture: http://t0xicsoul.deviantart.com/

Dalam kesibukan dunia yang semakin hari semakin membuat ramai orang kini resah dan gelisah, ketenangan dan kedamaian hati itu seolah-olah sudah tidak wujud dan tidak dapat dicapai lagi. Sebelum tidur, memikirkan hal dunia. Bangkit dari tidur setiap pagi, selalu sahaja kita dikejutkan dengan berita-berita dan kejadian-kejadian yang membimbangkan di seluruh pelusuk alam. Dan kita hanya mampu membaca.

Cuba lihat dunia kita kini. Jenayah berleluasa, manusia semakin hilang pertimbangan. Mungkin juga kerana kesempitan hidup. Kemalangan kenderaan darat, kenderaan udara meningkat di sana sini. Peperangan di negara-negara lain juga turut menarik fikiran kita. Apapun saya pasti, kita semua ada ujiannya masing-masing.

Saya teringat ketika saya dan kawan-kawan sepengajian ditugaskan untuk memahami gerak kerja di Mahkamah Syariah Kuantan. Saya dan beberapa kawan ditempatkan di pejabat pentadbiran Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selama dua hari. Dan selama dua hari itu juga macam-macam jenis kes yang saya dapat ketahui dengan hanya membelek fail-fail. Antaranya yang tertinggi adalah penceraian di usia muda. Sejujurnya, hal seperti ini sedikit sebanyak membuat saya terfikir-fikir.

Malapetaka alam juga kita dapat lihat sejak kebelakangan ini. Terlalu banyak yang berlaku. Seolah-olah dunia ini mahu memberitahu bahawa bumi ini sudah tua untuk menanggung kesan daripada perbuatan-perbuatan manusia. Di manakah ketenangan? Wahai!

Ketenangan Itu Ada Pada Allah

“Aduh! Saya pening memikirkan keadaan ekonomi sekarang. Saya harap saya dapat buat kerja, dapat income dan bahagiakan mak bapa saya tu ha. Mana lama lagi hayat saya dan hayat mereka? Keadaan dunia ni buat saya resahlah, tau tak?!” Itu luahan seseorang.

Saya mungkin sedikit sebanyak dapat merasai apa yang bermain-main di mindanya. Dunia sekarang dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, bila terfikirkan tanggungjawab kita yang mahu tidak mahu, berkaitan wang, akan membuat kita sedikit resah sekurang-kurangnya.

Tapi kan, Allah SWT tidak menciptakan kita ke dunia ini untuk meratapi setiap satu masalah yang datang dalam kehidupan. Hal ini kerana, masalah itu akan sentiasa ada. Datang dan pergi sahaja perbezaannya. Masalah dan cabaran, memang kawan baik dalam kehidupan. Jadi, kalau setiap masalah dan cabaran itu untuk diratapi sahaja, macam mana hendak dapat ketenangan jiwa? Kan lebih baik sebenarnya jika kita fokus kepada penyelesaian? Serasanya itu lebih baik.

Betul, bukan? Senyum.

Baik, kita lari sedikit dari permasalahan yang tidak pandai habis. Mari tenangkan fikiran sejenak. Allah SWT ada berfirman mengenai ketenangan hati.

“Orang yang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerana mengingati Tuhan. Ingatlah, bahawa dengan mengingati Tuhan itu, hati menjadi tenteram. Orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik, mereka memperoleh untung yang baik dan tempat kembali yang utama.” (Surah ar-Ra’ad : Ayat 28 -29)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut ayat ‘dengan mengingati Tuhan, hati menjadi tenteram..’ sebanyak dua kali. Ini bukan sekadar kata-kata yang dilafazkan oleh manusia. Tetapi Allah SWT sendiri yang berfirman, dan dalam ayat di atas, Allah SWT memberi jaminan bahawa sesiapa yang beriman dan selalu mengingati Allah SWT, ketenangan dan ketenteraman jiwa adalah miliknya.

Cool, bukan?

Sebenarnya, bagaimana sikap kita berdepan dengan masalah sebenarnya yang lebih utama. Ada orang, berdepan dengan masalah tetapi boleh bersahaja. Bukan bersahaja yang tiada usaha. Tetapi bersahaja tingkahnya, namun bijak mencari jalan atau menyelesaikan masalah. Ada juga orang, yang apabila berdepan dengan masalah, mulutnya lantang bersuara. Maki hamun di sana sini. Tetapi masalah semakin bertambah masalah. Akhirnya tidak juga selesai. Lebih teruk, malahan!

Bantuan Allah Pelbagai Bentuk

Bila kita fikir-fikir, rezeki dan bantuan daripada Allah SWT itu, tidak semestinya yang berbentuk wang ringgit atau material. Ada yang jauh lebih berharga sebenarnya dan lebih mendamaikan. Ada orang mencari ketenangan dengan cara pergi melancong, melihat alam dan tempat-tempat orang. Dengan melancong itu, meningkatkan lagi ketakwaan seseorang dalam diri. Ada juga yang pergi mendapatkan ketenangan dalam bentuk dia menginfakkan harta dan duit. Ada juga yang dengan caranya tersendiri meluangkan masa menyelami perasaan para homeless atau gelendangan.

Tetapi, jangan pernah lupa bahawa ada juga yang mencari ketenangan dengan melakukan maksiat dan dosa. Ada yang meminum arak. Bermain judi. Membuat kerja-kerja haram. Tujuan yang sama, mahu mencari ketenangan. Tetapi dengan cara yang salah. Nampak?

Kita ini kalau sudah buat benda haram dan berdosa, segembira mana pun hati kita dan kita pamerkan wajah yang gembira, lambat laun hati kita akan mereput juga! Nak mencari ketenangan, datang kepada Tuhan. Bukan pergi kepada syaitan.

Allah SWT berfirman,

“(Allah yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang yang beriman supaya bertambah keimanan dan keyakinan mereka disamping keimanan mereka yang sedia ada…” (Surah al-Fath : Ayat 4)

Allah SWT, tidak akan mensia-siakan mereka yang berusaha. Kita kena ingat ini.

Berbalik Kepada Diri Kita Sebenarnya

Dunia semakin huru hara. Tapi janganlah menambahkan huru hara pada dunia dengan kita semakin teruk jadinya. Dunia ini tidak memerlukan lagi individu-individu yang menambah bebanan terhadap permasalahan yang ada. Tetapi dunia perlukan individu-individu yang tenang dalam menyelesaikan masalah kecil mahu pun besar. Bukan sebaliknya. Kita sebagai seorang Muslim, setidak-tidaknya jika tidak dapat memberi sumbangan besar terhadap ummah dan negara, kita perlu menjadi seseorang yang bertanggungjawab dan ada kesedaran terhadap sekeliling kita.

Jika kita katakan kita tidak mampu berfikir, atau tidak faham dengan dunia ini, maka kata-kata dan tanggapan itu harus sampai bila? Bukankah sebenarnya kita perlu buat sesuatu? Kalau tidak mampu untuk menggenggam dunia, sekurang-kurangnya untuk sekeliling kita. Mampu?

Caranya? Bermula dengan diri kita sendiri. Kalau hari ini kita melihat sikap kurang ajar atau tidak bertimbang rasa semakin menebal dalam diri sesetengah masyarakat, maka jadilah orang yang sebaliknya. Mulakan walau tiada seorang manusia pun yang mengetahui.

Kalau kita melihat bahawa pada hari ini, carut-mencarut dan maki-memaki itu sudah seperti biasa dalam diri sesetengah masyarakat, maka jadilah orang yang membenci perbuatan tersebut dan sebutkanlah kata-kata yang baik-baik dan indah-indah sahaja.

Dan jika hari ini kita melihat orang-orang Islam sesama sendiri hanya berlalu tanpa bersapa, maka kita jadilah orang yang seboleh-bolehnya mengucapkan salam walau di mana-mana. Perkataan ‘salam’ atau ‘assalamu’alaikum’ itu bukan perkataan yang susah untuk disebut. Tetapi berat dilafazkan oleh ramai orang. Maka kita jadilah orang yang selalu melafazkannya.

Apa signifikan kesemua perbuatan ini? Nampak kecil dan tidak memberi kesan apa-apa pun. Jika anda berfikiran seperti ini, maknanya minda anda masih terkurung dalam persepsi kebanyakan masyarakat yang pesimis. Cuba buat dahulu sekecil-kecil kebaikan. Tengoklah impak atau kesannya kepada diri anda dan masyarakat sekeliling anda bagaimana. Mahu mencari ketenangan itu, banyak cara dan banyak jalannya. Cuma kita ini sahaja yang selalu memberi banyak alasan.

Allah SWT Sentiasa Ada

Walau apapun yang berlaku dalam kehidupan kita, jangan sesekali melupakan bahawa Allah SWT sentiasa ada, wahai sayang-sayang sekalian! Sekali pun kita merasa seolah-olah kita sudah tidak dapat ketenangan di dunia ini, atau bagaimana pun kita merasa bahawa kita sudah tidak larat untuk berdiri dan berdepan dengan kesemua permainan dunia, maka ingatlah, Allah SWT selalu ada.

Ketenangan itu ada. Allah SWT itu ada. Dan sumber ketenangan itu, ada pada Allah SWT. Maka mendekatlah kepada-Nya. Berusahalah melawan nafsu-nafsu jahat dalam diri kita.

Meningkatkan perhambaan dan ketaatan kita kepada Allah SWT adalah salah satu mencari ketenangan dan kedamaian dalam hidup. Bumi akan terus berputar. Dunia dan seisinya dalam pengawasan Allah SWT. Tetapi kita, tugas kita sebagai hamba Allah adalah tanggungjawab kita.

Ada waktu, saya terasa bahawa saya bersendiri. Dengan memikirkan perjalanan hidup ini, kadang-kadang terasa sedemikian. Serius, perasaan tersebut bukannya dipinta-pinta tetapi datang sendiri. Bukan kerana tiada keluarga dan suara, sahabat, rakan atau kenalan. Tapi saya menduga, perasaan seperti ini memang pernah dialami oleh semua orang. Betul? Maka saya terus teringat kepada firman Allah SWT ini.

“Dan Dia (Allah) bersamamu di mana sahaja kamu berada.” (Surah al-Hadid: Ayat 4)

Sepotong ayat yang pendek, tapi sangat mendalam dan menenangkan.

Ketenangan Akan Selalu Ada

Jika kita tidak dapat mengubah dunia untuk menjadikannya tempat yang tenang dan bahagia. Maka kita kena ubah diri kita sendiri dan bentuk peribadi menjadi seseorang yang menenangkan dan membahagiakan. Biar kesihatan jasad dan emosi kita aman untuk selalu ingat kepada Allah SWT. Malah, lebih baik jika kita bercita-cita untuk mempunyai zuriat dan keturunan mempunyai peribadi yang sedemikian. Biar anak cucu cicit menjadi seorang yang mengangkat kalimah Allah SWT di atas pundaknya dan menjadi penyambung kepada perjuangan Rasulullah SAW.

Mustahil? Tidak. Berusahalah, kawan. Berusahalah.

Kesimpulannya? Ketenangan itu ada. Ada pada Allah SWT. Dan untuk mendapatkan ketenangan itu, perlu daripada Dia. Justeru kita sebagai hamba Allah SWT, bergelora macam mana sekalipun dunia, jangan biar hubungan kita dengan Allah SWT terputus begitu sahaja.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *