Mencampakkan Diri di Hadapan Tuhan

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Pandang diri kita, dan campakkanlah diri ke depan Tuhan. Dia -- menerima hambaNya sekotor manapun. Sebesar dosa apa pun yang dilakukannya. Credit Picture : http://iraqiguy.deviantart.com/
Pandang diri kita, dan campakkanlah diri ke depan Tuhan.
Dia — menerima hambaNya sekotor manapun.
Sebesar dosa apa pun yang dilakukannya.
Credit Picture : http://iraqiguy.deviantart.com/

Kita masih berada di dunia, di atas muka bumi yang penuh mehnah. Yang penuh dengan macam-macam kejadian yang adakalanya menggembirakan, tidak kurang pula yang mendukacitakan. Masing-masing menghadapi kehidupannya dengan caranya sendiri. Ada yang berjuang secara senyap-senyap tanpa kita sedari. Kerana apa? Kerana dia sedang berjuang dan melawan diri sendiri. Dan kita pula ini bagaimana?

Di luar sana, saya percaya ramai yang sedang berjuang dengan diri sendiri untuk kembali kepada Tuhan. Kembali kepada fitrah kebaikan dan nekad menanam azam untuk memperbaiki diri sendiri. Maka, dia pergi ke ceramah-ceramah agama walaupun seorang diri tidak berteman. Dia nekad mengubah imej dengan tudung di kepala. Dia melalui setiap rasa keperitan sebuah bayaran untuk merangkak menuju Tuhan.

Bukankah apa yang sedang dilakukannya itu satu kemulian? Ya.

Sepanjang perjalanan yang saya ingati, apabila orang-orang ramai bersuara akan perihal rosaknya akhlak remaja; maka mereka akan menyalahkan anak muda. Kata mereka, anak muda itu penuh dengan rasa keinginan untuk berseronok sahaja. Hanya tahu melayan nafsu dan tidak langsung berfikir demi masa depan mereka yang inshaAllah masih panjang.

Ada benarnya kenyataan itu. Namun itu tidaklah menjadi alasan untuk orang-orang yang berkata demikian menafikan kedudukan remaja ataupun orang-orang selain golongan remaja ini untuk mencari kembali pintu kembali kepada Tuhan. Bukankah semua orang berhak untuk diampuni oleh Allah SWT hatta sebesar apapun dosa-dosa yang pernah dilakukan? Kenapa mahu membuat orang-orang yang rasa berdosa itu tidak layak diampuni dengan momokan kata-kata yang tidak memberangsangkan, malah membantutkan keinginan orang untuk kembali kepada Tuhan? Adalah lebih baik menyambut huluran tangan-tangan mereka.

Sebab itu saya katakan, semua orang hidupnya ada perjuangan tersendiri.

Kerana Allah Masih Sayangkan Kita

Pernah saya mendengar ceramah dari Habib Ali al-Jufri. Ditanyakan kepadanya tentang golongan remaja atau golongan muda-mudi pada zaman ini yang sangat terdedah dengan perbuatan dosa walau di manapun berada. Kerap kali melakukan dosa, lagi dan lagi walaupun mereka bersolat dan melakukan suruhan Allah. Namun masih belum kuat untuk menjauhi larang-larangan Allah SWT. Maka apakah nasihat?

Nasihat beliau yang saya hormati dan cintai kerana Allah, “Bertaubatlah lagi dan lagi, walaupun kamu masih melakukan dosa. Bertaubatlah lagi dan lagi! Jangan putus asa, Allah SWT akan mengampuni kamu. Bertaubatlah meski kamu selalu tewas dalam perjuangan diri sendiri. Allah akan mengampuni, Allah akan mengampuni!”

Wallahi! Nasihat itu sungguh-sungguh meresap ke dalam hati saya.

Saya cuba bawa nasihat itu untuk menghampiri adik-adik atau kakak-kakak yang saya kenali yang dalam perjuangan hidup mereka sendiri. Saya cuba rasakan dalam jiwa mereka; mereka adalah orang-orang bertuah. Yang Allah SWT masih berikan rasa untuk kembali kepada-Nya. Tanda Allah SWT masih tidak mensia-siakan mereka. Tanda Allah SWT tidak membiarkan mereka terus seronok tenggelam dalam dosa. Allah SWT hadirkan rasa berdosa dan rasa mahu berubah dalam diri mereka untuk meninggalkan perkara yang sia-sia.

Allah SWT berfirman,

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’” (Surah az-Zumar: 53)

Wahai adik-adik, kakak-kakak, abang-abang yang dikasihi kerana Allah SWT.. Tidakkah firman Allah SWT diatas melapangkan jiwa, menghilangkan resah dan membuat jiwa berbunga megah? Kerana itu firman Allah SWT. Yang berjanji dan menyeru kepada manusia bahawa Dia sentiasa ada untuk mengampuni kita ini, hamba-hambaNya.

Firman Allah SWT itu menenangkan hati, sungguh!

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan yang keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengatahui (akan salahnya dan akibatnya)” (Surah ali ‘Imran : 135)

Saya tidak tahu mengapa saya rasa begini. Tapi seruan dari Allah yang ini, “Wahai hamba-hambaKu..” Saya sungguh-sungguh dapat rasakan bahawa seruan atau panggilan itu penuh dengan kelembutan dan sungguh menyantuni jiwa-jiwa para hambaNya. Seakan-akan kita juga dapat rasa, yang jiwa kita sedang berhubung terus denganNya.

Maka, jika ada perasaan dalam jiwa kita ini untuk bertaubat setelah melakukan kesalahan, dengarilah ia wahai sahabat. Berilah hak kepada jiwa kita untuk mendekati Tuhannya dengan membawa diri kita kepadaNya. Dan ketahuilah bahawa, perasaan itu hadir adalah kerana Allah SWT sendiri yang menghantarnya kepada kita. Menandakan Allah SWT menginginkan kebaikan kepada kita seterusnya memberi kita peluang untuk memperbaiki kekurangan diri.

Bangunlah Walau Terjatuh Banyak Kali

Saya pernah didatangi oleh seseorang. Dia berkata, “Aku rasa useless sangat.” Setelah ayat itu diucapkannya, dia diam beberapa minit. Dan airmatanya mengalir. Bahkan saya yang melihat dia duduk di depan mata ini juga sudah terasa panas tirai mata. Dapat merasakan bahawa ucapannya itu seolah-olah mahu berputus asa tetapi masih ada kekuatan untuk berjuang mendapat tempat di sisi Allah SWT.

“Aku rasa entah.. Sekali taubat, banyak kali buat lagi. Lepas tu taubat, lepas tu buat lagi. Aku rasa macam main-main dengan Allah. Sampai satu saat, aku rasa aku tak layak langsung untuk minta dari Dia lagi!” Tuturnya perlahan tapi seakan-akan menahan nafas.

Kali ini, dia tersengguk-sengguk di depan saya. Airmata yang saya tahan-tahan di tirai mata, akhirnya tumpah juga. Tak tertahan rasanya. Sebab saya faham dan dapat rasa, orang yang berada di depan saya ini sedang berjuang sebenarnya. Dan satu perkara yang saya pasti, saya tidak mahu dia menyerah kalah dalam perjuangannya.

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’: 110)

Allah SWT itu haram bagi-Nya untuk menzalimi para hamba-Nya, wahai sahabat.

Percayalah bahawa setiap langkah yang kita terasa payah, setiap tindakan yang kita terasa berat, dan setiap perubahan diri kita yang kita dicaci manusia lain kerananya serta, setiap perbuatan kita yang dapat tentangan dari orang-orang sekeliling.. Ketahuilah bahawa, Allah SWT sedang menyaksikan dan sedang menyalurkan kekuatan kepada kita dari arah yang kita tidak tahu dan dari arah yang kita tidak perasan.

Percayalah, wahai sahabat. Allah SWT itu ada cara-Nya yang tersendiri.

Justeru, ketika terasa banyak kali jatuh dalam pada masa proses untuk berubah kerana Allah SWT; maka pilihlah untuk terus kuat kerana-Nya! Walaupun kita banyak kali melanggari taubat kita kepada Allah SWT, maka tetaplah bertaubat lagi dan lagi serta pasangkanlah keazaman dalam diri untuk menjauhi semua perbuatan yang tidak diredhai oleh Allah SWT. Allah SWT itu, memahami perjuangan kita. Allah SWT kenal dan faham diri kita melebihi ibu dan bapa kita mengenali diri kita, wallahi. Kita semua harus yakin tentang ini.

Campaklah Diri Di Depan Tuhan

Merelakan diri dicampak dihadapan Tuhan. Kedengaran kasar? No. Kerana bagi saya, mencampakkan diri dihadapan Allah SWT dengan melakukan solat taubat, melakukan perkara-perkara kebaikan serta melakukan semua suruhan Allah SWT itu bukanlah suatu kekasaran.

Kita mencampakkan diri kita, kerana kita rela dan redha untuk disucikan oleh Allah SWT. Kerana itu, wahai sahabat.. Kita perlu kuat untuk menerima setiap ujian dan dugaan yang datang dalam kehidupan kita. Meskipun kita ini tidak kuat, tetapi demi Allah, kita perlu kuat!

Bayangkan sahajalah begini. Kamu memasuki sebuah bilik yang gelap. Dan dalam bilik itu cuma ada kamu, dan sedikit cahaya dari luar yang masuk dari arah celahan batu atau kayu. Baik, ini adalah masa untuk kamu dan Allah SWT. Masa terbaik untuk meluahkan segalanya tanpa tertinggal apapun. Kamu mengakui apa-apa sahaja yang pernah kamu lakukan yang hanya kamu yang tahu. Kamu menangis sungguh-sungguh didepan Allah SWT sehinggakan mata kamu menjadi bengkak. Dan kamu meminta sungguh-sungguh!

Kamu mahu Allah SWT membantu kamu menjadi insan yang lebih baik, bukan?
Kamu mahu Allah SWT membantu kamu menjadi insan yang beramal soleh, bukan?

Wahai sahabat, ampunan dan rahmat dari Allah SWT itu.. Adalah dambaan kita semua. Dambaan saya, kamu, kamu dan kamu. Dambaan dia dan mereka. Allah Maha Pengampun, betul! Namun, tinggal sahaja kita untuk datang meminta-minta keampunan dari Allah SWT. Dan telah banyak firman-Nya dalam al-Quran mengatakan, bahawa Dia akan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang datang kepada-Nya mensucikan dirinya. Tabaarakallah! Bukankah itu khabaran gembira yang sepatutnya menggembirakan kita lebih dari segalanya?

“Maka Kami ampunkan kesalahannya itu dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).” (QS. Shad: 25)

Allahuakbar! Bukankah ini khabar gembira, wahai sahabat?
MashaAllah. Tabaarakallah.

Allah Akan Menerima Kita Yang Bersungguh

Suatu hari, semasa dalam kelas Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadis, Ustazah Siti Nora’Aeshah bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun dan menerima taubat hamba-hambaNya. Tetapi, para hambaNya-lah yang perlu datang kepada Allah SWT untuk meminta keampunan. Dan jika manusia datang kepada-Nya dengan sungguh-sungguh, Allah SWT pasti tidak akan menghampakan para hambaNya. Bahkan Dia memberi khabaran baik disisi-Nya.

Mungkin saya yang terlalu sentimental waktu itu. Tidak kisahlah.. Tapi sungguh, mendengar bahawa keampunan Allah SWT itu melebihi dosa-dosa para hambaNya, buat saya bergenang airmata. Dan saya katakan kepada diri sendiri, “Ampunan dari Allah SWT itu untuk semua. Dan aku akan khabarkan dan sebarkan kepada seluruh alam, ampunan Allah SWT ini melebihi apa yang ada di langit dan di bumi!” Mungkin kelihatan agak cliche, tapi sungguh, saya akan sebarkan ayat-ayat cinta dari Allah SWT.

Dalam sebuah hadis sohih, Rasulullah SAW bersabda, “Allah Yang Maha Tinggi berfirman: ‘Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada-Ku dan mengharapkan-Ku maka Aku akan mengampunimu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andaikata dosa-dosamu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada-Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada-Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui-Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan yang besamya seisi bumi seluruhnya.'”

Lutut saya melemah, wallahi. Betapa besarnya ampunan dari Allah SWT. Maka, masihkah kita meragui? Maka, masihkah ada ruang putus asa dalam jiwa kita? Maka apakah tika saat kita merasa lemah, kita terus memikirkan untuk berputus asa di pertengahan jalan?

Jangan, wahai sahabat. Jangan. Tapi, teruslah melangkah. Walaupun perit itu terasa. Kita semua sedang berjuang. Dan motivasi utama kita adalah Allah SWT. Kamu sedang berjuang di sana, orang lain juga sedang berjuang di tempat mereka, dan saya juga sedang berjuang memperbaiki diri sendiri. Antara hal yang kamu perlu tahu, dalam dunia ini; di mana-mana sahaja tempat, ada manusia yang sedang berjuang dengan dirinya sendiri. Dan untuk itu, kita perlu kuat kerana kita tahu kita tidak sendiri. Bukankah sepatutnya begitu?

Boleh saya genggam tangan kamu? Kita berjuang sama-sama.
Boleh?

Jangan putus asa,
kerana syurga Allah itu akan ada sentiasa!

Semoga Allah merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *