Menasihati Atas Kebenaran

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Walaupun suatu nasihat itu pahit untuk diperkatakan, tetapi wajib juga diluahkan.

Manusia itu, kadangkala memang ada saja hasrat hati atau teguran yang ingin disampaikan, namun tidak terluah kerana lebih memikirkan perasaan orang yang hendak ditegur. Apa lagi apabila ingin menegur atas suatu kenyataan atau kebenaran yang sudah dibatasi. Kadang-kadang terasa tersepit.

Lemah? Tidak. Cuma belum cukup kuat.

Antara menegur atau tidak, manusia sering dalam dilemma. Kalau ditegur, perlu menanggung risiko. Dan ada manusia yang tidak berani mengambil risiko tersebut. Kalau tidak tegur, maka orang yang hendak ditegur itu berkemungkinan akan lebih parah lagi keadaannya. Dan jika anda membiarkan, bermaksud anda mementingkan diri sendiri.

Sangat dilema bukan?

Mendahulukan Yang Haq

Situasi di atas memang berlaku kepada manusia. Diri seolah-olah tersepit. Namun percayalah, jalan yang terbaik adalah dengan memberanikan dan meringankan diri untuk menegur dengan teguran yang memang sudah anda atur dengan sebaiknya. Itu kewajiban. Sama ada manusia mahu terima atau tidak, maka itu bukan urusan manusia. Itu urusan ALLAh SWT. Anda menegur kerana mahu sama-sama disayangi ALLAh.

Mendahulukan yang hak. Apabila anda mungkin melihat kawan anda tersasar sedikit dari jalan yang lurus, anda sendiri cuba untuk menariknya semula ke jalan yang lurus. Tetapi, kenalah dengan strategi dan cara-cara yang disenangi oleh kawan tersebut.

Sudah lumrahnya pada jiwa yang lemah, apabila disampaikan suatu khabaran dari ALLAh, khabaran yang Haq, pasti akan dipersoalkan olehnya. Makanya, walau apapun yang cuba anda sampaikan, janganlah takut. Lebih-lebih lagi apabila apa yang anda sampaikan itu ada sesuatu yang Haq!

Apa itu Haq? Haq itu adalah kebenaran yang datang dari ALLAh!

Seperti anda dan juga saya, seperti syurga dan neraka, seperti dosa dan pahala, seperti malaikat dan Iblis. Semuanya adalah Haq ALLAh, yang ALLAh khabarkan kepada manusia. Makanya, semua itu tidak boleh diragui kebenarannya oleh kita sebagai manusia yang kerdil.

Nah, apabila anda mengamalkan amal ma’aruf nahi mungkar, bermakna anda telah melaksanakan haq ALLAh SWT. Jangan sekalipun terdetik dihati anda untuk meragui.

Sahabat, bukan sedikit bukti kebenaran yang telah terpampang di dada sejarah dunia. Yang dimana, yang Haq pasti akan mengalahkan yang batil.

ALLAh tunjukkan saya pada kalamullah ini,

“Kebenaran itu dari Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali engkau termasuk orang-orang yang ragu.” al Baqarah : 147

Maka tidak pantas seorang manusia yang beriman meragui semuanya.

Jika anda katakan anda merasa susah, maka saya juga sedang mencuba. Mari!

Menjauhi Kebatilan Akan Membuka Mata Hati

Saya pernah bertanya kepada Ustaz saya,

“Ustaz, batil tu apa?”

“Segala yang menyalahi haq ALLAh dan haq manusia. Erm, senang cerita segala kejahatanlah!”

“Oh, kalau tinggal solat, derhaka pada mak ayah, mencuri dan membuat syirik termasukkah, Ustaz?”

“Na’am. Dan kamu perlu jauhinya. Dosa besar.!”

Akal yang sihat, yang sedaya upaya melaksanakan kebaikan dapat bimbingan Ilahi. Yang mampu melihat kebenaran itu sebagai kebenaran dan kesalahan itu sebagai kesalahan. Maka, manusia yang tahu sesuatu sebagai kebenaran, dia akan ikut dengannya. Begitu juga sebaliknya, jika manusia mengetahui sesuatu itu adalah kejahatan, maka manusia akan cuba menghindarinya.

Ya, cuba menghindarinya. Dan pastinya, manusia itu adalah anda yang sedang membaca ini.

InshaALLAh.

Anda tahu, jika anda mempunyai akal yang sihat yang dimana dapat membezakan kebenaran dan kebatilan, maka anda sebenarnya telah mendapat pemberian atau anugerah dari ALLAh SWT. Tidak semua manusia hatinya terbuka untuk melihat kebenaran. Malah menganggap kebatilan itu adalah kebenaran dimata mereka.

Maka, sebab itulah kenapa anda masih hidup. Anda ada untuk membantu mereka.

Jadikan Kebenaran Sebagai Tali Anda Berpegang

Tali? Eh, macam mana tu?

Erm, andaikan saja begini. Anda mendaki sebuah gunung. Dan tali panjang disediakan untuk anda pegang ketika tidak jauh lagi perjalanan untuk ke puncak dan panjangnya hinggalah ke puncak gunung tersebut. Tali itu adalah sebagai alat anda untuk terus kukuh agar tidak jatuh ketika mendaki sebuah gunung yang tinggi. Anda sudah ada kompas, anda sudah ada bekalan makanan dan peralatan yang lain-lain. Tetapi jika anda melepaskan tali ditangan anda dan cuba berjalan tanpanya, anda mungkin akan terjatuh dan mati.

Maka dengan itu, anda berpegang pada kebenaran! Seluruh jiwa anda.

Setelah mata hati dapat menyuluh hakikat kebenaran, maka dapatlah kita menjadikan ianya sebagai panduan hidup. Yang mana baik boleh dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Sehinggalah kebenaran itu menjadi ibarat darah yang mengalir didalam tubuh anda.

Kebenaran menjadi asas perjuangan berdakwah, menyeru manusia ke jalan kebenaran.

Apabila kebenaran dipraktikkan dalam kehidupan, barulah mudah bagi manusia berbicara soal kebenaran kepada manusia yang lain, InshaALLAh.

Apa-apa sahaja yang dilakukan oleh manusia untuk menyeru manusia lain ke jalan ALLAh, adalah usaha. Dan manusia hanya mampu berusaha dan berusaha. Untuk memberikan hidayah ke dalam hati manusia lain, manusia biasa takkan sesekali dapat melakukan itu.

Kita berusaha, ALLAh tentukan yang lainnya.

Oleh itu, jangan kecewa apabila kebenaran yang cuba anda bawa kepada kaum keluarga, sahabat dan rakan-rakan yang lain ditolak mentah-mentah malah diperlekehkan.

Mereka tidak tahu. Maka anda perlu sentiasa ada!

Menasihati atas kebenaran. Sangat susah?

Hei sahabat! Anda tidak sendirian. Di jalan ini, masih ada sahabat yang lain seperti kamu. Di jalan ini juga para Nabi dan Rasul menanggung segala kesakitan. Namun, ALLAh berikan ganjaran yang besar kepada mereka.

Jadi, mengapa tidak kita berusaha untuk meraih perhatian ALLAh?

Anda tidak sendirian. Saya juga antara orang yang memerlukan anda.

Jika terasa lemah, maka isikanlah lagi minyak kekuatan iman! Mari, kita bersama!

Hendak berjiran di syurga dengan anda semua. Boleh?

Semoga ALLAh merahmati.

4 thoughts on “Menasihati Atas Kebenaran

  1. salam.
    post yang bermanfaat.
    keep up the good work 🙂
    saya nak minta pandangan.
    macam mana nak nasihatkan kawan tentang couple?

      (Quote)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *