Membaca Lembaran Dunia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan!

Dunia ini ibarat sebuah buku.

Ada manusia yang membacanya, kemudian mengambil ibrah daripadanya dan belajar mengenai sesuatu lalu mempraktikkan apa yang telah dijadikan pengajaran dan juga yang telah dicop sebagai sempadan.

Ada juga yang membaca dari awal sampai akhir, tapi hanyalah sekadar membaca. Jalan cerita yang melekat dijiwa hanyalah bahagian yang seronok-seronok saja sehinggalah lupa pada bahagian yang penuh sengsara. Yang dimana, bahagian kesengsaraan itu sebenarnya banyak mengajar manusia erti hidup dan kekerdilan diri.

Semuanya terpulang kepada pembaca.

Mengamati Lembaran Kehidupan

Semasa lahir, disambut dengan kegembiraan walaupun sewaktu kelahiran itu sebenarnya kita sudah menyusahkan Ibu kita dengan segala kesakitan dan ketidakselesaan sepanjang kehamilan. Dan apabila waktunya tiba kelahiran, sekali lagi sang Ibu dalam kesakitan. Malah, bertarung antara hidup dengan maut yang bila-bila sahaja datang menjemput dengan izin ALLAh Ta’ala.

Anggaplah ketika itu adalah awal lembaran kehidupan yang menggembirakan diri anda. Tetapi merupakan antara lembaran hidup yang menyakitkan bagi Ibu anda.

Masa pantas berlalu, bayi kecil itu membesar, menjadi dewasa. Sepanjang perjalanannya menuju kedewasaan, banyak sungguh pengalaman yang terakam di kotak memori. Ada yang suka, malah ada juga yang duka!

Manusia dilahirkan dengan latarbelakang yang berbeza-beza. Ada manusia yang berasal dari keluarga yang berada, juga ada manusia yang berasal dari keluarga yang sederhana dan susah. Memang berbeza. Namun semuanya mengajar manusia untuk menjadi manusia sebenarnya.

Jika seseorang membaca sebuah novel yang mencatatkan perjalanan kehidupan seseorang yang susah dan penuh onak duri, saya jamin, pasti ramai dikalangan pembaca akan punya keyakinan bahawa kesusahan yang dialami oleh sesebuah watak dalam novel itu akan berakhir dengan kebahagiaan walaupun si pembaca belum membaca sehingga akhir. Si pembaca meramal dengan penuh keyakinan.

Senyum.
Itu cerita dalam novel. Sungguh mengasyikkan jiwa manusia, kan.

Tetapi, berapa ramai manusia yang berhadapan dengan kesulitan di alam realiti akan mempunyai pemikiran yang sama seperti semasa membaca novel yang merakamkan suka dan duka sesebuah watak? Tidak ramai, bukan?

Bukti manusia jarang bersyukur!

Selalu sangat manusia itu tidak menghargai dan membelek lembaran hidup sendiri, sebaliknya lebih menghargai dan menekuni serta mengamati kehidupan orang lain. Sedangkan sebenarnya, rahmat ALLAh itu ada dalam setiap kehidupan setiap manusia.

Bersyukurlah dengan apa yang ALLAh bagi sebagai pengalaman. Tidak salah untuk mengambil ibrah dari kehidupan orang lain, tapi jangan sampai tidak mensyukuri diri sendiri. Tabarakallah~

Mengakhiri Pembacaan Dengan Kepuasan

Membaca buku sehingga khatam dengan kepuasan, sangat menggembirakan.
Jadi, bagaimana sebenarnya kehidupan yang kita ada ini berakhir dengan sepatutnya?

Pilihan ditangan manusia.

Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia sangat bertuah. Menjadi pilihan ALLAh Ta’ala untuk dilantik menjadi khalifah. Patutkah kehidupan kita ini berakhir sekali lagi dengan kesengsaraan sekali lagi? Dengan kesengsaraan sang ibu yang pernah melahirkan kita berbelas-belas atau berpuluh tahun yang lalu?

Semua manusia menginginkan pengakhiran hidup yang baik. Tiada siapa mahu hidupnya berakhir dengan kesengsaraan ketika menghembuskan nafas terakhir. Nah, itu ketika menghembuskan nafas terakhir. Perjalanan di alam kubur, belum terhitung lagi.

Hidup ini, memang perlu sentiasa ingat MATI.

Kadangkala, manusia perlu membaca lembaran awal kehidupan sekali untuk mendapat dorongan kehidupan akhir yang lebih baik disamping berusaha untuk menempatkan diri sendiri dalam keadaan yang tidak menjanjikan kerugian walaupun sebenarnya keputusan mengenai itu bukan manusia yang tentukan.

Permulaan hidup yang sengsara, tidak semestinya perlu berakhir dengan kesengsaraan. Dan begitu juga sebaliknya. Kita semua sentiasa punya pilihan.

Keyword : Pembaca Yang Bijak!

Membaca lembaran dunia memang mematangkan manusia. Manusia akan membesar dengannya tanpa disedari. Buku yang bertajuk ‘dunia’ itu perlu dikhatamkan dengan baik. Sebab, satu hari nanti bila tiba waktunya seperti yang ALLAh tetapkan, buku dunia itu akan musnah. Tiada cetakan kali kedua.

Maka, hargainya.
Hei kamu! Ingat, saya dan anda semua adalah pembaca.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *