Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Memandang Dengan Kasih Sayang

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Credit Picture : http://www.graphics99.com/

Credit Picture : http://www.graphics99.com/

Jadi, boleh kita bercakap perihal pandangan? *tiba-tiba*

Mata adalah organ yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Tanpa mata, dunia seseorang akan menjadi gelap. Bahkan, tidak terkejut jika kita terdengar mana-mana yang mengatakan bahawa seseorang mungkin akan merasai telah kehilangan kehidupan apabila matanya rosak tidak dapat melihat.

Tidak perlu melihat jauh. Melihatkan kepada diri saya sendiri, dimana nikmat sihat untuk melihat itu telah ditarik sedikit oleh Allah, maka saya memahami macam mana rasanya melihat dalam keadaan rabun tanpa memakai cermin mata atau kontek lens. Maka, apatah lagi orang yang kehilangan nikmat penglihatan. Namun Allah Ta’ala sebaik-baik perancang.

Memandang orang lain dengan pandangan teduhan kasih-sayang, yang mana pandangan tersebut ditujukan pada hati dan mengajaknya berbicara melalui kelembutan akhlak yang indah. Mata adalah satu medium yang penting, bahkan menjadi wasilah yang sangat diperlukan para du’at kepada mad’unya. Sentiasa memandang dengan cinta!

Dapat?

Pandangan Adalah Pintu Hati

Dulu-dulu semasa masih muda dan segar, semasa masih dahaga dan haus mencari sinar (ya Allah, betapa aku rindu!), di saat hati masih lembut dan lut sinar dengan sentuhan tarbiyah daripada Allah Ta’ala.. Seorang ustazah yang datang memberikan ceramah di dalam program tersebut, berkata kepada diri ini..

“Jangan biar hati kotor ya? Allah pilih sudah ni. Allah sayang!” Kata beliau. Dan saya tidak mengerti. Hanya terpinga-pinga. Dalam hati, ustazah ini sudah kenapa?

Dan sekarang, lewat-lewat tahun yang dilalui, mungkin saya agak memahami apa yang telah dikatakan oleh beliau. Mungkin, dalam pemahaman saya sendiri.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa apabila seseorang itu memandang orang lain atau saudaranya dengan pandangan yang penuh kasih-sayang, maka dia sebenarnya telah membuka pintu kecintaan yang penuh ketelusan. Mahu tidak mahu, menjadi seseorang yang mahu dicintai dan disayangi oleh Allah SWT, perlu menyayangi dan mencintai orang lain. Dan perasaan itu hanya akan hadir apabila kita memandang orang-orang di sekeliling kita dengan pandangan kasih sayang. Sentiasa berusaha untuk bersangka baik sesama manusia.

Setidak-tidaknya, jika diri kita masih tidak mampu maka janganlah memandang orang-orang di sekeliling kita yang kita tidak tahu kisah dirinya, dengan pandangan penuh curiga dan syak wasangka. Kerana sifat yang begitu syaitan sangatlah suka. Na’udzubillah!

Jika timbul perasaan yang begitu, maka segeralah ingatkan diri sendiri.. Siapalah kita sebelum hari ini? Siapalah kita sebelum diciptakan? Bercakap soal siapalah kita ini, saya teringat firman Allah SWT yang ini,

“Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dalam keadaan tidak mengetahui suatu apapun dan Dia memberi kepada kalian pendengaran, penglihatan dan hati agar kalian bersyukur!” (Surah an-Nahl : 78)

Saya sangat percaya, apa yang disembunyikan di dalam hati itu..
Boleh tersingkap melalui pandangan mata. Percaya?

Orang mungkin akan berkata, “Mengarut je Suhana ni!” Mungkinlah, mungkin. Tapi saya sendiri pernah berjumpa dengan beberapa orang yang apabila mereka memandang orang sekeliling mereka, terpancar daripada teduhan mata mereka itu, suatu teduhan yang membuatkan hati kita merasa dekat dengan jiwa mereka.

Wujudkah orang yang begitu? Yes!

Kita kena percaya, di dalam dunia ini.. Masih ramai orang yang baik-baik. Yang baiknya mereka tanpa bersyarat keduniaan. Tanpa terlebih dahulu memandang ganjaran dunia, hanya mengharapkan keredhaan Allah Ta’ala.

Cinta Itu Bukan Satu Bentuk Sahaja

Memetik kisah Rasulullah SAW, betapa baginda sentiasa mempamerkan akhlak yang baik. Sentiasa mempamerkan keindahan hatta dalam bentuk pandangan. Pandangan daripada Rasulullah SAW, seakan-akan memberikan ketenangan ke dalam hati orang.

Diakhir-akhir hayat Rasulullah SAW, saat baginda tidak dapat melangkah ke masjid dek kerana keuzuran.. Kaum muslimin ketika itu solat tanpa berimamkan baginda SAW. Namun selepas itu, ada sesuatu yang menggembirakan mereka sehingga mereka merasakan bahawa Rasulullah SAW sudah sembuh dan pulih sepenuhnya.

Di saat baginda SAW membuka tirai dari rumah baginda dan memandang jemaah muslimin dengan tersenyum kepada mereka. Padahal waktu itu, Rasulullah SAW sedang sakit.

“So Suhana.. Apa kaitan cerita tadi, huh?!”

Okey. Kaitannya adalah bagaimana pandangan Rasulullah SAW itu memberi kesan kepada para sahabat dan seluruh jemaah yang hadir untuk menunaikan solat pada waktu itu. Bagaimana rasa kecintaan baginda SAW yang memandang dengan penuh erti sehingga memberi kelegaan di dalam hati sahabat-sahabatnya. Dapat?

Kamu tahu, kawan.. Cinta tidak semestinya cinta diantara lelaki dan perempuan sahaja. Kenapa menyempitkan maksud keluasan cinta yang Allah Ta’ala berikan? Sedangkan kehidupan kita ini adalah suatu cinta yang perlu kita nikmati sungguh-sungguh.

Jadi mengapa kita,
tidak boleh menjadi orang yang mencintai?

Hatta melalui teduhan pandangan sahaja pun, sudah boleh menjadi petanda untuk mengetahui sedikit rasa hati seseorang. Maka kita yang mengaku mencintai Allah Ta’ala ini, perlulah menyebarkan perasaan cinta itu sebagaimana kita mahu Allah Ta’ala mencintai kita.

Make sense right?
Win-win situation, I guess. Smile.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *