Memahami Putaran Hidup Dunia

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Pergolakan hidup menegakkan darjat manusia

Pergolakan hidup kita dengan serba kekurangan dan kelemahan dalam banyak keadaan menyebabkan kita memandang masa depang kita tidak secerah masa depan orang lain. Diri kita tidak bertuah seperti orang lain. Fikiran yang jernih itu, mula dikelabui prasangka yang bukan-bukan. Jiwa menjadi resah, bimbang dan sedih mengenangkan keadaan hidup yang kita sangka tidak akan berubah sampai bila-bila.

Terasa apa yang Tuan Punya Dunia berikan itu, tidak adil!

Namun, inilah hakikat kehidupan. Proses dalam kehidupan itu sering ditempuhi seiring dengan peningkatan umur yang semakin singkat. Pelbagai tingkatan ujian yang ditempuhi satu persatu. Itu lumrah.

Semua manusia akan mengalaminya.

Disebalik Tingkatan Ujian, Ada Kemuncak Kebahagiaan

ALLAh Ta’ala itu Maha Kaya dan Maha Adil.

Jiwa dan fikiran kita tidak seharusnya kusut dan berduka memandang masa depan dan keadaan hidup kita. Kerana disebalik semua yang terjadi, terdapat ketentuan yang bersilih ganti dalam keadaan hidup manusia yang telah diatur oleh-Nya.

Saya teringat firman Allah Ta’ala,

“Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.” – ali ‘Imran : 140

Dimana dalam kehidupan ini, jelas pasti ada turun dan naiknya!

Maka bermakna setiap dari kita ini tidak akan terlepas dari melalui satu proses putaran kehidupan. Mungkin hari ini kita gembira, hari lain kita akan bersedih. Mungkin hari ini kita tidak mengendahkan orang lain, hari yang lain pula kita tidak diendahkan oleh orang sekeliling.

Orang yang miskin akan bertukar menjadi kaya. Orang yang lemah bertukar menjadi orang yang kuat dan tabah. Orang yang duka akan bertukar menjadi bahagia.

ALLAh Ta’ala Sangat Seimbang

ALLAh Ta’ala yang Maha Adil tidak akan mensia-siakan doa, harapan dan usaha kita. Akan datang pada suatu hari dan saat ketika yang sesuai, keadaan hidup kita akan berubah menjadi lebih baik. Itulah janji dan pesanan sayang daripada ALLAh Ta’ala kepada kita. Kalau pun sekarang hidup kita berhadapan dengan masalah; dengan manusia, sesama sendiri, lemah dan tidak sebahagia orang lain, tapi percayalah dan pujuklah hati;

Masa depan yang cerah tetap ada asalkan kita tidak berhenti daripada terus berusaha, berusaha dan berusaha serta berdoa memohon kemurahan ALLAh Ta’ala.

Jika kita benar-benar mengerti,
maka jiwa akan terpujuk untuk menjadi lapang. Bi idznillah~

Semoga ALLAh merahmati.

2 thoughts on “Memahami Putaran Hidup Dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *