Blog Cinta Ilahi Rotating Header Image

Masalah al-Akhi Dan al-Ukhti

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Tiada masalah kau aktif di medan tarbiyah, itu mulia. Tapi jangan kau ketepikan keredhaan orang tua, kerana itu syurga. Credit Picture : http://blackjack0919.deviantart.com/

Tiada masalah kau aktif di medan tarbiyah, itu mulia. Tapi jangan kau ketepikan keredhaan orang tua, kerana itu syurga.
Credit Picture : http://blackjack0919.deviantart.com/

Menjadi seorang yang semangat dalam dunia dakwah dan tarbiyah itu adalah suatu perbuatan atau keinginan yang mulia. Secara automatiknya, cerna dengan masalah ummah. Peduli dengan penyakit dan keadaan ummah. Sehingga jiwa menjadi berkobar-kobar untuknya.

Segala puji dan puja bagi Allah, Allah jua yang mengizinkannya.

Saya pernah menerima emel yang bertanya macam mana hendak approach ibu bapa yang tidak pernah berada dalam dunia DnT untuk tidak bersikap radikal terhadap anak-anak yang mengikuti program-program dakwah? Atau untuk duduk dalam majlis-majlis ilmu?

Berkawan dengan ramai kawan, yang datang dari latar belakang yang pelbagai, saya memahami permasalahan ini inshaAllah. Biasanya masalah begini dialami oleh seorang individu yang tidak berasal dari keluarga yang aktif dalam pentas dakwah tapi disapa oleh hidayah Allah untuk buat lebih dalam agama. Dan akhirnya keluarga melarang itu dan ini, kerana bimbang anaknya terikut dengan ajaran-ajaran sesat di luar sana.

Ataupun ibu bapa akan melarang anaknya untuk jangan ambil tahu atau sibuk hal orang lain dengan berdakwah di sini dan di sana. Katanya, jaga hal sendiri cukup. Atau ibu bapa akan menghalang anaknya untuk memberikan komitmen dalam dakwah.

Tapi setujukah jika saya katakan bahawa, kadang-kadang si anak itu juga ada masalahnya tersendiri yang menyebabkan kedua orang tuanya menjadi sebal walaupun si anak itu aktif dalam dunia dakwah? Wujud pulakah masalah sedemikian rupa, huh?

Ya, wujud.

Ibu Bapa Tidak Memahami al-Akhi dan al-Ukhti

Menjadi seorang anak yang kemahuannya ke arah kebaikan tetapi sentiasa dihalang oleh kedua orang tua, sangat menghadirkan keluhan di jiwa. Adakalanya apabila meminta izin untuk menghadiri majlis-majlis ilmu, menghadiri seminar atau ceramah, bahkan untuk solat di masjid juga adakalanya dihalang dengan pelbagai alasan. Niat untuk memberikan komitmen dalam agama kerana mahukan kebaikan buat diri sendiri termasuk keluarga, seakan-akan tidak direstui. Bukannya perkara yang tidak baik, walhal!

Semua itu, membuatkan jiwa mengeluh.

Ibu bapa tidak memahami kehendak al-akhi dan al-ukhti, hanya tahu menghalang dan menghalang. Sehingga akhirnya perkara tersebut memberikan kesan dalam hubungan kedua orang tua dan si anak, yang mana berlaku pemboikotan dalam diam.

Percaya?

Si ibu bapa itu tidak lain tidak bukan bimbang anaknya akan terjerumus pada ajaran yang bukan-bukan sehingga nanti akan menyesatkan anaknya. Takut juga kalau-kalau anaknya nanti mengaku diri adalah Tuhan pula (haha)! Walaupun si ibu bapa itu bukanlah orang yang aktif dalam dunia dakwah, tapi mereka tahu ajaran-ajaran sesat di luar sana.

Ada juga kes di mana anaknya yang dahulu mat rempit, minah gamer, coach potato, yang penampilannya tidak menutup aurat, yang tidak pernah mengaji.. Akhirnya menjadi seorang yang berpakaian sempurna, dan kini ditambah pula dengan alunan mengaji siang dan malam oleh anaknya itu. Maka walaupun jiwa gembira, ibu manakah yang tidak hairan melihat sikap anaknya yang seakan-akan kena tampar oleh malaikat itu (hihi).

Akhirnya al-akhi dan al-ukhti tadi memberontak dalam diam. Kata mereka, ibu bapa tidak memahami mereka. Ibu bapa berhaluan kiri! Ibu bapa tidak mendapat hidayah Allah!

Astaghfirullah! Bertenanglah, wahai al-akhi dan al-ukhti.

Tenangkan diri dan refleksi diri semula. Apakah sebab utamanya yang menyebabkan ibu bapa itu menghalangi niat baik kita? Adakah kerana ada sikap kita yang menyebabkan ibu bapa kita menjadikan itu sebagai alasan sampingan untuk tidak membenarkan kita membuat perkara-perkara kebaikan yang berkaitan dengan dakwah?

Cuba muhasabah diri kembali. Ada tidak?

Ini Masalah al-Akhi dan al-Ukhti

Saya sebenarnya hendak tergelak sambil menaip di depan laptop sekarang. Betapa sebenarnya kita sebagai seorang anak, kurang menyantuni kedua ibu bapa kita. Dan kita cepat sahaja dapat detect kekurangan mereka, walhal diri kita sebenarnya penuh rongak.

Kalau tadi kita berbicara soal ibu bapa yang tidak memahami, maka percayakah anda jika saya katakan bahawa si anak yang merupakan al-akhi dan al-ukhti tersebut juga sering membuat masalah sehingga adakalanya mengguris perasaan ibu bapa.

Apa masalah al-akhi dan al-ukhti?

Masalahnya adalah, seringkali terjadi apabila ibu bapa meminta pertolongan daripada al-akhi dan al-ukhti dalam hal-hal rumah dari mengemas rumah, sapu rumah, basuh baju, pergi kedai beli belacan sehinggalah susun selipar di muka pintu, al-akhi dan al-ukhti ini sungguh malas untuk membantu. Bahkan bantu memasak di dapur juga malas!

Tetapi apabila ada panggilan dari rakan-rakan sejemaah atau rakan-rakan sejemaah memohon pertolongan, cepat sahaja al-akhi dan al-ukhti memberikan pertolongan walaupun bersusah-payah. Itu tidak termasuk menyertai rihlah atau jaulah yang memenatkan, cepat sahaja al-akhi dan al-ukhti ini setuju untuk menjadi salah seorang ahli dalam jaulah tersebut. Bahkan mengikuti program 5 hari 5 malam yang sudah terang-terang memenatkan dan penuh dengan rasa ketidakselesaan sepanjang program. Ataupun macam-macam lagi aktiviti yang cepat sahaja al-akhi dan al-ukhti menyertainya, yang penting, bersama-sama dengan rakan-rakan sejemaah. Yang mana akhirnya pada pandangan kedua orang tua kita, sebenarnya apa yang kita buat semua itu tidak berguna.

Ha.
Nampak tidak permainan di situ?

Kenapa? Kenapa? Kenapa? Jawab, sila.

Kalaulah begitu keadaannya, lagi mahu tanya kenapa ibu bapa bersikap menghalang?

Kawan, kamu tahu? Sebenarnya ibu bapa menghalang faktornya 100% bukanlah kerana apa aktiviti yang kita lakukan. Tetapi kerana sikap kita yang berbeza dalam menyantuni kedua orang tua kita, berbanding dengan cara kita menyantuni rakan-rakan kita.

Somehow I can say that, ibu dan bapa al-akhi dan al-ukhti terasa hati dengan sikap dan perbuatan al-akhi dan al-ukhti. Yang pada mulanya ibu bapa tidak faham, akhirnya bertambah tidak faham dan keliru dengan perangai al-akhi dan al-ukhti yang seakan-akan mempunyai dua perwatakan yang berbeza. Tentu sahaja ibu bapa al-akhi dan al-ukhti seakan-akan memusuhi segala aktiviti al-akhi dan al-ukhti itu.

Jangan menidakkan. Sebenarnya sehingga sekarang, masih banyak kes-kes seperti ini terjadi dalam kalangan muda-mudi yang terlibat dalam jalan dakwah.

Bukankah sebenarnya kerja dakwah yang dilakukan itu sebenarnya pincang, apabila orang lain kita dapat santuni dan sedaya upaya memberikan pertolongan, tetapi jika datang pada waktunya ibu bapa kita memerlukan pertolongan dari kita, kita bahkan menolak?

Saya hendak bertanya, jika kita berada di tempat kedua orang tua kita itu. Maka apa perasaan kita? Sedih? Marah? Sakit hati? Yes, kita akan sakit hati dengan perbuatan anak kita. Dan tidak hairanlah sekiranya ibu bapa menghalang kita untuk join apa-apa program luar. Disebabkan mereka merasa bahawa program-program luar ‘merampas’ anak mereka.

Ditambah pula dengan perasaan bimbang dan khuatir kalau-kalau anaknya mungkin nanti akan tersalah langkah selain sikap anaknya yang pelik terhadap kedua orang tua, maka what do you expect from them, buddy? Cubalah cari jalan penyesalaian, al-akhi dan al-ukhti.

Berakhlak Mulialah al-Akhi dan al-Ukhti

Masalahnya sebenarnya, bukan pada dakwah yang digalas.
Bukan.

Jika perangai al-akhi dan al-ukhti berterusan seperti di atas, maka tidak mustahil nanti pada suatu hari, ibu dan bapa kita itu akan bertanya sinis seperti ini,

“Inikah cara orang-orang dakwa menyantuni ibu bapa?”
“Macam ni ke kononnya orang yang nak berdakwah?”

Zretttttt! *terhiris dan terkoyak*

Cuba bayangkan, jika seorang anak itu sangat menyantuni kedua ibu bapanya. Bercakap dengan bahasa yang lembut, berakhlak terpuji, baik dengan semua orang termasuk keluarganya, ringan tulang membuat kerja-kerja di rumah. Meringankan bebanan si ibu dengan membasuh baju ahli keluarga, menyapu rumah tanpa disuruh. Maka, bukankah perkara-perkara tersebut boleh mendatangkan pandangan positif terhadap si ibu kepada al-akhi dan al-ukhti sendiri? Bahkan tidak mustahil, si ibulah pendorong utama kepada al-akhi dan al-ukhti.

Si bapa pun menjadi sejuk hati. Bahkan tidak mustahil si bapa akan merestui segala apa yang al-akhi dan al-ukhti lakukan, selagi mana apa yang hendak dilakukan itu adalah kebaikan.

Dalam hal sebegini, kita semua perlu ada peranan menunjukkan bahawa dakwah itu sebenarnya tidak membuatkan seseorang atau seorang anak itu meminggirkan keluarganya. Bahkan dakwah itu sepatutnya menunjukkan bahawa, keluarga adalah menjadi keutamaan selain daripada dakwah. Bukankah seharusnya begitu?

Jika ditanyakan apa solusi terhadap permasalahan ini, maka jawapan saya masih tetap sama. Periksa kembali hubungan kita dengan keluarga. Apakah terdapat keretakan disebabkan oleh diri kita sendiri atau tidak?

Jika ya, maka perbaikilah. Jika tidak, maka teruslah menyantuni keluarga.

Jalan dakwah bukan senang. Dugaan akan datang daripada pelbagai arah, hatta daripada keluarga sendiri. Namun berakhlak mulia terhadap keluarga, itu juga adalah dakwah!

Kadang-kadang kita ini, terlalu asyik keluar dari rumah untuk berdakwah di sana sini, siang dan malam. Tetapi kita terlupa sebenarnya, yang di rumah kita itu, ada yang kita terlupa. Kita asyik berdakwah di luar, sehingga kita terlupa bahawa ada hak yang kita terlupakan.

Kita sama, kawan. Masih belajar.
Maka belajarlah lagi. Hatta kita sudah berlari.

Senyum.
Dan sayang.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *