Makin Tahu, Makin Takut

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Semakin banyak tahu, manusia akan semakin takut. Yes?

Hari berganti hari, peristiwa demi peristiwa yang berlaku mengajar manusia sesuatu yang baru. Pengetahuan dan pengalaman, sudah semestinya. Seiring dengan itu, otak ligat berfikir menghadam ibrah setiap kejadian. Sebelum mahu pun selepas. Disinonimkan pula dengan kehendak dan kondisi jiwa, akhirnya akan menemui sesuatu, mungkin.

Mungkinkah sesuatu itu perasaan ‘takut’?

Perasaan takut yang membawa perkhabaran bahawa dalam hidup ini, telah banyak masa yang telah terbuang dengan begitu sahaja. Dan masih banyak amanah yang belum dijalankan dengan sebaiknya. Dan masih sangat sedikit pengetahuan mengenai hakikat kehidupan di dunia dan akhirat sebagai abdillah.

Saya kira, perasaan takut itu ada pada orang yang berfikir.

Peringatan Demi Peringatan

Kata orang, jauh perjalanan, luas pengalaman. Betullah tu. InshaAllah ilmu juga akan makin bertambah seiring langkah demi langkah seseorang. Semakin banyak langkah yang diatur, semakin terbuka jendela penglihatan dunia. Zaman kini dan zaman lampau. Juga mengintai seksaan dan keindahan zaman yang kebanyakan manusia beriman dengan kewujudannya, syurga dan neraka.

Suatu hari, seseorang pernah ditanya sesuatu. Bagaimana mahu sentiasa memastikan yang seketul hati ini sentiasa mengarah kepada kebaikan, maka seseorang itu menjawab. Berjalanlah semampu mana di bumi ALLAh Ta’ala ini dan ambillah pengajaran disetiap kejadiannya dengan cara mengkaji dan mengkaji. Dan belajarlah dengan orang-orang yang alim dan faqih.

Dengan ilmu itu, manusia akan mengenal hakikatnya. InshaAllah jika sekiranya niat untuk mahu tahu dipaksikan kepada Yang Maha Satu.

Ya, saya kira mungkin senang untuk ditaip. Tetapi perlaksanannya menuntut beberapa pengorbanan. Dan pengorbanan itu juga adalah hakikat. Tahu akan pengorbanan, menjanjikan ketidakselesaan yang mungkin bertentang dengan keinginan jiwa. Lagi-lagi jiwa remaja.

Hari ini, saya diingatkan. Senyum.

Semakin melangkah, semakin banyak yang dipelajari, semakin banyak hakikatnya yang tidak diketahui. Dan perasaan itu menimbulkan perasaan takut.

Perasaan takut yang mengkhabarkan bahawa diri sangat jahil.
Dan seketika tersedar, kejahilan itu tidak akan membuahkan sebarang perbuatan yang diredhai oleh ALLAh Ta’ala sekiranya tidak berusaha dan tamak akan ilmu. Lagi dan lagi.

Bersendirian di suatu sudut, duduk sendiri. Mengharap bahawa ALLAh Ta’ala akan memandu setiap perbuatan seiring dengan keredhaan-Nya.

Ya ALLAh, janganlah kiranya Engkau menyerahkan diri kami ini kepada kami semata-mata hatta sesaat cuma. Datangkanlah ilham dari-Mu di setiap langkah kami agar kami tidak termasuk orang-orang yang sesat.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *