Lukiskan Motivasi Dalam Hidupmu!

Assalamu’alaikum w.b.t

Cairan keindahan di dunia itu banyak, ambillah sebahagian dan serikan kehidupanmu! :)
Cairan keindahan di dunia itu banyak, ambillah sebahagian dan serikan kehidupanmu! 🙂

Saya menulis entri ini pada pagi 9 Disember 2015, bersamaan dengan hari Rabu.

Seawal mungkin dimaklumkan bahawa pemilik blog ini suka bercakap perihal motivasi, adakalanya melankolik, juga banyak waktu hatinya selalu saja cair akan kisah-kisah yang remeh. Hanya orang yang sabar sahaja boleh mendengarkan cerita-cerita dari pemilik blog ini. Kerana, siapa lagi mahu memotivasikan diri kita kalau bukan kita sendiri mencari motivasi tersebut, bukan?

Tidak terlambat untuk bertanya khabar kalian, yang menjadi kecintaan Tuhan. Apa khabar anda di sana yang sedang membaca dan berkeliaran di dalam blog ini? Sebagai seorang manusia yang sedar hakikat kehidupan, doa dari saya semoga dipermudahkan tiap-tiap urusan dari kita semua.

Banyak hal yang telah berlaku dan bakal berlaku dalam kehidupan kita. Realiti hidup di dunia, haruslah ada cubaan dan dugaan tiap-tiap dari sesuatu yang Allah SWT kehendaki, betul? Dan kita sebagai manusia, tetap menjadi seorang manusia yang menjadi kecintaan Allah SWT walau berapa juta kali jiwa kita telah dan bakal memberontak. Singkap sesuatu, kita perlu tempat bergantung.

DIA, Allah.

Di Dunia Bersilih Ganti

Berada di dunia, kita akan berdepan dengan sesuatu yang sukar dijangka. Baik dalam kehidupan peribadi, pelajaran mahu pun pekerjaan. Kalau tadi kita tenang-tenang sahaja, tiada siapa boleh jamin bahawa sesaat dari sekarang kita masih tenang. Boleh jadi juga tiba-tiba muncul masalah dari mana-mana sudut dan membuatkan kita tidak boleh tenang.

Kalau semalam kita tersenyum, ketawa dan gembira. Kita tidak boleh menjamin pun bahawa hari ini kita masih tetap tersenyum dan ketawa. Menandakan apa? Menandakan bahawa kehidupan ini penuh dengan sesuatu yang tidak dijangka. Datang dan pergi. Pergi dan datang kembali.

Maka begitulah kehidupan. Bila ada bahagia, nanti ada derita. Bila ada gembira, nanti ada duka. Bila ada senang, akan muncul susah. Bila rasanya tenang, ada juga resah. Pendek kata, Allah SWT menjadikan kehidupan di dunia ini tidak terletak pada satu sisi sahaja. Melainkan Allah SWT menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan pasangannya untuk keseimbangan dalam kehidupan kita.

Dapat tangkap tak?

Saya jadi ingat sangat pesanan nenek saya ni, “Janganlah fikir pasal masalah sangat. Nanti masalah tu akan berlalu!” Semestinya, bukanlah maksud nenek saya itu langsung tidak mencari jalan penyelesaian. Tetapi yang dimaksudkannya adalah, jangan sampai hidup jadi huru-hara hanya semata-mata berdepan dengan masalah yang boleh diselesaikan.

Jika terasa kita terhimpit dalam suatu keadaan, maka fikirkan; ada orang lain di luar sana yang lebih berat dialaminya oleh dirinya. Pun begitu masih tetap meneruskan hidup.

Kamu tahu? Antara salah satu untuk terus bermotivasi adalah mensyukuri apa yang ada pada diri sendiri. Dan melihat pula kepada mereka yang berjiwa besar dan diuji oleh Allah SWT dengan ujian yang besar. Dan kena yakin ya, apa yang kita hadapi; hanyalah apa yang kita boleh tanggung!

“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 286)

Motivasi!

Gembira Bersama Allah SWT

Pssst! Kawan.. Bila-bila terasa susah dan berasa sukar dalam berhadapan satu-satu keadaan atau hal, bisikkan jauh ke dalam jiwamu bahawa; Allah SWT itu ADA! Allah ADA! Allah ADA!

Dengan syarat, keyakinanmu harus tinggi melebihi ketinggian gunung everest. Harus pengharapanmu sesejuk bekuan ais, dan kepasrahanmu sehangat sinaran mentari diwaktu pagi. Kamu akan mendapati bahawa jiwamu setenang suasana menghirup kopi dan menggigit sebuku roti dengan pemandangan jauh dilemparkan ke lukisan-lukisan bukit bukau ciptaan Allah SWT.

Setiap kali berdepan masalah, katakanlah – Aku ada Allah!
Setiap kali berdepan resah, katakanlah – Aku ada Allah!
Setiap kali diuji dengan manusia, katakanlah – Aku ada Allah!
Setiap kali berdepan rasa tidak berdaya, katakanlah – Aku ada Allah!

Banyak perkara di atas dunia ini yang perlu kita syukuri yang mana tidak sepatutnya tenggelamnya hanya kerana masalah yang singgah dan akan pergi dalam kehidupan. Apa-apa sahaja yang kita ada dalam hidup ini, apa yang kita rasa, semuanya tidak akan pernah kekal. Pun begitu wahai kawan, kita perlu menjadi seorang yang bersyukur.

Kerana tiap-tiap sesuatu sebenarnya, hanyalah ujian daripada Allah SWT.

Didik Hati Dengan Motivasi

Doa.

Doa adalah wadah dan penghubung seseorang itu dengan Allah SWT. Dengan doa, seseorang boleh merasa tenang. Dengan doa, seseorang boleh terdorong untuk berjaya. Dan dengan doa juga, seseorang boleh beroleh kekuatan. Maka, kalau sebelum ini kita pernah memandang rendah dan enteng tentang doa.. Ada perlunya kita melafazkan istighfar.

Kerana doa itu, adalah hubungan suci diantara manusia dengan Allah SWT. Tiada sesiapa boleh menetapkan suatu rasa dalam jiwa kita apabila kita berdoa. Melainkan kita sendiri akan merasai apa yang kita rasai. Dan perasaan itu sukar diungkapkan melalui kata-kata mahupun aksara.

Bukankah?

Semoga saja, jiwa-jiwa itu semuanya;
akan hidup dengan doa;
tenang bersama doa;
gembira bersama Allah Ta’ala.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *