Lembutkanlah Perkataan Dirimu

Assalamu’alaikum w.b.t

Berbuat baiklah. Berkata baiklah. Sepertimana kita mahu Allah SWT berlembut dengan kita pada hari kiamat kelak! Credit Picture : By Nayzak
Berbuat baiklah. Berkata baiklah. Sepertimana kita mahu Allah SWT berlembut dengan kita pada hari kiamat kelak!
Credit Picture : By Nayzak

Selain pisau, apa lagi yang paling tajam? Jawapannya, semua orang tahu. Lidah. Lidah itu boleh menjadi sebab kebaikan dan boleh menjadi sebab keburukan. Bahkan ada kata-kata yang mengatakan bahawa setiap perkataan yang keluar dari mulut seseorang kerana lidah itu, ibarat pedang. Yang mana ketajamannya boleh membunuh lawan-lawan yang ada.

Mungkin ada yang akan tergelak, “Lidah je pun!” Tapi percayalah bahawa lidah je pun inilah yang akan membuatkan kita bahagia atau derita. Jangan tidak tahu, ada yang berkata bahawa peringatan mengenai lidah itu sangatlah cliche. Saya senyum saja.

Betullah tu, memang sangat cliche sehingga orang malah tidak berhati-hati bila menggunakan lidah berhadapan dengan manusia mahu pun dengan Allah SWT.

Kita Ini Berkomunikasi

Kerana tidak berfikir panjang dan ikutkan perasaan, kadang-kadang kita terlupa bahawa kita telah berkasar bicara dengan Allah SWT. Walaupun mungkin bicara itu tidak terluah di mulut, tapi dihati, ya. Bila kita berada dalam situasi yang tegang atau meresahkan atau kita merasakan bahawa seakan-akan dihempap oleh masalah yang tiba-tiba wujud, kita berkata dalam hati. “Kenapalah aku ditimpa masalah macam ini? Lepas satu-satu. Allah SWT nak apa dengan aku sebenarnya?”

Baik. Mungkin ayat itu tidak sengaja. Tapi, bunyinya kurang menyenangkan bukan? Ini dengan Allah SWT. Tuhan kita. Kadang-kadang kita hilang diri sendiri dibawa arus dunia.

Baik. Saya ada soalan. Kenapa apabila kita terbeban dengan masalah secara tiba-tiba, yang kedengaran dari mulut kita adalah keluhan? Atau amarah. Sama ada masalah itu adalah kerana diri kita sendiri atau kerana orang lain? Paling kurang pun kita akan cakap, “Aduh! Kenapa buat macam ni.. bla bla bla.” Paling teruk, kita salahkan kaw kaw punya pihak yang terlibat.

Sebab apa? Sebab, hati kita belum cukup lembut sebenarnya. Sebab itu lidah kita keras dan senang sahaja untuk marah. Atau mungkin memaki, mencaci hamun. Mungkin?

“Alaa Suhana! Itu perkara normal kot!” Ya, kawan. Itu perkara normal. Marah, kecewa, rasa nak maki hamun. Rasa nak bagi sebiji penumbuk. Saya juga ada perasaan itu. Tetapi, percayakah bila saya katakan sebenarnya wujud manusia yang sangat tenang apabila berdepan dengan masalah atau persoalan yang genting dan mengejut? Ya, serius wujud. Apabila semua orang panik, dia boleh bersifat tenang. Malah menasihati orang-orang sekelilingnya. Dengan kata-kata itu, boleh membuat orang yang mendengarnya terasa senang hati dan lapang.

Saya pernah berjumpa dengan orang sebegini, wallahi. Dan saya pernah tanyakan kepada beliau. Apa rahsia nampak selalu tenang? Jawapannya, senyum selalu dengan manusia. Dan berzikir setiap masa kepada Allah SWT. Walaupun hanya dengan perkataan Allahu Allah.

Saya ini jenis orang yang boleh jadi tenang, dan boleh jadi tenang di wajah tapi di hati tidak. Heh! Maka kenal dan dapat nasihat daripada beliau, terasa sangat bertuah. Semoga ketenangan beliau tercalit sikit pada diri ini.

Menjaga Lidah Di Hadapan Manusia

Menjaga lidah apabila berada di persekitaran kawan-kawan yang kita kenal pun, bukan perkara yang senang. Kalau kita selalu berkata yang baik-baik, alhamdulillah. Namun ada juga kadang-kadang terlepas perkataan yang memang niatnya pertanyaan mulus atau sekadar bergurau, tetapi sebenarnya mengguris perasaan sahabat-sahabat kita. Walaupun ketika itu sahabat-sahabat kita semacam tidak kisah. Tetapi akan ada waktu mereka akan terfikirkan kata-kata kita semula.

Dan percayalah, jika buruk perkataan kita, maka tersinggunglah mereka.

Dengan sahabat, ada waktunya kita jadi aktif untuk berbicara. Bersenda gurau sehingga kita tidak tersedar bahawa kita memang telah menyinggung sahabat-sahabat kita. Pada saya, ini adalah antara perkara yang saya takut dan tidak mahu berlaku; menyinggung perasaan orang.

Pun begitu, saya sendiri ada pengalaman. *sobs* Suatu hari saya dibawa oleh seorang sahabat saya ini ke lokasi tinggalan sejarah di sebuah negeri. Tempat itu agak terkenal. Bila sebut namanya, kebanyakan orang Malaysia tahu. Sesampai di sana, saya melihat-lihat sekeliling. Jalan punya jalan, terkeluar ayat ini dari mulut saya. “Ada apa je kat tempat macam ni?” Saya bertanya sejujur mungkin. Tapi mungkin sebab tone suara saya tidak menepati pertanyaan itu, maka rupa-rupanya sahabat tadi tersinggung dan merasa bahawa saya tidak menghargai usahanya untuk membawa saya melihat bangunan tinggalan sejarah tersebut. Aduh, tepuk dahi saya!

Patutlah kata orang, lidah ini memang tajam! Teringat sebuah hadis ini,

Daripada Sufyan bin Abdillah radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Aku berkata: “Ya Rasulullah, beritahulah aku sesuatu yang dapat aku jadikan pegangan.” Baginda bersabda, “Katakanlah: Allah adalah Tuhanku, kemudian istiqamahlah.” Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang paling engkau takutkan atasku? Maka Rasulullah memegang lidahnya kemudian berkata: “Ini.” (Riwayat Al-Tirmizi : Hasan Sahih)

Oleh hal yang demikian, sehingga sekarang, seboleh-bolehnya kalau diam itu saya rasa adalah yang paling baik boleh saya lakukan dalam sesetengah perkara, maka saya akan berdiam.

Lidah Di Media Sosial

Ada sesiapa yang menjadi pengguna media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Wechat, Instagram dan yang seangkatan dengannya? Sila angkat tangan! Saya percaya, semua orang sekurang-kurang mempunyai akaun peribadi di laman facebook dan mempunyai akaun whatsapp.

Kini, semua orang bebas memberikan pendapat. Semua orang bebas menaip dengan komputer riba atau telefon pintar mereka. Dan berapa ramai yang menyampaikan kebaikan melalui taipan-taipan tangan mereka? Dan berapa ramai pula yang menyebarkan keburukan melalui taipan-taipan mereka? Saya pasti anda semua faham dengan apa yang saya sampaikan, bukan? Senyum.

Mahu tahu apa yang menjadi lidah kita apabila kita menaip? Tidak kiralah menaip di laman sosial atau mesej pesanan ringkas. Lidah kita, adalah tangan kita! Ya, tangan itu adalah lidah kita.

Mari koreksi diri, bagaimana sikap kita apabila mendaftar masuk atau login di laman sosial? Adakah kita seseorang yang berhati-hati apabila menyebarkan sesebuah berita? Atau adakah kita sudah menyelidiki perkara tersebut sebelum kita mengutarakan pendapat peribadi kita? Atau… adakah kita hanyalah seorang yang hanya follow the flow dan sekadar mengikut-ikut menyebarkan sesebuah perkara mahupun berita tersebut?

Pada zaman teknologi yang canggih ini, berapa banyak kerja-kerja dakwah menjadi mudah kerana platform yang ada memudahkan penyampaian dakwah itu sendiri. Menyebarkan kebaikan dan menyebarkan salam atau kata-kata yang baik. Tapi, jangan dilupa dan jangan tutup mata. Berapa banyakkah pula fitnah-fitnah yang terjadi akibat dek sikap kita yang tidak sabar untuk menyelidiki?

Saya teringat firman Allah SWT ini apabila kita mendapat suatu perkhabaran. Allah SWT berfirman bahawa,

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dimintai pertanggungjawaban.” (Surah al-Israa : Ayat 36)

Di media-media sosial, kita jangan menjadi seseorang yang apabila melihat orang lain komen mengenai sesebuah isu, kita pun tidak mahu ketinggalan untuk memberikan komen. Paling teruk, adalah apabila komen kita itu hanya memburukkan keadaan atau memfitnah orang yang berkenaan.

Perbuatan sebegini, sangat dilarang oleh Allah SWT dan Rasulnya! Lupakah kita untuk menjaga kata dan tata tertib kita sebagai orang Islam?

Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW. Baginda bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, Imam al-Nawawi berkata, “Hadis ini menunjukkan bahawa seseorang hendaklah tidak berbicara kecuali apabila perbicaraan itu adalah baik. Iaitu hal yang telah jelas kebaikannya. Dan bila dia masih ragu akan kebaikan tersebut, maka hendaklah dia tidak berbicara.”

Allah SWT tidak redha terhadap kita yang selalu mahu berkata-kata walaupun tiada keperluan untuk kita berkata-kata. Apatah lagi apabila kita berbicara mengenai hal yang kita bukan ahlinya. Bukan memberi pendapat, malah memfitnah pula.

Kawan, ada sesetengah hal itu.. Perlu untuk kita diam sahaja jika kita tidak dapat berkata dengan kata-kata yang baik. Sesuai dengan saranan oleh Rasulullah SAW terhadap kita. Boleh, kawan?

Melembutkan Lidah Demi Allah

Setelah sekian banyak salah lidah atau lisan kita selama ini, kita longlai di hadapan Allah SWT. Sebenarnya, kita sedar. Tapi kadang-kadang apa yang mendorong kita tidak sedar terhadap kesedaran kita itu? Lidah dan tangan kita ini, bukan kecil tanggungjawabnya.

Bukan sedikit tuntutan yang bakal dipersoalkan oleh Allah SWT.

Memohon kepada Allah SWT supaya dilembutkan lidah dan jiwa, bukan kerana supaya menjadi seseorang yang tidak pandai melontarkan pandangan atau pendapat. Tetapi sebenarnya doa itu adalah supaya lidah kita ini lebih cenderung kepada kebaikan berbanding keburukan. Dan tangan kita ini lebih suka menyebarkan kebahagiaan berbanding kebencian.

Tutur kata yang lembut lagi tegas, malah menyentuh jiwa-jiwa manusia apabila berkata-kata.. Itu lebih baik dari tutur kata yang lantang tetapi tidak menjaga perkataan-perkataannya.

Semoga ALLAh merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *