Kita Yang Sedang Dalam Perjalanan

Bukankah kita semua ada tujuan?
Credit Picture: Billie Tess

Apa kata ambil masa untuk bersendiri sejenak? Masa yang benar-benar untuk diri sendiri.

Kita lihat diri kita ini, jawab sejujurnya. Apa yang kita anggap terhadap diri kita sendiri? Sehingga kini kita hidup, apa yang kita inginkan sesungguhnya? Segala pencapaian yang kita kecapi dalam hidup, ke mana kita mahu bawa sebetulnya? Dan atas semua keinginan yang kita mahukan sehingga kini, untuk apa dan kerana apa segalanya?

Pernahkah ya kita bersoal jawab dengan diri sendiri. Seandainya setiap inci kemahuan dan hajat hati atau cita-cita kita terpenuhi di dunia ini, bahagiakah sangat bahagiakah kita? Akan rasa cukupkah kita? Akan menjadi orang yang paling bersyukurkah kita?

Sama juga dengan halnya mengenai apabila kita itu terpilih diberikan ujian dalam hidup, berapa ramai sebenarnya dalam kalangan kita pernah merasa bahawa kitalah yang paling teruji di dunia ini. Kitalah yang paling tersisih sekali. Kitalah yang paling malang diantara yang malang. Kita terasa kitalah hamba Allah yang Allah biarkan. Bahkan, kita merasakan bahawa bumi ini serta seisinya sangat-sangatlah besar bagi seorang manusia kerdil yang tiada makna apa-apa seperti kita.

Dan pernahkah kita terfikirkan mengenai hal ini sejenak? Katakan seandainya hidup kita ini tiada ujian dan cabaran, tiada kesusahan hati dan perasaan, tiada perlumbaan dalam membuat kebaikan. Pendek kata, segalanya mudah bagi kita. Maka persoalan penting untuk kita tanyakan kepada diri sendiri jika hal sedemikian yang berlaku, akan menjadikah kita seorang manusia yang baik di dunia ini? Dan terpenting sekali, AKAN LEBIH BERIMANKAH kita? Adakah kita akan menjadi seorang hamba yang dua puluh empat jam beribadah kepadanya kerana tiada sedikit pun kesusahan yang kita akan alami?

Kawan, adakah kehidupan yang kita idamkan di atas muka bumi ini adalah kehidupan yang langsung tiada kesusahan ujian hidup? Apa jaminan kita terhadap diri kita sendiri bahawa kita akan menjadi manusia yang sangat dekat kepada Allah jika demikian halnya?

Kita ini sering terlupa, kan. Walaupun kita sudah tahu benar mengenainya. Kita sering terlupa bahawa keberadaan kita di dunia hanyalah sementara. Malah kadang-kadang, tatkala hati kecil kita memujuk bahawa kesusahan di dunia ini hanya sementara, kita sendiri menidakkan lalu kita tetap dengan perasaan yang tenggelam dalam kesusahan. Kita memilih untuk menyeksa keadaan batin kita. Walhal kata hati kita berkata, “Sabarlah.. Allah mengasihimu. Ujian ini cuma sekejap!”

Tetapi tetap saja kita membisu dari mendengar fitrah diri kita.

Dunia Yang Disinggahi

Allah tidak pernah menyuruh untuk menolak semua kemewahan dan kesenangan dunia. Rasul tidak pernah berfirman bahawa seorang Muslim itu perlu merintih-rintih sepanjang masa memohon keampunan daripada Allah. Malah kita diseru untuk berusaha memperbaiki hidup di dunia ini. Kita dianjurkan untuk menjadi orang-orang yang memiliki agar dapat memberi.

Sekalian ramai manusia yang diciptakan oleh Allah di atas muka bumi ini dengan pelbagai bangsa yang kita sendiri tidak terkira, apa tujuannya? Tidak pernah kita diseru untuk saling bermusuhan sesama kita. Tidak wujudnya istilah merendah-rendahkan bangsa. Untuk menghina-hina bangsa aku lebih mulia, bangsa kau bangsa hina bukanlah sifat orang-orang Muslim.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(Surah al-Hujurat: 13)

Sedang pada saling kenal-mengenali itu adalah untuk melihat kebesaran Allah. Dan menyerapkan sifat kerendahan diri dan hati kita kepada Allah. Secara tidak langsung, melembutkan hati kita untuk melihat semuanya dari Tuan Punya Dunia.

Kita ini, jika sedang bahagia, maka dunia indah segalanya. Jika kita sedang bersusah hati, maka dunialah tempat yang paling sengsara. Kadang-kadang saya tertanya, kenapa kita merasakan hal yang sedemikian? Kufur nikmatkah kita? Tidak. Tetapi mungkin kita terleka seketika dan selalu meletak harap yang tinggi kepada dunia yang kita diami ini. Padahalnya, kita ini adalah si penyinggah di dunia. Yang mesti mengambil bekal-bekal yang perlu untuk jaminan dapat pulang ke suatu tempat asal kita.

Apa saja kemegahan dan kemewahan yang kita idamkan atau miliki, suatu hari nanti tetap saja kita akan tinggalkan di atas muka bumi. Nanti sampai waktu kita, ketika mana kita terbaring kaku sendiri, hanya berpakaian kafan putih, semua yang pernah kita miliki dan banggakan ketika hidup, tidak akan menjadi kerisauan kita melainkan yang kita khuatirkan adalah nasib kita ketika dan sesudah mati. Peneman yang kita harapkan dapat meringankan beban kita hanyalah amal-amal ibadah dan kebaikan ketika kita masih hidup yang dengannya kita berharap Allah terima dan rahmati.

Duit? Harta? Pangkat? Semuanya tidak berguna.

Bersabarlah Dalam Menjaga Iman

Ketika kita tidak memahami apa yang sedang berlaku dalam dunia yang kita diami ini, ketika hati kecil kita mempunyai banyak soalan, dan ada ketikanya jiwa kita seakan mahu memberontak mempersoalkan semuanya, ingatlah kawan. Dunia ini Allah yang punya. Tidak Allah ciptakan dan izinkan sesuatu berlaku itu, tanpa ada pengajarannya.

Kita tersungkur menemui kegagalan, Allah tahu. Kita marah dengan perjalanan takdir yang menurut kita tidak menyebelahi kita, Allah tahu. Kita kecewa berendam tangisan airmata, Allah tahu. Kita lemah sendiri tapi kuat di hadapan manusia lain, Allah tahu. Iman kita naik dan turunnya, Allah tahu. Kita merajuk dan hati kita memberontak sendiri, Allah tahu.

Tapi jujurlah bertanya kepada diri sendiri, adakah kita pernah merasa bahawa Allah pernah meninggalkan kita? Ayuh, jawab jujur kepada diri kita sendiri. Sehingga saat ini, pernahkah kita merasa bahawa Allah betul-betul tidak mempedulikan kita?

Bukankah ketika mana kita merasakan bahawa semua pintu tertutup bagi kita, ada penyelesaian yang kita temui? Adakah kita mengira bahawa jalan keluar atau penyelesaian itu kita temui kerana kita sendiri atau, bukankah kerana Allah yang menggerakkan diri kita menemui penyelesaian tersebut? Jujurlah. Tanya hatimu yang paling dalam, kawan.

Menjaga diri kita untuk hidup dalam aturan Allah. Menjaga ibadah wajib kita untuk diri kita sendiri kerana kita yang memerlukan ibadah tersebut, bukan Allah yang memerlukan. Menjaga iman kita, genggam keyakinan kita terhadap agama ini.

Kerana dunia ini semakin mencabar.

Fokuskan diri kita – kita di bumi ini sementara, perlu untuk kita menanam lalu menuai bekalan untuk apabila tiba masanya perjalanan pulang ke tempat asal, kita ada bekalan nantinya. Pun begitu, kita tidak boleh menjadi orang yang terkebelakang. Kerana keberadaan kita di dunia ini, bukanlah Allah cipta saja-saja. Yakinlah, ada peranan setiap dari kita. Berfikirlah.

Semoga ALLAH merahmati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *