Kita Adalah Pengembara

Bismillahirrahmaanirrahiim.

[Ihsan Pak Google]

Alhamdulillah! Sangat bersyukur kita pada Allah SWT kerana membuatkan kita adanya di alam dunia yang fana ini. Kita dihidupkan dan insyaAllah kita juga akan dimatikan dengan izin-Nya. Kita sebagai manusia, telah dipinjamkan oleh-Nya jasad dan nyawa untuk beberapa ketika yang telah diperuntukkan oleh Tuan Punya Dunia, dan kita sendiri tidak mengetahui akan hal itu. Allah SWT sebaik-baik pengatur!

Kehidupan kita ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW adalah seperti sebuah pengembara yang sedang berjalan jauh sambil bertongkat dalam menuju perjalanan ke suatu destinasi abadi, yang jauh, memerlukan banyak bekalan. Dan, untuk mendapatkan bekalan itu.. Memerlukan kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi. Dalam perjalanan ini kita mengisi kehidupan dengan dua keadaan atau perasaan atau suasana.. Saat-saat gembira dan saat-saat kesedihan. Kedua-dua perasaan ini juga pernah dialami oleh para Nabi dan Rasul Allah dan apatah lagi kita sebagai hamba yang kerdil lagi hina ini. Masha-Allah!

Kita ambil contoh yang terdekat, juga idola semua umat Islam. Manusia yang sungguh saya pandang tinggi dan saya sanjungi. Rasulullah SAW, hidup Baginda penuh dengan saat-saat yang menggembirakan, tidak kurang juga saat-saat yang menyakitkan yang sesekali mengundang airmata Rasulullah SAW menandakan Baginda juga seorang manusia biasa. Kegembiraan Baginda adalah apabila kita sebagai umat Islam menjalani hidup sesuai dengan jalan yang ditinggalkannya. Dan kesedihan Baginda, ialah apabila menyaksikan ummatnya tersasar jauh dari jalan yang Baginda tinggalkan dan umatnya mengikuti jejak langkah syaitan laknatullah.

Hidup ini : Keseronokan dan Kebahagiaan Sementara

Tentunya dalam perjalanan seorang hamba yang ingin menuju ke sebuah destinasi cinta, banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamatnya dan sesekali terasa ingin berputus-asa untuk ke destinasi. Bagi seorang pengembara yang bijak dan pandai, semestinya dirinya tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kenikmatan di dunia yang sementara kerana dirinya tahu bahawa dia adalah penghuni alam yang kekal abadi : syurga Allah. Dan bagi seorang pengembara yang senang dan seronok menikmati keseronokan di dunia tanpa memikirkan dunianya yang kekal abadi, dirinya akan memuaskan hawa nafsu sepuas-puasnya seolah-olah inilah dunia yang kekal selamanya sehingga dirinya terlupa matlamat atau cita-cita sebenar untuk menuju ke dunia yang sebenar. Mereka terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Dengan tidak mengendahkan suara iman mereka, mereka terus-menerus meletakkan halawatud dunya dihati mereka dan menyangka bahawa itulah matlamat sebenar mereka.

Saya teringat kata-kata seorang ustaz saya, Ustaz Mizi. Beliau berkata, kita juga boleh diibaratkan sebagai seorang pemandu atau penumpang atau pengembara yang berada di atas sebuah nakhoda yang besar, yang sedang menuju destinasi berhari-hari, malah bertahun-tahu lamanya.

Sebagai seorang pengembara, kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang betul mengikut kompas yang telah diberikan dan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita : Al-Quran dan As-Sunnah. Dan untuk sampai ke destinasi cinta @ destinasi abadi, pungut dan kumpullah bekalan ketika berada di dunia sebanyak yang mungkin. Letakkanlah segala keseronokan dan kenikmatan serta kekayaan di dunia ini di tangan kita dan anggaplah semua itu hanya bebanan yang boleh menjejaskan perjalanan menuju ke destinasi cinta.

Oleh itu, sebagai seorang pengembara, kita seharusnya pandai memilih dan dapat mengenal pasti yang mana satu bekalan dan mana satu bebanan. Bekalan ialah sesuatu amalan yang memudahkan perjalanan sepanjang kita menuju negeri akhirat, manakala bebanan adalah sesuatu yang merumitkan dan melambatkan perjalanan kita ke negeri akhirat.

Ingatlah, dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di negeri akhirat kelak. Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari. [Al-hadis]

Kesimpulannya

Persiap dan mantapkan diri kita. Sebagai seorang pengembara yang kita sendiri masih belum tahu bila akan sampainya ke destinasi yang dituju, perlunya kita mencari bekalan sebanyak mungkin. Dan berhati-hati dengan setiap ujian kesedihan dan kenikmatan yang Allah SWT berikan kepada kita. Wajibnya kita menjaga hubungan dengan Allah SWT kerana kita semua yang ada di muka bumi ini adalah pinjamannya untuk menguji kekentalan iman hamba-hamba-Nya. Begitu juga hubungan kita sesama manusia, saling berpegangan tanganlah kita semua agar tiada yang terjatuh dari atas kapal dunia ini tanpa ada seorang pun yang berusaha untuk menyelamatkannya.

Sebaik-baik bekalan adalah iman dan takwa.

Masih ingatkah kita pada kisah Rasulullah semasa Isra’ dan Mikraj? Dalam perjalanan Baginda, Allah SWT telah menunjukkan satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya. Baru sahaja beberapa saat ditanam, terus berbuah dan dituai dan begitulah seterusnya. Inilah ibarat keadaan orang yang sentiasa membuat kebajikan dan tidak putus-putus menrima ganjaran pahala yang banyak di sini Allah SWT. Ganjaran ini akan dinikmatinya di akhirat kelak, insyaAllah!

Semoga saya, kamu dan kamu adalah seorang pengembara yang bijak dan sentiasa meletakkan kenikmatan di dunia ini di telapak tangan dan bukannya dihati. Yang sentiasa mendoakan pengembara yang lain dan mengingati setiap pengembara didalam doanya. Dan semoga kita menjadi pengembara yang sentiasa menjadikan redha Allah SWT adalah tujuan utama. Takbir~!

Semoga Allah merahmati.

One thought on “Kita Adalah Pengembara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *